بسم الله الرحمن الرحيم.
SETIAP sesuatu yang berlaku ada
hikmahnya. Apa yang disebut oleh sebahagian rakan taulan sebagai serangan empat
hari akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia terhadap zikir, tarekat dan
“pendakwah-pendakwah asing yang membawa ajaran songsang” jelas ada hikmahnya.
Mungkin tanpa “serangan” ini minat masyarakat untuk mengetahui hakikat sebenar
perkara-perkara ini tidak begitu menonjol.
Apa itu tarekat? Ia berasal daripada
perkataan Arab iaitu Thoriqah yang secara literal bermakna “jalan” dan dari
segi istilah ilmu tasawuf bererti “jalan atau cara beribadah untuk
menghampirkan diri kepada Allah”. Sebagaimana ulama-ulama fekah atau dikenali
sebagai fuqaha menyusun kaedah-kaedah fekah dan tatacara yang betul (sah) untuk
beribadah dan bermuamalah yang diambil daripada pelbagai sumber hukum syarak
dengan al-Quran dan Sunnah sebagai sumber-sumber utama dan sumber lain seperti
ijmak, qiyas, istishaab, istihsaan, masaalih mursalah, urf, sadd zaraai dan
lain-lain sebagai sumber sekunder.
Lalu kumpulan kaedah-kaedah dan
natijah-natijah ijtihad para fuqaha ini masing-masing disebut sebagai mazhab.
Begitu juga ulama-ulama tasawuf telah menyusun kaedah atau cara-cara yang
sistematik untuk melakukan zikir, salawat dan amalan lain yang jelas dituntut
melalui banyak nas al-Quran dan Hadis Nabi bagi tujuan membersihkan hati
daripada dosa-dosa yang batin dan sifat-sifat hati yang terkeji lalu membawa
diri hampir kepada makrifah (kenal) dan mahabbah (kasih) Allah SWT lalu
dinamakan tarekat.
Cara-cara atau peraturan-peraturan
berzikir ini dinamakan tarekat kerana ia merupakan salah satu jalan yang
menyampaikan seseorang mukmin kepada kemuncak tujuan dan cita-cita iaitu untuk
mendapatkan keredaan Allah SWT. Dalam tarekat yang sebenar, sering
diperingatkan bahawa tujuan beramal dengan tarekat adalah semata-mata menuntut
keredaan Allah SWT sahaja. Sekiranya ada tujuan selain daripada itu, maka
pengamalnya akan tergelincir daripada landasan kebenaran. Di dalam syarah
Al-Hikam Syeikh Muhammad bin Ibrahim menyatakan bahawa “mana-mana jiwa atau
hati yang melihat di dalam ibadatnya hajat kepada selain daripada Allah, maka
ia akan dikuasai oleh iblis.”
Jelas, jiwa dan hati yang dikuasai
iblis akan sentiasa cenderung kepada kesesatan walaupun memakai pakaian dan
imej tasawuf dan tarekat, serban yang besar dan jubah yang berlapis-lapis. Umat
Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah, masyarakat dan ulamanya senada sekiranya
penyelewangan dan kesesatan bertopengkan tasawuf dan tarekat ini yang ingin
ditentang dan dikekang.
Agenda
Malangnya, kelihatan seperti ada
agenda kumpulan tertentu yang ingin pergi lebih jauh dari itu, mengambil
peluang menangguk di air keruh, ingin menidakkan fungsi tasawuf sebagai cabang
penting daripada tiga cabang agama Islam iaitu cabang Tauhid (Iman), Fiqh
(Islam) dan Tasawuf (Ihsan). Seterusnya, mereka ghairah memberikan imej buruk
kepada aktiviti-aktiviti zikir yang menjadi tuntutan agama dan sumber kekuatan
dalaman sehinggakan aktiviti tarian menggoyangkan punggung oleh wanita-wanita
di depan khalayak dengan iringan alunan muzik yang jelas bertentangan dengan
syariat dituduh sebagai aktiviti zikir sambil menggoyangkan punggung!
Seterusnya, tanpa bukti-bukti yang
jelas mereka memberikan gambaran bahawa pendakwah-pendakwah asing tertentu
termasuk golongan habaib (habib-habib keturunan Rasulullah SAW) membawa ajaran
songsang yang kata mereka bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Benarkah seperti yang didakwa?
Zikir daripada perkataan Arab yang
boleh membawa maksud mengingati atau menyebut. Zikir dalam konteks ibadah merangkumi
mengingati dan menyebut Allah dan menyebut Allah boleh dilakukan dengan hati
(zikir sir) atau dilakukan dengan lisan (zikir jahar) mengikut keberkesanan,
kesesuaian dan keadaan orang berzikir serta persekitarannya. Yang dikatakan
maqam-maqam dalam zikir tarekat hakikatnya bertujuan mensebatikan zikir dalam
segenap jiwa raga seseorang manusia secara berperingkat-peringkat bersesuaian
dengan tuntutan membersihkan hati daripada sifat-sifat yang terkeji (mazmumah)
dan menghiasinya dengan sifat-sifat yang terpuji (mahmudah) sebagaimana yang
difahami daripada bimbingan Rasulullah yang bermaksud: “Ketahuilah di dalam
jasad ada seketul daging, apabila baik ia, maka baiklah sekalian jasad, dan
apabila rosak ia, maka rosaklah sekalian jasad dan ketahuilah ia adalah hati.”
Apabila hati seseorang mukmin itu
bersih murni, maka eloklah keseluruhan dirinya dan apabila elok
individu-individu mukmin di dalam negara, maka elok dan terselamatlah negara
ini daripada gejala-gejala negatif seperti pecah amanah, rasuah, jenayah,
khianat dan lain-lain. Banyak berzikir adalah amalan yang thabit dengan
perintah al-Quran dan Hadis. Antara lain firman Allah di dalam Surah Al-Jumu’ah
62:10 yang bermaksud:
“Kemudian setelah selesai
sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan
masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah,
serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu
berjaya (di dunia dan di akhirat).”
Malah ibadah zikir ini adalah ibadah
yang dianjurkan supaya dilakukan dalam setiap keadaan. Dalam menafsirkan ayat
al-Quran Surah Aali Imran 3:110 yang bermaksud: (Orang-orang yang berakal
iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan
duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang
kejadian langit dan bumi (sambil berkata), Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau
menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah
kami dari azab neraka." Ahli tafsir mengatakan yang dimaksudkan adalah
berzikir dituntut dalam segenap keadaan.
Hadis Nabi di dalam Musnad Imam
Ahmad misalnya memberikan gambaran tentang kepentingan banyak berzikir dengan
sabda nabi yang bermaksud “bahawa lidah kamu sentiasa basah dengan zikrullah”.
Oleh kerana tidak biasa dan jahil
hukum, akhirnya sebahagian ahli masyarakat kita menjadi kecoh dan bingit
apabila melihat rakaman majlis zikir yang dilakukan di dalam keadaan berdiri
sambil badan bergoyang-goyang sedangkan berzikir dalam keadaan berdiri thabit dengan
nas al-Quran yang disebutkan di atas dan goyangan badan menghayati alunan zikir
berlaku semenjak dari zaman para sahabat Nabi lagi.
FAKTOR ‘tidak biasa’ masyarakat
terhadap sesuatu amalan dijirus pula menjadi semakin marak dengan sikap mudah
memandang serong amalan umat Islam lain menyebabkan masyarakat kita menjadi
kecoh dan bingit misalnya melihat rakaman ‘mencium kaki’ guru sedangkan perkara
tersebut tidak dilarang di dalam Islam.
Kaki Rasulullah SAW pernah dicium
oleh para sahabat baginda sebagai tanda kasih dan hormat malah oleh orang
Yahudi yang meyakini kenabian dan kerasulan baginda. Sayidina Ali r.a. pernah
mencium kaki bapa saudaranya Sayidina Abbas r.a dan ketika sahabat Nabi Imran
bin Husain mencium dahi, tangan dan kaki bapanya yang baru memeluk Islam,
Rasulullah SAW menitiskan air mata dan mengatakan bahawa ketika Husain bapa
Imran masuk ke majlis sebagai seorang kafir, si anak langsung tidak berpaling
memandang bapanya, manakala apabila bapanya telah menjadi muslim, Imran telah
memenuhi hak-hak bapanya.
Ya, di sana ada dua sudut yang
berbeza, sudut hukum sesuatu amalan dan sudut beramal dengan amalan tersebut
kerana tidak semua perkara yang tidak dilarang oleh hukum sesuai kita lakukan.
Amalan mencium kaki orang yang selayaknya dihormati seperti ibu bapa dan para
ulama pewaris nabi walaupun tidak dilarang oleh hukum, namun di tempat-tempat
yang amalan tersebut tidak membudaya seumpama di negara kita, elok dijauhi atas
dasar Al-’Aadah muhakkamah (adat kebiasaan memberi kesan kepada hukum) dan demi
menjauhi fitnah dan tohmahan kerana dar-ul mafaasid muqaddam ‘ala jalbil
masaalih (menolak keburukan lebih diutamakan berbanding menarik kebaikan (jika
kedua-duanya saling bersaing).
Dalam masa sama, kita pula elok
mengambil panduan Illahi dan bimbingan Qurani, Surah Al-Hujuraat 49:12 yang
bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan sangkaan
(supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya
sebahagian sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau
mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat
setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging
saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu
kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan
bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha
mengasihani.”
Ketandusan husnuz zhon (bersangka
baik) di dalam hati sanubari inilah yang menjadi pendorong sebahagian ahli
masyarakat termasuk yang memakai imej ilmuwan agama menuduh para habaib
(habib-habib keturunan Rasulullah SAW) yang datang ke negara kita membawa misi
dakwah dan kasih sayang, kesederhanaan dan keterbukaan sebagai pembawa
ajaran-ajaran songsang, sebagai Syiah yang bertaqiyyah (Syiah yang berpura-pura
Ahli Sunnah wal Jamaah) dan pelbagai sangkaan buruk yang lain.
Bukti? Jawapan mereka: Ada siasatan
yang dilakukan oleh ‘sumber-sumber yang boleh dipercayai’. Semurah itukah
maruah saudara seagama seakidah dengan kita yang kita diberi peringatan oleh
Rasulullah SAW bahawa mencaci mereka merupakan suatu kefasikan dan membunuh
mereka merupakan suatu bentuk kekufuran?
Jawapan mereka: Ya, para habaib ini
memang sesat kerana mereka adalah penyembah-penyembah kubur! Innalillahi
wainnaa ilaihirooji’uun, berat betul tuduhan yang dilemparkan, label penyembah
kubur bermakna saudara seagama yang bersyahadah, solat lima waktu, puasa di
bulan Ramadan, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji telah kita tuduh sebagai
orang kafir musyrik yang menyembah selain daripada Allah!
Manakah bukti? Jawapan mereka:
Buktinya mereka sering berziarah ke kuburan, berdoa di sana, malah berdoa
menghadap ke kubur bukan ke arah kiblat dan malah ada yang menyeru nama orang
yang di dalam kubur. Kita katakan menziarahi kubur thabit kesunahannya daripada
suruhan Rasulullah SAW sendiri dan sepakat dalam kalangan para ulama bahawa
hukumnya sunat.
Berdoa di kubur pula tiada larangan,
malah pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda, berdoa
membelakangkan kiblat dan menghadap ke kubur khususnya kepada makam Rasulullah
SAW adalah panduan para ulama seumpama Imam Malik r.a. Menyeru nama orang yang
telah meninggal dunia pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat
baginda sendiri, maka di manakah yang dikatakan menyembah kubur itu kalau tidak
terhasil daripada sikap berburuk sangka kita kepada saudara seagama?
Kata sebahagian, berdoa sepatutnya
menghadap kiblat, bukan menghadap kubur. Tanya kita, mana dalilnya? Kiblat
bukankah Kaabah yang diperbuat daripada batu yang kita muliakan hanya atas
perintah dan ketentuan daripada Allah SWT sendiri.
Surah Ali ‘Imran 3:96 yang
bermaksud: “Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia
(beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Mekah yang berkat dan
(dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.”
Manusia kita muliakan kerana
dimuliakan oleh Allah sendiri sebagaimana dinyatakan Surah Al-Isra’ 17:70 yang
bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami
telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut;
dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda yang baik-baik
serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak
makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”
Apabila menghadap Kaabah bermakna
membelakangi insan yang mulia dan dimuliakan oleh Allah SWT dan menghadap
kepada insan yang mulia bermakna membelakangi Kaabah, maka apakah pilihan kita?
Diriwayatkan di dalam Sunan Ibn
Majah sabda Nabi SAW kepada Kaabah yang bermaksud: “Alangkah eloknya kamu dan
alangkah eloknya keharumanmu, alangkah agungnya kamu dan alangkah agungnya
kehormatanmu. Demi yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya (demi Allah)
sesungguhnya kehormatan seorang mukmin itu lebih besar di sisi Allah
kehormatannya berbanding kamu, hartanya dan darahnya dan bahawa kami tidak
berprasangka dengannya kecuali dengan kebaikan.”
Maka setelah diterangkan oleh
Rasulullah SAW sedemikian rupa, apakah alasan kita menuduh sebagai penyembah
kubur saudara-saudara kita yang melebihkan kemuliaan seorang mukmin berbanding
kemuliaan Kaabah lalu memilih menghadap ke kuburan dan membelakangi Kaabah
ketika berdoa melainkan sangkaan-sangkaan buruk yang bersarang di hati kita
terhadap saudara-saudara seagama?
Lebih jelik lagi, sangkaan buruk
kita itu kita halakan terhadap keturunan Rasulullah SAW sendiri sehingga ada
yang tergamak mempersoalkan nasab keturunan mereka, benarkah mereka ini memang
keturunan Rasuulullah SAW sedangkan mempersoalkan nasab keturunan seseorang
termasuk salah satu daripada sifat jahiliah sebagaimana yang diriwayatkan di
dalam Sahih Al-Bukhari sabda nabi yang bermaksud, ciri-ciri jahiliah adalah
mempersoalkan nasab keturunan ... sehingga akhir hadis. Bagaimana halnya kalau
sampai mempertikaikan nasab keturunan Rasulullah SAW sendiri?
Panjang ceritanya kalau hendak
dihuraikan satu persatu, kelak membabitkan isu slogan yang benar, ‘Kembali
berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah’ tetapi bermaksud buruk dan batil,
membabitkan kefahaman terhadap makna bidaah, apakah yang dikatakan bidaah yang
sesat, kefahaman terhadap makna ketuhanan, tauhid dan syirik, tawassul dan
istighaathah dan lain-lain.
Di zaman fitnah ini di mana yang
batil diangkat sebagai hak dan yang hak dijerumuskan pula sebagai batil, sikap
mahu berbincang secara ilmiah, berani berdialog secara bersemuka, mendapatkan
kepastian sebelum menuduh adalah sikap selamat yang mengelakkan kita daripada
dibakar api fitnah di dunia dan api neraka di akhirat. Serahkan sesuatu urusan
itu kepada ahlinya, insya-Allah agama dan dunia kita kedua-duanya terjaga dan
terpelihara.
syukran
BalasPadam