بسم الله الرحمن الرحيم
الحمدلله الكريم, و الصلاة و السلام على النبي الرؤوف الرحيم, و على آله و صحبه القويم
Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga. Jika pengetahuan hanya sedikit saja, janganlah hendak melawan orang orang yang lebih banyak pengetahuannya. Akan tetapi, itulah yang sedang dan telah berlaku.
Ada segolongan manusia yang menyeru kepada dalil al-Quran & al-Hadis. Jika dilihat pada zahirnya, memang seruan yang bagus dan betul tapi .. ada tapinya .. yang tak bagus dan tak betulnya ialah golongan ini memperlecehkan atau mengenepikan ulama ulama besar mazhab. Dema mengatakan kepada orang orang yang bermazhab sebagai pentaksub mazhab. Jikalau begitu, maka dema itu umpama telunjuk lurus kelingking berkait.
Kenapa ?
Kerana dema juga berpegang dengan pendapat al-Albani, Ibn Baz, al-'Usaimin, dan lain-lain ulama dema bahkan pegangan dema ini lebih kuat dari orang orang yang bermazhab. Ini kerana orang orang yang bermazhab mengikut ajaran mazhab yang meraikan khilaf. Meskipun bermazhab Syafie sebagai contoh, tak menolak mazhab yang lain bahkan diamalkan dalam keadaan tertentu yang mengizinkan yang tidak membawa kepada talfiq yang dicela. Berbeza dengan cara golongan itu yang merasakan dema saja yang betul dan orang lain tak betul, taksub dan sebagainya. Semoga beroleh hidayah.
Dari dulu lagi sudah menunjukkan bahawa orang orang bermazhab ini meraikan khilaf. Sebagai contoh, niat puasa sebulan yang merupakan pendapat Mazhab Maliki, bayar zakat dengan duit yang merupakan pandangan Mazhab Hanafi, dan lain-lain lagi. Kita tak pernah taksub hanya dema saja yang merasakan kita taksub dan dema tak taksub dengan ikutan dema. Kita berhati-hati dalam beragama agar tak bermudah-mudah dalam beragama umpama memilih dan mengambil hukum-hakam yang paling mudah dan ringan daripada setiap mazhab untuk beramal seperti bernikah dengan tak dak mahar, tak dak berwali, dan tak dak bersaksi telah menyalahi ijmak ulama kerana batal nikahnya pada Mazhab Syafie, batal pada Mazhab Hanafi, dan juga batal pada lain-lain mazhab.
Para imam mazhab sudah siap menyaring hukum-hakam daripada al-Quran & al-Hadis, tinggal lagi untuk kita amalkan dengan panduan yang ditinggalkan. Pedulikan seruan dema yang tak bertanggung jawab itu. Kita berpegang dengan mazhab bermakna kita sudah berpegang dengan al-Quran & al-Hadis tanpa syak lagi.
والله اعلم
اللهم اهدنا فيمن هديت
Tiada ulasan:
Catat Ulasan