Rabu, 17 Jun 2015

Bacalah, tulisan Ustaz Engku Ahmad Fadzil Engku Ali untuk pencerahan!

بسم الله الرحمن الرحيم.

SETIAP sesuatu yang berlaku ada hikmahnya. Apa yang disebut oleh sebahagian rakan taulan sebagai serangan empat hari akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia terhadap zikir, tarekat dan “pendakwah-pendakwah asing yang membawa ajaran songsang” jelas ada hikmahnya. Mungkin tanpa “serangan” ini minat masyarakat untuk mengetahui hakikat sebenar perkara-perkara ini tidak begitu menonjol.
Apa itu tarekat? Ia berasal daripada perkataan Arab iaitu Thoriqah yang secara literal bermakna “jalan” dan dari segi istilah ilmu tasawuf bererti “jalan atau cara beribadah untuk menghampirkan diri kepada Allah”. Sebagaimana ulama-ulama fekah atau dikenali sebagai fuqaha menyusun kaedah-kaedah fekah dan tatacara yang betul (sah) untuk beribadah dan bermuamalah yang diambil daripada pelbagai sumber hukum syarak dengan al-Quran dan Sunnah sebagai sumber-sumber utama dan sumber lain seperti ijmak, qiyas, istishaab, istihsaan, masaalih mursalah, urf, sadd zaraai dan lain-lain sebagai sumber sekunder.
Lalu kumpulan kaedah-kaedah dan natijah-natijah ijtihad para fuqaha ini masing-masing disebut sebagai mazhab. Begitu juga ulama-ulama tasawuf telah menyusun kaedah atau cara-cara yang sistematik untuk melakukan zikir, salawat dan amalan lain yang jelas dituntut melalui banyak nas al-Quran dan Hadis Nabi bagi tujuan membersihkan hati daripada dosa-dosa yang batin dan sifat-sifat hati yang terkeji lalu membawa diri hampir kepada makrifah (kenal) dan mahabbah (kasih) Allah SWT lalu dinamakan tarekat.
Cara-cara atau peraturan-peraturan berzikir ini dinamakan tarekat kerana ia merupakan salah satu jalan yang menyampaikan seseorang mukmin kepada kemuncak tujuan dan cita-cita iaitu untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Dalam tarekat yang sebenar, sering diperingatkan bahawa tujuan beramal dengan tarekat adalah semata-mata menuntut keredaan Allah SWT sahaja. Sekiranya ada tujuan selain daripada itu, maka pengamalnya akan tergelincir daripada landasan kebenaran. Di dalam syarah Al-Hikam Syeikh Muhammad bin Ibrahim menyatakan bahawa “mana-mana jiwa atau hati yang melihat di dalam ibadatnya hajat kepada selain daripada Allah, maka ia akan dikuasai oleh iblis.”
Jelas, jiwa dan hati yang dikuasai iblis akan sentiasa cenderung kepada kesesatan walaupun memakai pakaian dan imej tasawuf dan tarekat, serban yang besar dan jubah yang berlapis-lapis. Umat Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah, masyarakat dan ulamanya senada sekiranya penyelewangan dan kesesatan bertopengkan tasawuf dan tarekat ini yang ingin ditentang dan dikekang.
Agenda
Malangnya, kelihatan seperti ada agenda kumpulan tertentu yang ingin pergi lebih jauh dari itu, mengambil peluang menangguk di air keruh, ingin menidakkan fungsi tasawuf sebagai cabang penting daripada tiga cabang agama Islam iaitu cabang Tauhid (Iman), Fiqh (Islam) dan Tasawuf (Ihsan). Seterusnya, mereka ghairah memberikan imej buruk kepada aktiviti-aktiviti zikir yang menjadi tuntutan agama dan sumber kekuatan dalaman sehinggakan aktiviti tarian menggoyangkan punggung oleh wanita-wanita di depan khalayak dengan iringan alunan muzik yang jelas bertentangan dengan syariat dituduh sebagai aktiviti zikir sambil menggoyangkan punggung!
Seterusnya, tanpa bukti-bukti yang jelas mereka memberikan gambaran bahawa pendakwah-pendakwah asing tertentu termasuk golongan habaib (habib-habib keturunan Rasulullah SAW) membawa ajaran songsang yang kata mereka bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Benarkah seperti yang didakwa?
Zikir daripada perkataan Arab yang boleh membawa maksud mengingati atau menyebut. Zikir dalam konteks ibadah merangkumi mengingati dan menyebut Allah dan menyebut Allah boleh dilakukan dengan hati (zikir sir) atau dilakukan dengan lisan (zikir jahar) mengikut keberkesanan, kesesuaian dan keadaan orang berzikir serta persekitarannya. Yang dikatakan maqam-maqam dalam zikir tarekat hakikatnya bertujuan mensebatikan zikir dalam segenap jiwa raga seseorang manusia secara berperingkat-peringkat bersesuaian dengan tuntutan membersihkan hati daripada sifat-sifat yang terkeji (mazmumah) dan menghiasinya dengan sifat-sifat yang terpuji (mahmudah) sebagaimana yang difahami daripada bimbingan Rasulullah yang bermaksud: “Ketahuilah di dalam jasad ada seketul daging, apabila baik ia, maka baiklah sekalian jasad, dan apabila rosak ia, maka rosaklah sekalian jasad dan ketahuilah ia adalah hati.”
Apabila hati seseorang mukmin itu bersih murni, maka eloklah keseluruhan dirinya dan apabila elok individu-individu mukmin di dalam negara, maka elok dan terselamatlah negara ini daripada gejala-gejala negatif seperti pecah amanah, rasuah, jenayah, khianat dan lain-lain. Banyak berzikir adalah amalan yang thabit dengan perintah al-Quran dan Hadis. Antara lain firman Allah di dalam Surah Al-Jumu’ah 62:10 yang bermaksud:
“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”
Malah ibadah zikir ini adalah ibadah yang dianjurkan supaya dilakukan dalam setiap keadaan. Dalam menafsirkan ayat al-Quran Surah Aali Imran 3:110 yang bermaksud: (Orang-orang yang berakal iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata), Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka." Ahli tafsir mengatakan yang dimaksudkan adalah berzikir dituntut dalam segenap keadaan.
Hadis Nabi di dalam Musnad Imam Ahmad misalnya memberikan gambaran tentang kepentingan banyak berzikir dengan sabda nabi yang bermaksud “bahawa lidah kamu sentiasa basah dengan zikrullah”.
Oleh kerana tidak biasa dan jahil hukum, akhirnya sebahagian ahli masyarakat kita menjadi kecoh dan bingit apabila melihat rakaman majlis zikir yang dilakukan di dalam keadaan berdiri sambil badan bergoyang-goyang sedangkan berzikir dalam keadaan berdiri thabit dengan nas al-Quran yang disebutkan di atas dan goyangan badan menghayati alunan zikir berlaku semenjak dari zaman para sahabat Nabi lagi.

FAKTOR ‘tidak biasa’ ma­sya­­rakat terhadap sesuatu amalan dijirus pula menjadi semakin marak dengan sikap mudah memandang serong amalan umat Islam lain menyebabkan masyarakat kita menjadi kecoh dan bingit misalnya melihat rakaman ‘mencium kaki’ guru sedangkan perkara tersebut tidak dilarang di dalam Islam.
Kaki Rasulullah SAW pernah dicium oleh para sahabat baginda sebagai tanda kasih dan hormat malah oleh orang Yahudi yang meyakini kenabian dan kerasulan baginda. Sayidina Ali r.a. pernah mencium kaki bapa saudaranya Sayidina Abbas r.a dan ketika sahabat Nabi Imran bin Husain mencium dahi, tangan dan kaki bapanya yang baru memeluk Islam, Rasulullah SAW menitiskan air mata dan mengatakan bahawa ketika Husain bapa Imran masuk ke majlis sebagai seorang kafir, si anak langsung tidak berpaling memandang bapanya, manakala apabila bapanya telah menjadi muslim, Imran telah memenuhi hak-hak bapanya.
Ya, di sana ada dua sudut yang berbeza, sudut hukum sesuatu amalan dan sudut beramal dengan amalan tersebut kerana tidak semua perkara yang tidak dilarang oleh hukum sesuai kita lakukan. Amalan mencium kaki orang yang selayaknya dihormati seperti ibu bapa dan para ulama pewaris nabi walaupun tidak dilarang oleh hukum, namun di tempat-tempat yang amalan tersebut tidak membudaya seumpama di negara kita, elok dijauhi atas dasar Al-’Aadah muhakkamah (adat kebiasaan memberi kesan kepada hukum) dan demi menjauhi fitnah dan tohmahan kerana dar-ul mafaasid muqaddam ‘ala jalbil masaalih (menolak keburukan lebih diutamakan berbanding menarik kebaikan (jika kedua-duanya saling bersaing).
Dalam masa sama, kita pula elok mengambil panduan Illahi dan bim­bingan Qurani, Surah Al-Hujuraat 49:12 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”
Ketandusan husnuz zhon (bersangka baik) di dalam hati sanubari inilah yang menjadi pendorong sebahagian ahli masyarakat termasuk yang memakai imej ilmuwan agama menuduh para habaib (habib-habib keturunan Rasulullah SAW) yang datang ke negara kita membawa misi dakwah dan kasih sayang, ke­sederhanaan dan keterbukaan sebagai pembawa ajaran-ajaran songsang, sebagai Syiah yang bertaqiyyah (Syiah yang berpura-pura Ahli Sunnah wal Jamaah) dan pelbagai sangkaan buruk yang lain.
Bukti? Jawapan mereka: Ada siasatan yang dilakukan oleh ‘sumber-sumber yang boleh dipercayai’. Semurah itukah maruah saudara seagama seakidah dengan kita yang kita diberi peringatan oleh Rasulullah SAW bahawa mencaci mereka merupakan suatu kefasikan dan membunuh mereka merupakan suatu bentuk kekufuran?
Jawapan mereka: Ya, para habaib ini memang sesat kerana mereka adalah penyembah-penyembah kubur! Innalillahi wainnaa ilaihirooji’uun, berat betul tuduhan yang dilemparkan, label penyembah kubur bermakna saudara seagama yang bersyahadah, solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji telah kita tuduh sebagai orang kafir musyrik yang menyembah selain daripada Allah!
Manakah bukti? Jawapan mereka: Buktinya mereka sering berziarah ke kuburan, berdoa di sana, malah berdoa menghadap ke kubur bukan ke arah kiblat dan malah ada yang menyeru nama orang yang di dalam kubur. Kita katakan menziarahi kubur thabit kesunahannya daripada suruhan Rasulullah SAW sendiri dan sepakat dalam kalangan para ulama bahawa hukumnya sunat.
Berdoa di kubur pula tiada larangan, malah pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda, berdoa membelakangkan kiblat dan menghadap ke kubur khususnya kepada makam Rasulullah SAW adalah panduan para ulama seumpama Imam Malik r.a. Menyeru nama orang yang telah meninggal dunia pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda sendiri, maka di manakah yang dikatakan menyembah kubur itu kalau tidak terhasil daripada sikap berburuk sangka kita kepada saudara seagama?
Kata sebahagian, berdoa sepatutnya menghadap kiblat, bukan menghadap kubur. Tanya kita, mana dalilnya? Kiblat bukankah Kaabah yang diperbuat daripada batu yang kita muliakan hanya atas perintah dan ketentuan daripada Allah SWT sendiri.
Surah Ali ‘Imran 3:96 yang bermaksud: “Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Mekah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.”
Manusia kita muliakan kerana dimuliakan oleh Allah sendiri sebagaimana dinyatakan Surah Al-Isra’ 17:70 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”
Apabila menghadap Kaabah bermakna membelakangi insan yang mulia dan dimuliakan oleh Allah SWT dan menghadap kepada insan yang mulia bermakna membelakangi Kaabah, maka apakah pilihan kita?
Diriwayatkan di dalam Sunan Ibn Majah sabda Nabi SAW kepada Kaabah yang bermaksud: “Alangkah eloknya kamu dan alangkah eloknya keharumanmu, alangkah agungnya kamu dan alangkah agungnya kehormatanmu. Demi yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya (demi Allah) sesungguhnya kehormatan seorang mukmin itu lebih besar di sisi Allah kehormatannya berban­ding kamu, hartanya dan darahnya dan bahawa kami tidak berprasangka dengannya kecuali dengan kebaikan.”
Maka setelah diterangkan oleh Rasulullah SAW sedemikian rupa, apakah alasan kita menuduh sebagai penyembah kubur saudara-saudara kita yang melebihkan kemuliaan seorang mukmin berbanding kemuliaan Kaabah lalu memilih menghadap ke kuburan dan membelakangi Kaabah ketika berdoa melainkan sangkaan-sangkaan buruk yang bersarang di hati kita terhadap saudara-saudara seagama?
Lebih jelik lagi, sangkaan buruk kita itu kita halakan terhadap keturunan Rasulullah SAW sendiri sehingga ada yang tergamak mempersoalkan nasab keturunan mereka, benarkah mereka ini memang keturunan Rasuulullah SAW sedangkan mempersoalkan nasab keturunan seseorang termasuk salah satu daripada sifat jahiliah sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Sahih Al-Bukhari sabda nabi yang bermaksud, ciri-ciri jahiliah adalah mempersoalkan nasab keturunan ... sehingga akhir hadis. Bagaimana halnya kalau sampai mempertikaikan nasab keturunan Rasulullah SAW sendiri?
Panjang ceritanya kalau hendak dihuraikan satu persatu, kelak membabitkan isu slogan yang benar, ‘Kembali berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah’ tetapi bermaksud buruk dan batil, membabitkan kefahaman terhadap makna bidaah, apakah yang dikatakan bidaah yang sesat, kefahaman terhadap makna ketuhanan, tauhid dan syirik, tawassul dan istighaathah dan lain-lain.
Di zaman fitnah ini di mana yang batil diangkat sebagai hak dan yang hak dijerumuskan pula sebagai batil, sikap mahu berbincang secara ilmiah, berani berdialog secara bersemuka, mendapatkan kepastian sebelum menuduh adalah sikap selamat yang mengelakkan kita daripada dibakar api fitnah di dunia dan api neraka di akhirat. Serahkan sesuatu urusan itu kepada ahlinya, insya-Allah agama dan dunia kita kedua-duanya terjaga dan terpelihara.



Ahlan wa sahlan ya Ramadan!

بسم الله الرحمن الرحيم.

Ahlan wa sahlan ya Ramadan.
Bersedialah untuk berpuasa sebulan.
Selamat menahan minum dan makan,
dan apa yang membatalkan.
Selamat juga daripada apa yang membatalkan pahala amalan.
20kah 8kah jangan dipermasalahkan.
Buat yang terlaratkan.
Menolak 20 bererti menolak sabda Utusan Tuhan.
Nak cakap pasal realiti dalam takrifan.
Satu habuk fakta pun tak dibentangkan.
Jika mai jenis ni, buat tak reti terus jalan.
Lebih baik zikir dan selawat dibanyakkan,
daripada melayan suatu yang pendek tapi dipanjang-panjangkan.
Cukup dengan penerangan.
Tak perlu masuk dalam perdebatan murahan yang disukai syaitan.
Jangan pula kita ambil alih tugas syaitan,
selepas depa kena ikat sebulan di bulan Ramadan.
Selamat menyambut Ramadan dengan aman.

نرجو غفرانك يا رحمن
الله المستعان و عليه التكلان
الصلاة و السلام عليك أيها النبي حبيب الرحمن