Khamis, 27 Disember 2012

Tan Sri Dr Haji Harussani bin Haji Zakaria.

بسم الله الرحمن الرحيم


1 nama & individu yang tak asing lagi bagi majoriti masyarakat 1Malaysia. Beliau ialah Mufti Perak. Ini adalah sedikit pengenalan mengenai beliau.

Pendidikan:

  • Sekolah Melayu Kampung Kedah, Parit Buntar, Perak
  • Anglo Chinese School, Parit Buntar, Perak
  • 1956 – 1959: Sekolah Idrisiah, Kuala Kangsar, Perak
  • 1959 – 1960: Kuliah Al-Attas, Johor Bharu, Johor
  • 1960 – 1964: Diploma Pendidikan, Sijil Tertinggi Kolej Islam Malaya , Klang, Selangor
  • Kursus pendedahan di Muslim College of London, United Kingdom (10 Januari – 29 Jun 1989)

Jawatan:
  • 1964 – 1967: Cawangan Khas, Kementerian Dalam Negeri
  • 1967 – 1973: Kadi, Jabatan Agama Pulau Pinang
  • 1968 – 1978: Pensyarah Sambilan, Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang, Gelugor, Pulau Pinang
  • 1973 – 1985: Kadi Besar, Jabatan Agama Pulau Pinang
  • 1985 – 1992: Mufti Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Agama Perak
  • 1992 – Sekarang: Mufti Perak, Jabatan Mufti Negeri Perak

  Akademik & Khidmat masyarakat:


  • Pesidangan Ulama’ Nusantara : Islam Di Alaf Baru : Menggaris Agenda Alaf Baru (26 November 1998)
  • Seminar Pemindahan Ginjal dan Cabaran dan Kemajuan Yang Dihadapi Islam di Rantau Ini (6 – 8 Mei 1994, Singapura)
  • Dialog Agama di antara penganut Islam, Yahudi dan Kristian, Bendor, Jerman (1989)
  • Ceramah dan dialog bersama pelajar-pelajar di Washington, Amerika Syarikat (1996)
  • Lawatan sambil belajar ke Negara-negara Timur Tengah dan Eropah anjuran Lembaga Perancang Keluarga Negara (1 – 9 Mac 1977)
  • Muzakarah Ulama’ Nusantara : Islam Di Alaf Baru : Menggaris Agenda Alaf Baru ( 26 November 1998)
  • Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak Darul Ridzuan (Oktober 2000 – sekarang)
  • Pengerusi Jawatankusa Syariah Negeri Perak Darul Ridzuan
  • Pengerusi Jawatankuasa Penapisan Bahan-Bahan Terbitan Berunsur Islam
  • Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Teks Al-Quran (KDN – Timbalan Pengerusi)
  • Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan
  • Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak
  • Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak
  • Ahli Lembaga Pengarah IDC Urus Ladang Sdn. Bhd. (Anak Syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Perak) Perak Darul Ridzuan
  • Ahli Lembaga Pengarah IDC Urus Niaga Sdn. Bhd. (Anak Syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Perak) Perak Darul Ridzuan
  • Ahli Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
  • Ahli Majlis Pengawasan Syariah Takaful Nasionl Sdn. Bhd.
  • Yang DiPertua Persekutuan Seruan Islam Negeri Perak
  • Pengerusi Lembaga Pengelola Kolej UNISMA
  • Pengerusi Jawatankuasa Khas Penyelaras Dakwah dan Pembelajaran Negeri
  • Ahli Dewan Negara Negeri Perak
  • Ahli Tetap Lembaga Pengarah Kolej Islam Darul Ridzuan
  • Ahli Jawatankuasa Majlis Keutuhan Negeri Perak Darul Ridzuan
  • Penceramah jemputan di masjid-masjid dan institusi agama di seluruh negara.
  • Panel jemputan dalam forum-forum agama anjuran jabatan-jabatan kerajaan dan kementerian-kementerian dalam dan luar negara.



 Penerbitan & Kertas kerja:
  • Irsyad Hukum (Menyentuh Persoalan Semasa)
  • Muammalah Hidup Islam – (Kompilasi 13 Tajuk Kertas-kerja) (1996)
  • Syaitan Musuh Insan, Tahun (4) Siri (17) (1398/1978)
  • Hukum-Hukum Perkahwinan (1999)
  • Amalan Di Bulan Ramadhan Mengikut Al-Quran dan As-Sunnah (1998)
  • Rukyah dan Hisab (2000)
  • Ibadah Qurban (1999)
  • Siapa Kita
  • Kesantunan Yang Mulia
  • Kerja Sebagai Aktiviti Ibadat
  • Peranan Da’I Menuju Ke Wawasan 2020
  • Kontrasepsi dan Perancang Keluarga
  • Islam Pada Pandangan Orang Bukan Islam Di Malaysia
  • Zakat Membawa Berkat Mensyukuri Ne’mat
  • Batul Mal, Zakat dan Wakaf : Hukum dan Pelaksanaan
  • Islam dan Cabarannya Masa Kini
  • Dakwah Masa Kini dan Cabarannya
  • Penerapan Nilai-Nilai Islam
  • Pemindahan Ginjal
  • Peranan dan Tanggungjawab Ulama’

Apa pandangan Tokoh dan Ulamak terhadap Mufti Perak?




Menteri di JPM, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyelar tindakan Mursyidul Am PAS yang melabel Mufti Perak sebagai ejen Umno kerana Sultan yang melantik mufti dan tugas serta tanggungjawab bukan hanya fatwa semata-mata.Tokoh ulama Kelantan, Tuan Guru Hj Abdullah Saamah meminta umat Islam melihat kenyataan pemimpin agama, termasuk mufti yang dilantik kerajaan dalam konteks lebih luas dan bukan melihat dari sudut politik saja. Beliau yang juga seorang mudir pondok, Madrasah Al-Najmiah, Geting, Pengkalan Kubor, berkata "menjadi tanggungjawab ulama menyampaikan ajaran berdasarkan ilmu dan pengetahuan yang ada walaupun ia dilihat lebih condong kepada parti yang memerintah (menurut fahaman parti lawan[ini pandangan saya])."


Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, berkata sebagai biasanya mufti memberi pandangan berasaskan latar belakang agama yang dimiliki, jadi berterus terang adalah amalan biasa walaupun ia membabitkan orang politik kerana kita tidak akan berselindung.


Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid pula menjelaskan secara umumnya seorang mufti itu bekerja dengan kerajaan negeri, bukan dengan parti politik tertentu. Selain sebagai penasihat agama kepada Sultan dan kerajaan negeri, mufti juga memberi pandangan berhubung isu berkaitan agama, tetapi tidak membabitkan diri dalam politik.

Apa yang dikatakan oleh tokoh-tokoh di atas adalah selari dengan apa yang saya belajar di Al-Azhar. Para guru di Al-Azhar tak pernah ajar saya berpolitik kepartian. Jika ada kawan-kawan yang belajar di Al-Azhar yang belajar politik kepartian dari mana-mana sheikh atau pensyarah, rezeki dia lah kot? Apa yang saya tahu yang diajar di Al-Azhar ialah Politik Islam dengan menggunakan kitab الأحكام السلطانية oleh أ.مدحت ماهر di Masjid Al-Azhar.والله أعلم


p/s: الفِقْهُ هُوَ الْحِلُّ

Jumaat, 30 November 2012

Ikut-ikutan..

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمدلله رب العالمين, و الصلاة و السلام على النبي الأمين, و على آله و صحبه أجمعين

        Ada kawan kata, "Hang ni orang UMNO ka?". Saya tanya balik, "Awat kata macam tu?". Katanya, "Tengok hang ni macam asyik dok sokong kerajaan ja. Hang tak sokong pun Himpunan Kunin, Merah, Hijau & Oren untuk menentang kezaliman kerajaan kat rakyat". Tambahnya lagi, "Kalu hang tak sokong saja, tak pa lagi la. Ni hang siap wat keluaq hukum lagi. Hang sokong fatwa mufti kerajaan". Nampak dia berhenti bercakap tu saya kata la kat dia, "Dah benda salah takkan nak kata betoi. Kesan Bersih yang kotor tu bukan positif pun tapi negatif ada la. Betoi?". Dia angguk. "Bab royalti ni dalam bab undang-undang maritim. Hang tau undang-undang tu?Besa ngaji?". Dia geleng. "Lynas ni betoi ka bahaya?Sapa yang pakar?Pakar dalam PAS pun kata tak dak pa. Mahkamah pun dah luluskan Lynas boleh diteruskan. Yang kerja di kilang tu pun orang-orang melayu kot dekat tu jugak. Awat yang PR ni pulun nak halang Lynas?Atas alasan apa?". Geleng lagi. "Isu FGHV.Awat dengki dengan kesenangan orang lain?Awat nak kacau rezeki orang?Kerajaan dah rancang elok dah.Yang kita nak pi riuh tak ketahuan pasai pa?Ada ka orang FELDA teraniaya?".Geleng juga.
        Begitulah sedikit sebanyak antara cara berfikir orang-orang yang berpolitik partisan secara ikut-ikutan. Keadaan kita agak genting kini. Perpaduan kita semakin rapuh. Negara kita berjaya mencapai kejayaan sebegini dalam masa yang boleh dikatakan masih muda adalah dari perpaduan yang terjalin sejak merdeka dahulu lagi. Sekarang ramuan kejayaan itu cuba dirosakkan untuk menghancurkan negara. 

Malaysia Negara Islam (1).

بسم الله و الصلاة و السلام على رسول الله و على آله و صحبه و من والاه

Artikel 3 (1):’Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan    dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan’. (Islam is the religion of the Federation; but other religions may be practised in peace and harmony in any part of the Federation).

 Artikel 11 (1):‘Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya’ (Every person has the right to profess and practise his religion and subject to Clause (4) to propagate it).

Artikel 11 (4):’Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam’.(State law and in respect of the Federal Territories of Kuala Lumpur, Labuan and Putrajaya, federal law may control or restict the propagation of any religion doctrine or belief among persons professing the religion of Islam).

Artikel 12 (2):’Tiap-tiap kumpulan agama berhak menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi pendidikan kanak-kanak dalam agama kumpulan itu sendiri, dan tidak boleh ada diskriminasi semata-mata atas alasan agama dalam mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu; tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu’.


 
         Artikel 11 (1) perlu dibaca dengan Artikel 11 (4) barulah akan jelas dan nyata. Perlembagaan negara selama ini sudah menjaga masalah murtad yang berlaku. Dalam keadaan dijaga dan dikawal pun masih juga berlaku. Inilah bahananya bila umat Islam asyik bercakaran sesama sendiri. Asyik mencari salah. 

        Artikel 12 (2) jelas menunjukkan yang Islam tidak mendiskriminasi agama minoriti. Justeru, dakwaan yang menyatakan negara tidak melaksanakan Hudud untuk menyekat gejala murtad dan seruan kepada kebebasan agama kepada orang melayu amat tidak relevan.

        Seruan kepada kebebasan melayu untuk memilih agama adalah suatu mainan politik yang jahat yang boleh menghancurkan negara. Adakah ini caturan dari luar untuk menyuntik fahaman yang hendak melemahkan sistem imunisasi dalam negara. Kita wajib bersatu mengukuhkan perpaduan.

والله أعلم

اللهم انصرنا يا ناصر

p/s: Ini adalah permulaan tulisan saya berkaitan tajuk.إنشاءالله akan ada siri² yang selanjutnya.Tidak menjanjikan secepat yang mungkin.Sekiranya berkelapangan & diizinkan الله segalanya berjalan lancar.   

Ahad, 25 November 2012

Genius vs Tikus.

بسم الله و الحمدلله الذي خلق كل شيء له رؤُوس, و الصلاة و السلام على النّبيّ المبْعُوث, و على آله و صحبه و مَن تبعهم بإحسان إلى يوم العَبُوس
 
 Politikus yang baik adalah yang genius.

Politikus yang jahat adalah macam tikus.

p/s: Dari mukadimah hingga matan yang ringkas itu ada kaitannya.Terserah kepada yang membaca untuk berfikir mengikut selera memasing.

Isnin, 5 November 2012

Bertelur sebiji riuh sekampung..

بسم الله و الحمدلله و الصلاة و السلام على رسول الله و على آله و صحبه و من والاه

        Antara sifat manusia ialah suka berdebat. Berdebat apa sahaja. Ada yang ke arah kebaikan dan ada juga yang sebaliknya. Dewasa lani menyaksikan medan perdebatan bukan setakat di kedai kopi sahaja bahkan lapangan media sosial dijadikan medan baharu untuk berdebat.
        Orang orang kelihatan gemar berdebat soal politik kepartian lebih-lebih lagi bila diselit sedikit apa-apa berkaitan agama. Perdebatan demi perdebatan yang merugikan berlaku yang kita sendiri boleh saksikan. Apa yang rugi? Rugi masa, hasil tiada.
إنما يُنكر على المتّفق عليه و لا يُنكر المختلَف فيه
        Ini satu Kaedah Fekah yang menarik untuk dipelajari dalam keterujaan berdebat. Walaupun ini Kaedah Fekah tapi prinsipnya bermanfaat untuk diamalkan dalam hubungan berkomunikasi harian kita yang tak lari dari insiden debat. Maksud kaedah tersebut ialah; "Sesungguhnya yang diingkari ialah suatu yang sudah disepakati untuk mengingkarinya dan tidak diingkari pada suatu yang tidak disepakati untuk mengingkarinya."
         Prinsip mudahnya ialah sepakat dan terima suatu yang memberi kebaikan dan tidak pakat pada perkara yang memberi keburukan. Perkara yang jelas kebaikannya usahlah diperdebatkan. Kalau ketagih juga nak berdebat, debatlah sesuatu yang ada kebaikannya.
        Padan tak jika diumpamakan orang orang yang suka berdebat tak berfaedah ini dengan ayam yang bertelur sebiji riuh sekampung? Tidak, sebab ayam itu riuh nak ceritakan yang sudah bertelur. Ada hasilnya. Orang orang yang gemar riuh berdebat ini kebanyakannya tiada hasil. Setakat riuh kedai kopi sahaja, apa pun tak ada. Lebih baik sudah minum kopi balik rumah atau minum kopi di rumah. 

والله أعلم

p/s: الفقه هو الحِلّ

Ahad, 4 November 2012

NASIHAT GURU PADA MURID.



``Tuntutlah ilmu akhirat dunia,

hidup matimu dapat bahagia.


Ke manamu pergi jadi mulia,

tidaklah hidup sia-sia


Pergi sekolah janganlah segan,


ilmu agama jangan dilupakan


Sama dituntut sama amalkan,


dua-duanya sama muliakan.


Agama Islam amat sebenar,


peraturannya cukup benar.


Tetaplah padanya jangan nanar,


beroleh kebajikan yang bersinar ... ``


``Sekadar ini rencananya disurat,


supaya ingat jangan melarat.


Menghafaz membaca janganlah berat,


iman di dada akar berurat.


Cinta ibu harus diingat,


bapa berharap beserta sangat


Anak yang soleh jadi semangat,


setiap waktu setiap saat.


Harap ibu orang yang cinta,


bapa dan kaum pula serta.


Anak berilmu alim pendeta,


biarlah habis wang harta ``.


[Sultan Sulaiman Selangor,1865M-1938M]
-Baginda Sultan adalah murid kepada Tengku Mahmud Zuhdi,Syeikhul-Islam Selangor.

Rabu, 18 Julai 2012

Dalil-dalil Amalan Tahlil & Kenduri Arwah.


بسم الله الرحمن الحيم.
الحمدلله لا إله إلّا الله, و الصلاة و السلام على رسول الله, و على آله و صحبه و من ولاه. و بعد.


DEFINISI.
Tahlil :
Berasal daripada kalimah Arab هَلَّلَ يُهَلِّلُ تَهْلِيْلًا  bermaksud mengucap kalimah لاإله إلا الله  .
        Menurut istilah, seperti yang disebut di dalam kitab Tahlilan Dalam Perspektif Al-Quran dan As-Sunnah oleh KH. Mahyudin Abdus-Shomad ialah bersama-sama mengucapkan kalimah toyyibah dan berdoa bagi orang yang sudah meninggal dunia.
Menurut pemahaman masyarakat  Melayu kita pula ialah himpunan zikir yang terkandung di antaranya surah-surah pilihan,ayat-ayat pilihan, solawat ke atas Nabi, tahlil ( لا إله إلا الله ), dan lain-lain lagi dan di akhiri dengan doa kepada si mati.
Dalam huraian di atas dapat kita fahami dan simpulkan bahawa tahlil bukan sahaja mengucap kalimah لا إله إلا الله  , tetapi juga membaca surah-surah pilihan, ayat-ayat pilihan, dan lain-lain lagi dari kalimah toyyibah. Seterusnya didoakan kepada Allah untuk si mati agar dirahmati dan diberi segala kebaikan.
Kenduri Arwah :
Menurut Kamus Dewan, kenduri arwah diertikan kenduri untuk memperingati ( mendoakan ) orang yang telah meninggal.
Seperti yang kita sedia maklum, apabila berlaku kematian di dalam masyarakat Melayu kita, keluarga si mati akan melakukan kenduri ( kenduri arwah ) yang mana sebelum jamuan dihidangkan bacaan tahlil akan dibacakan oleh jemaah yang hadir.
HUKUM & DALIL.
Secara umumnya, dapat kita katakan bahawa hukum membaca tahlil dan melakukan kenduri arwah adalah harus. Ini berdasar perbahasan ulama-ulama di dalam penulisan-penulisan mereka yang bersandarkan dari sumber-sumber hukum syarak. Setakat yang diketahui tiada larangan yang jelas dari nas-nas syarak yang melarang amalan tersebut. Dalil-dalil larangan yang didatangkan oleh golongan penentang amalan  tersebut adalah tidak kukuh dan mereka seolah-olah bersifat terburu-buru dalam mengeluarkan hukum kerana banyak kecacatan terdapat dalam cara mereka mengeluarkan hukum.
Meskipun pada asalnya adalah harus kerana tiada nas yang sarih/nyata dalam amalan tahlil dan kenduri arwah ini, tidak bererti kita tidak mendapat apa-apa bila melakukannya kerana kandungan tahlil itu adalah himpunan zikir dan juga doa untuk si mati yang merupakan tuntutan agama. Begitu juga dengan melakukan kenduri arwah. Apa salahnya memberi makan kepada orang? 
Dalam perbahasan yang kecil ini dicuba semampu ada untuk mendatangkan dalil-dalil bagi permasalahan tahlil dan kenduri arwah yang dibangkitkan semula oleh golongan tertentu.
1 – Dalil umum keharusan bertahlil :
Dalil al-Quran :
Ritual bacaan tahlil pada hakikatnya adalah nama atau istilah untuk suatu acara berzikir dan berdoa atau bermunajat bersama kepada Allah dengan  membaca kalimah-kalimah toyyibah seperti tahmid, takbir, tasbih, selawat, doa-doa dan lain-lain. Dan pada intinya ritual tersebut adalah doa yang dilakukan sejumlah orang untuk mendoakan si mati kerana Allah memerintahkan kita untuk berdoa kepadaNya seperti yang tersebut di dalam al-Quran:


-           Surah Muhammad, 19 :
Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat).

Dari ayat tersebut menerangkan bahwa orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan mendapatkan manfaat dari istighfar orang mukmin lainnya untuknya.

-          Surah  Nuh, 28 :
Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman) dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!

-          Surah Ibrahim, 40-41 :
Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.

-          Surah Al Hasyr, 10 :

 Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah belas kasihan dan rahmatMu.
Beberapa ayat dan keterangan tersebut menjadi bukti nyata bahwa orang yang beriman tidak hanya memperoleh pahala dari perbuatannya sendiri bahkan mereka juga mendapat  manfaat dari  amalan orang lain.
Dalil al-Hadis :
Selain dalil daripada al-Quran yang menerangkan bahawa orang yang sudah meninggal dunia mendapat manfaat amalan orang lain, dalam al-Hadis juga tedapat keterangan yang menyatakan hal tersebut. Seperti Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah radiallahuanhu :

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ إِذَا صَلَّيْتُمْ عَلَى الْمَيِّتِ فَأَخْلِصُوْا لَهُ الدُّعَاَء (سنن الترمذى)
“Daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda, Jika kamu semua menyembahyangkan mayat, maka berdoalah dengan ikhlas untuknya. (Sunan At-Tirmizi)

Hadis tersebut secara jelas menerangkan bahawa Rasulullah memerintahkan kepada umat islam untuk mendoakan orang yang sudah meninggal dunia dengan tulus ikhlas. Hal ini bererti bahawa doa yang dibaca dengan ikhlas  bermanfaat bagi si mati yang dimaksudkan. Jika tidak ada manfaatnya nescaya Rasulullah tidak bersabda sedemikian. Setiap perkataan dan tingkah laku Rasulullah tidak sia-sia.

اَنَّ عَائِشةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا سَأَلَتِ النَّبِيَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَيْفَ أَقُوْلُ إِذَا اسْتَغْفَرْتُ لِاَهْلِ الْقُبُوْرِقَالَ قُوْلِى اَلسَّلَامُ عَلَى أَهْلِ الْدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُسْلِمِيْنَ وَيَرْحَمُ اللهُ الْمُسْتَقْدِمِيْنَ مِنَّا وَالْمُسْتَأْخِرِيْنَ وَإنَّا إنْ شَاءَ اللهُ بِكُمْ لَاحِقُوْنَ (صحيح مسلم)
“Sesungguhnya Aisyah radiallahuanha  bertanya kepada Rasulullah ﷺ; Apa yang harus dibaca ketika aku memohon ampun bagi ahli kubur? Rasulullah ﷺ menjawab; Ucapkanlah olehmu: Salam sejahtera atas engkau semua wahai ahli kubur dari golongan mukminin dan muslimin, semoga Allah  melimpahkan Rahmat-Nya bagi orang-orang yang mendahului serta orang-orang yang datang kemudian dari kami, dan dengan izin Allah kami akan menyusul kalian.”

Hadis di atas menerangkan bahawa Rasulullah menganjurkan untuk menziarahi kubur dan mengucapkan salam kepada ahli kubur serta mendoakannya dan ada juga hadis yang menerangkan bahawa Rasulullah sering ziarah ke Makam Baqi’. Dapat difahami dari penjelasan tersebut, bahawa ahli kubur dapat mendengar salam dari orang yang mengucapkan salam kepada ahli kubur tersebut dan memperoleh manfaat dari doa tersebut.

Banyak lagi dalil dari al-Hadis yang menjelaskan bahawa amalan orang yang masih hidup dapat memanfaatkan orang-orang yang sudah meninggal dunia, dan dengan disebutkan beberapa dalil dari al-Hadis yang tersebut di atas dirasakan sudah memadai untuk difahami oleh kita yang awam ini.

Dalil Kaedah-kaedah Fikah :
         الأصل فى الأشياء الإباحة إلا إذا دل الدليل على تحريمه فهو حرام .  
Hukum asal sesuatu ialah harus melainkan ada dalil yang mengharamkan, maka hukumnya   haram.
Dalam permasalahan tahlil ini, kita tidak dapati dalil dari al-Quran mahu pun as-Sunnah yang  secara jelas mengharamkan atau mengharuskan. Justeru, kita mengambil kira pada hukum asalnya iaitu harus kerana tiada larangan yang jelas.
         الأمور بمقاصدها .
Tiap-tiap perkara itu menurut apa yang diniatkan.
Daripada kaedah yang pertama tadi dapat kita fahami bahawa hukum asalnya adalah harus kerana tiada larangan yang jelas.  Kaedah yang kedua ini pula menjelaskan kepada kita bahawa setiap apa yang kita lakukan tak dapat tidak berkait dengan apa yang kita niatkan. Jika kita niatkan bacaan tahlil tadi untuk si mati, dengan izin Allah sampai pahalanya kerana yang memberi itu adalah Allah.  
2 - Dalil bacaan-bacaan dalam tahlil :      
2.01 -  Membaca Surah Al-Fatihah.
Dalil mengenai keutaman Surah Fatihah:
عَنْ أَبِي سَعِيدِ بْنِ الْمُعَلَّى قَالَ: قَالَ لِيْ رَسُوْلُ اللهِ صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَلَا أُعَلِّمُكَ أَعْظَمَ سُورَةٍ فِي الْقُرْآنِ قَبْلَ أَنْ تَخْرُجَ مِنَ الْمَسْجِدِ؟. فَأَخَذَ بِيَدِي فَلَمَّا أَرَدْنَا أَنْ نَخْرُجَ قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّكَ قُلْتَ لَأُعَلِّمَنَّكَ أَعْظَمَ سُورَةٍ مِنَ الْقُرْآنِ. قَالَ: الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ هِيَ السَّبْعُ الْمَثَانِي وَالْقُرْآنُ الْعَظِيمُ الَّذِي أُوتِيتُهُ. )رواه البخاري(
Ertinya: “Daripada Abu Said al-Mualla radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda kepadaku: “Mahukah aku ajarkan kepadamu surah yang paling agung dalam al-Quran  sebelum engkau keluar dari masjid?”. Maka Rasulullah memegang tanganku. Dan ketika kami hendak keluar, aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Engkau berkata bahawa Engkau akan mengajarkanku surah yang paling agung dalam al-Quran”. Baginda  menjawab: “الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (Surah al-Fatihah), ia adalah tujuh ayat yang diulang-ulang (dibaca pada setiap sembahyang), ia adalah al-Quran yang agung yang diberikan kepadaKu”.
(Hadis riwayat al-Bukhari).
2.02 - Membaca Surah al-Ikhlas.
Dalil mengenai keutamaan Surah  al-Ikhlas.
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِي اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَصْحَابِهِ: أَيَعْجِزُ أَحَدُكُمْ أَنْ يَقْرَأَ ثُلُثَ الْقُرْآنِ فِي لَيْلَةٍ فَشَقَّ ذَلِكَ عَلَيْهِمْ وَقَالُوا أَيُّنَا يُطِيقُ ذَلِكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَقَالَ اللَّهُ الْوَاحِدُ الصَّمَدُ ثُلُثُ الْقُرْآنِ .) رواه البخاري(
“ Daripada Abu Said al-Khudri  radiallahuanhu, dia berkata: Nabi  bersabda kepada para sahabatNya: “Apakah kalian tidak mampu membaca sepertiga al-Quran dalam semalam?”. Maka mereka merasa berat dan berkata: “Siapakah di antara kami yang mampu melakukan itu, wahai Rasulullah?”. Jawab baginda: “اللَّهُ الْوَاحِدُ الصَّمَدُ (Surat al-Ikhlas) adalah sepertiga al-Quran”(Hadis riwayat al-Bukhari).
2.03 - Membaca Surah al-Falaq
2.04 - Membaca Surah an-Naas
Dalil keutamaan Surah al-Falaq dan an-Naas.
عَنْ عَائِشَةَ رَضِي اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا اشْتَكَى يَقْرَأُ عَلَى نَفْسِهِ بِالْمُعَوِّذَاتِ وَيَنْفُثُ فَلَمَّا اشْتَدَّ وَجَعُهُ كُنْتُ أَقْرَأُ عَلَيْهِ وَأَمْسَحُ بِيَدِهِ رَجَاءَ بَرَكَتِهَا. )رواه البخاري(
“ Daripada Aisyah radiallahuanha, bahawasanya Rasulullah bila  sakit Baginda membaca sendiri al-Muawwizaat (Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah an-Naas), kemudian meniupkannya. Dan apabila rasa sakitNya bertambah aku yang membacanya kemudian aku usapkan ke tanganNya mengharap keberkatan dari surah-surah tersebut”.
(Hadis riwayat al-Bukhari).
2.05 - Membaca Surah al-Baqarah ayat 1 sampai 5
2.06 - Membaca Surah al-Baqarah ayat 163
2.07 - Membaca Surah al-Baqarah ayat 255 (Ayat Kursi)
2.08 - Membaca Surah al-Baqarah ayat 284 sampai akhir surah.
Dalil keutamaan ayat-ayat tersebut:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُوْدٍ قَالَ: مَنْ قَرَأَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ سُورَةِ الْبَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ لَمْ يَدْخُلْ ذَلِكَ الْبَيْتَ شَيْطَانٌ تِلْكَ اللَّيْلَةَ حَتَّى يُصْبِحَ أَرْبَعًا مِنْ أَوَّلِهَا وَآيَةُ الْكُرْسِيِّ وَآيَتَانِ بَعْدَهَا وَثَلَاثٌ خَوَاتِيمُهَا أَوَّلُهَا ( لِلَّهِ مَا فِي السَّمَوَاتِ ).) رواه ابن ماجه(

“Daripada Abdullah Bin Mas’ud radiallahuanhu, dia berkata: “Barangsiapa membaca 10 ayat dari Surah al-Baqarah pada suatu malam, maka syaitan tidak masuk rumah itu pada malam itu sampai pagi, iaitu 4 ayat permulaan dari Surah al-Baqarah, Ayat Kursi dan 2 ayat sesudahnya, dan 3 ayat terakhir yang dimulai (
لِلَّهِ مَا فِي السَّمَوَاتِ).” (Hadis riwayat: Ibnu Majah).
2.09 - Membaca Tahlil : لاَ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ

Dalil mengenai keutamaan membaca tahlil (kalimah لا إله إلا الله ):
عَنْ جَابِرِ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ رَضِي اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: أَفْضَلُ الذِّكْرِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَفْضَلُ الدُّعَاءِ الْحَمْدُ لِلَّهِ . )رواه الترمذي وابن ماجه(
“ Dari Jabir bin Abdullah radiallahuanhuma, dia berkata: Aku mendengar Rasulullah bersabda: “Sebaik-baik zikir adalah ucapan لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ, dan sebaik-baik doa adalah ucapan الْحَمْدُ لِلَّهِ”. (Hadis riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah).

عَنْ أَبِي ذَرٍّ رَضِي اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلَامَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْيٌ عَنِ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنَ الضُّحَى . )رواه مسلم(
“ Daripada Abu Zar radiallahuanhu, daripada Nabi  , sesungguhnya Baginda bersabda: “Bahawasanya pada setiap tulang sendi kalian ada sedekah. Setiap bacaan tasbih itu adalah sedekah, setiap bacaan tahmid itu adalah sedekah, setiap bacaan tahlil itu adalah sedekah, setiap bacaan takbir itu adalah sedekah, dan amar makruf nahi munkar itu adalah sedekah, dan mencukupi semua itu dua rakaat yang dilakukan seseorang dari Sembahyang Duha.” (Hadis riwayat Muslim).

Syeikh Ibnu Taimiyyah ditanya mengenai bertahlil. Apa katanya? Lihat dalam Majmuk al-Fatawanya ;
و سئل عمن ((هلل سبعين ألف مرة,و أهداه للميت,يكون براءة من النار)) حديث صحيح أم لا؟ و إذا هلل الإنسان و أهداه إلى الميت يصل إليه ثوابه, أم لا؟
فأجاب: إذا هلل الإنسان هكذا: سبعون ألف,أو أقل,أو أكثر,و أهديت إليه,نفعه الله بذلك,وليس هذا حديثا صحيحا,و لا ضعيفا.والله أعلم

Ibnu Taimiyyah ditanya  mengenai orang yang: ((bertahlil 70000 kali dan dijadikan hadiah (pahalanya) kepada orang mati, agar menjadi kelepasan bagi si mati dari api neraka)). Adakah Hadis tersebut sahih atau tidak? Dan apabila bertahlil seseorang dan dihadiahkan (pahalanya) kepada orang mati adakah pahalanya sampai kepada si mati atau tidak?
Maka Ibnu Taimiyyah menjawab:
Apabila bertahlil seseorang dengan yang sedemikian 70000 atau kurang atau lebih dan dihadiahkan kepada si mati, Allah menjadikannya bermanfaat baginya dengan yang sedemikian itu. Dan Hadis tersebut tidaklah sahih dan tidak juga doif (yakni tidak sabit kedudukan Hadis tersebut di sisi Ibnu Taimiyyah). Allah jualah Yang Maha Mengetahui.
2.10 - Membaca selawat Nabi.
Dalil keutamaan membaca selawat Nabi:
-          Surah Al-Ahzab, 56 :
Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad ); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadaNya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: أَوْلَى النَّاسِ بِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَكْثَرُهُمْ عَلَيَّ صَلَاةً (رواه الترمذي وقال: هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ) ثُمَّ قَالَ: وَرُوِي عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا وَكَتَبَ لَهُ بِهَا عَشْرَ حَسَنَاتٍ.
“ Daripada Abdullah bin Mas’ud radiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah bersabda: “Manusia yang paling utama di sisiKu pada Hari Kiamat ialah yang paling banyak membaca selawat kepadaKu” (Hadis riwayat at-Tirmizi, dan dia berkata: Hadis ini Hasan Gharib). Kemudian dia berkata: Dan diriwayatkan daripada Nabi , sesungguhnya Baginda bersabda: “Barangsiapa membaca selawat kepadaKu sekali, maka Allah memberinya selawat (rahmat) kepadanya 10 kali dan mencatat 10 kebaikan untuknya”.
2.11 - Membaca doa.
Keutamaan berdoa:
-          Surah Ghaafir, 60 :
Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِي اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لَيْسَ شَيْءٌ أَكْرَمَ عَلَى اللَّهِ تَعَالَى مِنَ الدُّعَاءِ.) رواه ابن ماجه و الترمذي, و قال هذا حديث حسن غريب(

“ Daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, daripada Nabi 
, baginda bersabda: “Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di  sisi Allah daripada doa”.
(Hadis riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmizi, kata at-Tirmizi: hadis ini Hasan Gharib)
Demikianlah dalil-dalil yang dijadikan landasan kepada amalan tahlil untuk mendoakan si mati agar diampuni kesalahan-kesalahanya ketika di dunia atau di tambah pahalanya oleh Allah. Jadi, kalau dikatakan bertahlil itu tidak ada dasar hukumnya, tidak ada dalilnya, atau tidak ada landasannya, maka jelas sekali kenyataan itu sebenarnya salah sesalah-salahnya. Dalil-dalil  yang tertera  sudah cukup  untuk dijadikan dasar pengambilan hukum.
3- Dalil Kenduri Arwah :
                Ada riwayat di dalam Sahih Bukhari :
حدثنا ‏ ‏عمرو بن خالد ‏ ‏قال حدثنا ‏ ‏الليث ‏ ‏عن ‏ ‏يزيد ‏ ‏عن ‏ ‏أبي الخير ‏ ‏عن ‏ ‏عبد الله بن عمرو ‏ ‏رضي الله عنهما ‏
‏أن رجلا سأل النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم :‏ ‏أيّ الإسلام خير؟ قال ‏: ‏تطعم الطعام وتقرأ السلام على من عرفت ومن لم تعرف.
Telah memberitahu kepada kami oleh ‘Amr  Bin Khalid, beliau berkata : telah memberitahu kepada kami oleh Al-Lais daripada Yazid daripada Abil-Khair daripada ‘Abdullah Bin ‘Amr RadiaLlahu-‘anhuma bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah ﷺ :  Yang manakah pekerjaan Islam yang lebih baik? Jawab Nabi ﷺ : Memberi makanan kepada manusia dan sebarkan salam kepada orang yang kamu kenali atau pun tidak.
                Memberi makanan dalam Hadis tersebut bersifat umum, tidak dikaitkan dengan perkara yang khusus. Termasuklah antaranya kenduri arwah, memberi makanan kepada peminta-peminta sedekah dan sebagainya. Menurut kaedah, kita tidak boleh mengkhususkan sesuatu hukum dengan dalil yang umum selagi mana tidak ada dalil yang mengkhususkannya.
                Meskipun begitu, perlu diingatkan di sini bahawa mengadakan kenduri arwah dengan perbelanjaannya dari  harta pusaka si mati yang sebahagian dari pewarisnya belum baligh yang masih belum tiba masa  berhak menguruskan hartanya , maka haram.  Sebaliknya jika harta pusaka tersebut telah dibahagikan dan diambil dari perwaris yang sudah berhak mengurus hartanya sendiri, atau harta yang selain  dari pusaka si mati misalnya duit gaji anak / waris si mati sendiri, bukan merupakan wang harta pusaka, maka tiada halangan keharusannya mengadakan kenduri arwah dengan menggunakan harta yang begitu.
Hadis Towus (طاوس ) :

 ( ان الموت يفتنون فى قبورهم سبعا . فكانوا يستحبون أن يطعموا عنهم تلك الأيام . )  
 Ertinya : Berkata Towus, bahawasanya segala orang yang mati itu difitnah di dalam kubur           mereka dalam masa 7 hari. Maka adalah mereka itu ( para Sahabat) suka memberi makanan ganti daripada mereka itu ( orang-orang mati di dalam kubur ) pada demikian hari.  

               Maksud Hadis tersebut ialah orang-orang yang mati akan ditimpa dengan fitnah selama 7 hari pertama selepas dikebumikan. Para Sahabat suka berbuat kebajikan dengan memberi makanan  pada hari tersebut supaya dengan pahala kebajikan tersebut dapat sampai kepada si mati dan dengan berkat amalan kebajikan tersebut dapat menyelamatkannya dari fitnah tersebut.
              
               Berkata Imam as-Sayuti di dalam kitabnya الحاوي للفتاوي, Katanya : ( كانوا يستحبون )Adalah manusia pada ketika itu melakukan amalan sedemikian pada zaman Nabi , dan baginda tidak ingkar akan amalan tersebut.

PENUTUP.


               Sebagai mengakhiri penulisan yang kecil ini, diseru kepada pencinta-pencinta agama agar dalamilah ilmu agama dengan bersungguh-sungguh. Jauhilah dari perbalahan yang tidak mendatangkan faedah. Semoga Allah  merahmati kita semua.

والله أعلم.