Ahad, 31 Ogos 2014

PEMASYHURAN KEMERDEKAAN.

بسم الله الرحمن الرحيم

Pemasyhuran kemerdekaan.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Mengasihani, segala puji bagi Allah yang Maha Berkuasa dan selawat dan salam ke atas sekalian Rasul-Nya.
    Bahawasanya kerana telah tibalah masanya bagi umat Persekutuan Tanah Melayu ini mencapai taraf suatu bangsa yang merdeka lagi berdaulat sama setimpal kedudukannya dengan segala bangsa seluruh dunia.
    Dan bahawasanya kerana dengan perjanjian yang disebut namanya Perjanjian Tanah Melayu tahun 1957 yang diperbuat antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, maka, telah dipersetujui bahawa Negeri-negeri Melayu, iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, dan Perak serta negeri yang dahulunya dinamakan Negeri Selat, iaitu Melaka dan Pulau Pinang, mulai 31 hari bulan Ogos tahun 1957, hendaklah menjadi sebuah Persekutuan baharu bagi negeri-negeri yang bernama Persekutuan Tanah Melayu.
    Dan bahawasanya kerana telah bersetuju pula antara kedua-dua pihak dalam perjanjian tersebut, iaitu Melaka dan Pulau Pinang hendaklah daripada tarikh tersebut itu tamat daripada menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Baginda Queen, dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tidak lagi berhak menjalankan apa-apa kedaulatan baginda ke atas kedua-dua buah negeri yang tersebut itu.
    Dan bahawasanya kerana telah bersetuju pula antara kedua-dua pihak yang tersebut, iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948, dan segala peranjian yang lain yang ada sekarang antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja ataupun salah seorang daripada baginda itu sebelum tarikh yang tersebut hendaklah dibatalkan mulai daripada tarikh itu, dan semua kuat kuasa dan hak Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen ataupun Parlimen Negeri United Kingdom dalam Negeri-Negeri Selat ataupun Persekutuan Tanah Melayu seluruhannya adalah tamat dengan sendirinya.
    Dan bahawasanya kerana Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Parlimen Negeri United Kingdom dan Majlis-Majlis Undangan Persekutuan dan Negeri-Negeri Melayu telah meluluskannya, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1957 itu berjalan kuat kuasanya.
    Dan bahawasanya kerana suatu perlembagaan bagi kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditentukan menjadi suatu kanun yang muktamad baginya.
    Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen.
    Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang diadakan oleh Majlis Undangan Persekutuan yang tersebut itu telah diluluskan oleh suatu undang-undang yang diadakah oleh Majlis Undangan Persekutuan serta dengan undang-undang yang diadakan oleh negeri-negeri Melayu dan dengan ketetapan-ketetapan dalam Majlis Undangan Negeri Melaka dan Pulau Pinang, dengan demikian Perlembagaan itu telah berjalan kuat kuasanya pada 31 hari bulan Ogos tahun 1957.
    Maka, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya Tunku Abdul Rahman Putra ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri bagi Persekutuan Tanah Melayu, dengan persetujuan dan perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja negeri-Negeri Melayu dengan ini memasyhurkan dan mengisytiharkan bagi pihak umat Persekutuan Tanah Melayu bahawa mulai Tiga Puluh Satu hari bulan Ogos Tahun Seribu Sembilan Ratus Lima Puluh Tujuh, maka Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi Negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Melaka dan Pulau Pinang dengan limpah rahmat Allah subhanahu wa ta'ala akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan di antara segala bangsa.

Doa Syeikh Ahmad bin Mohd Said (Mufti Pertama Negeri Sembilan) Pada Hari Kemerdekaan 1957.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سَائِرَ العُمَّالِ وَالوُزَرَاءِ وَالسَّلاَطِينَ وَالمُلُوكِ وَالأُمَرَاءِ لِرِعَايَةِ أُمُورِ الدِّينِ وَالمُحَافَظَةِ عَلَى حُقُوقِ المُسْلِمِينَ وَإِقَامَةِ العَدْلِ فِى الأَحْكَامِ وَالتَّمَسُّـكِ بِفَضَائِلِ الإِسْلاَمِ،
اَللَّهُمَّ وَأَصْلِحْ بِهِمْ شُئُونَ الأُمَّةِ المَلاَيُوِيَّةِ حَتَّى تَتَرَقَّى وَتَتَقَدَّمَ إِلَى أَعْلَى مَا يَتَحَقَّقُ بِهِ بُلُوغُ الأُمْنِيَّةِ. اَللَّهُمَّ وَانْصُرْنَا مَعَاشِرَةَ الأُمَّةِ المَلاَيُوِيَّةِ وَاهْدِنَا وَسَدِّدْنَا خَيْرَ البَرِيَّةِ وَاهْدِنَا الصِّرَاطَ المُسْـتَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّآلِينَ،
اَللَّهُمَّ اكْشِفْ عَنَّا الكُرُبَاتِ وَسَـلِّمْنَا نَحْنُ مِمَّا فِيهِ مِنَ الآفَاتِ وَاحْفَظْنَا مِنْ كُلِّ سُوءٍ وَمَلاَمٍ وَبَـلِّغْنَا كُلَّ مَقْصُودٍ وَمُرَامٍ وَأَصْلِحْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ غَيْرِنَا حَتَّى تَكُونَ فِى أَمَانٍ وَسَلاَمٍ. وَفَرِّجْ عَنَّا كُرُبَاتِنَا فَرْجًا عَاجِلاً بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ،
اَللَّهُمَّ كُنْ لَنَا وَلَهُمْ وَلِهَذَهِ البِلاَدِ حَافِظًا مِنْ جَمِيعِ البَلاَيَا وَدَافِعًا عَنَّا وَعَنْهُمْ جَمِيعَ الرَّزَايَا، وَانْصُرْنَا عَلَى الأَعْدَاءِ وَالحُسَّادِ وَاحْلُلْ غَضَبَكَ وَنِقْمَتَكَ عَلَى البَغْيِ وَالفَسَادِ اَللَّهُمَّ وَاحْرُسْ بِعَيْنِكَ الَّتِي لاَ تَنَامُ وَاكْـنُفْ بِكَنَفِكَ وَرُكْنِكَ الَّذِي لاَ يُرَام. اَللَّهُمَّ اِرْمِ رَايَةَ الإِسْلاَمِ مَنْشُورَةً وَمَوَاطِنَ الدِّينِ وَالحَـقِّ مَعْمُورَةً
 
Yang bermaksud;
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Mengasihani
Ya Allah! Anugerahkanlah taufiq kepada sekelian pentadbir awam, jemaah menteri, para sultan dan raja, serta pemimpin negara bagi memelihara kehendak-kehendak agama, memelihara hak keistimewaan umatnya, menegakkan keadilan dalam undang-undang dan berpegang kepada keindahan Islam.
Ya Allah! Jadikanlah mereka agen perubah hal keadaan orang-orang Melayu, agar bangsa ini meningkat maju dan kehadapan sehingga tercapai cita-cita yang diidam-idamkan.
Ya Allah! Bantulah bangsa Melayu, bimbinglah serta jadikanlah kami menjadi sebaik-baik manusia. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, jalan yang telah Engkau kurniakan kepada umat Islam yang telah menikmatinya, bukan sebagaimana orang yang Engkau murkai dan bukan juga orang yang sesat.
Ya Allah! Hindarilah kami daripada sebarang kesusahan, sejahterakanlah kami daripada segala yang boleh memudharatkan, peliharalah kami daripada segala buruk lagi keji dan tunaikanlah segala yang diharap dan dihajati. Harmonikanlah antara kami dan bangsa lain selain kami hingga kami sentiasa dalam keamanan dan keselamatan. Bebaskanlah kami dengan segera daripada segala kepayahan dengan rahmatMu wahai Tuhan yang Maha Merahmati segala yang penyayang.
Ya Allah! Jadikanlah bagi bangsa kami, kaum yang lain dan negara ini penjaga daripada segala bala, yang menghalang kami dan mereka daripada sebarang pencerobohan. Bantulah kami menewaskan segala musuh dan orang yang dengki. Zahirkanlah kemarahanMu dan kemurkaanMu kepada orang yang melampau dan yang melakukan kerosakkan.
Ya Allah! Awasilah dengan penglihatanMu yang tidak pernah lena dan bentengilah dengan perlindungan dan bentengMu yang tidak mudah diterima.

Oleh,
Al-Marhum Syeikh Haji Ahmad bin Muhammad Said, doa ini dibaca ketika pengisytiharan Kemerdekaan Negara di Stadium Merdeka oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj pada 31hb Ogos 1957.

Merdeka perlu pengorbanan..

بسم الله الرحمن الرحيم


"Merdeka itu bukanlah suatu benda yang mudah boleh didapati, melainkan ialah dikehendaki untuk mendapatkannya itu, iaitu pengorbanan yang sebenarnya pengorbanan."
- Tunku Abdul Rahman.

Jika merdeka itu suatu yang mudah, sudah pasti mudah kita merdekakan diri dan jiwa dari belengu nafsu, syaitan, syahwat, dan sifat-sifat mazmumah. Untuk menjadi insan merdeka yang berjiwa merdeka perlulah ada kehendak dan berkehendak untuk mendapatkannya itu, dan perlulah ada pengorbanan yang jitu.

Sabtu, 23 Ogos 2014

Bertafakur itu "moment of silence"?

بسم الله الرحمن الرحيم

http://www.suaragenerasibaru.com/wp-content/uploads/2014/08/10436676_939467106080008_6147772801450666292_n.jpg

Alahai, kat Perlis tak boleh laksanakan program tafakur sebab bertentang dengan fatwa! Kita tengok seputar perbahasan isu tafakur oleh beberapa tokoh. 

Prof. Madya Dr. Asmadi Mohamed Naim.

Isu Berkabung

Kalau mengikut pandangan mereka yg mentafsirkan bahawa apa-apa yang Nabi SAW tidak buat, sesat dan masuk neraka, maka 'Berkabung Negara' akan termasuk dalam perkara yang bid'ah yang sesat.
Kalau kita mentafsirkannya berdasarkan bagaimana ulama-ulama Ahlussunnah yang melihat sesuatu itu berdasarkan 5 hukum, dan hukum kias, mereka berpegang bahawa sesuatu yang Nabi SAW buat boleh diklasifikasikan perkara yang wajib dan mustahab dan harus.
Dalam ertikata, ada yang kita mesti ikut Nabi, iaitu perkara wajib, kalau tak buat tak sah sesuatu itu. Pada kedudukan tersebut, haram meninggalkan perbuatan tersebut jika dilakukan dengan sengaja.
Manakala perkara mustahab atau sunat ialah perbuatan yang berpahala kalau diikut, tapi tak berdosa kalau tidak lakukan. Kalu melakukan secara bertentangan, termasuk 'mukhalafah al-sunnah', maka hukumnya makruh.
Manakala perkara harus, tiada dalil menyuruh, dan tiada juga dalil pula melarang dan mengharamkannya. Sebab tiadanya dalil bukan melambangkan haram sesuatu perkara itu. Untuk haramkan perlu kepada dalil.
Jadi, bila berkabung sudah menjadi 'adat' yang diterima bagi semua negara, maka perlaksanaannya itu yang perlu diperhatikan dengan asas-asas berikut:
1. Tidak mengamalkan amalan agama lain.
2. Tidak berupa tasyabbuh kepada amalan agama lain.
Oleh itu;
I. amalan bendera separuh tiang adalah harus sebab bukan amalan agama. Tetapi adat semasa sesuatu negara menunjukkan kesedihan.
Ii. Manakala tafakur di dalam Islam dibenarkan untuk mengingati kebesaran Allah dan pengajaran sesuatu peristiwa. Tapi tafakur yang dianjurkan, saya syorkan gantikan dengan bacaan al-fatihah dan sedekahkan kpd si mati.
Iii. Pakai baju gelap, dalam kes isteri kematian suami, digalakkan pakai baju gelap. Dalam konteks negara kita, pakai hitam bukan budaya kita berkabung, tetapi budaya majlis berkabung raja-raja Melayu yang sudah diterima.
Apapun maksud umum berkabung, makruh memanjangkan tempoh berkabung. Sebab itu, sunnahnya ucapan takziah sekitar 3 hari selepas kematian, kecuali kalau seseorang bermusafir. Jadi, meletakkan sehari sahaja hari berkabung sudah memadai memandangkan peristiwa ini sudah lama berlaku.
Wallahu ta'ala a'lam.

Dr. Mohd Farid Mohd Shahran.

Isu berkabung dan tafakkur. Tiada nas yang boleh sabitkan haram. Hatta berkabung pakai hitam untuk dikatakan sbagai tasyabbuh pun tidak tepat sebab kata Dr Wahbah Az Zuhaili menyatakan 4 mazhab setuju wanita berkabung digalakkan pakai hitam. Qiyaslah.

PU Salman.

Hukum diam bertafakur  untuk menghormati jenazah tertentu
Pu salman menjawab:
Ulama berbeza pendapat kepada dua:
Pendapat pertama :
Haram kerana Nabi saw tidak melakukannya dan mereka mengatakan budaya ini diambil dari orang kafir sedangkan Nabi saw bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
“ Sesiapa yang menyerupai satu kaum maka dia tergolong dari kaum tersebut.”
Hr Abu daud
(Fatwa ulama kerajaan Saudi)
Pendapat kedua:
Harus selagi mana tidak ada ritual keagamaan.
Antara hujjah mereka:
  1. Islam menggalakkan ketika berdiri kepada orang yang mulia yg datang:
قوموا إلى سيدكم
“ Berdirilah untuk pemimpin kamu”
Hadis sahih Bukhari.
Berdiri sebentar untk kematian juga adalah tanda menghormatinya.
  1. Nabi saw berdiri utk jenazah:
مرت به جنازة فقام فقيل له إنها جنازة يهودي فقال أليست نفسا
“ Lalu satu jenazah pada Nabi saw lalu Nabi saw berdiri. Kemudian dikatakan “ itu jenazah yahudi.” Nabi saw menjawab “ bukankah ia satu jiwa (perlu dihormati).”
Hadis sahih Bukhari.
Hadis ini menunjukkan berdiri menghormati mayat adalah dituntut.
3.Adapun berkenaan larangan meniru orang kafir ialah tidak semua perkara yang dari orang kafir itu dilarang.
Ibnu Najim alhanafi berkata dalam kitab البحر الرائق شرح كنز الدقائق
اعلم أن التشبيه بأهل الكتاب لا يكره في كل شيء وإنا نأكل ونشرب كما يفعلون إنما الحرام هو التشبه فيما كان مذموما وفيما يقصد به التشبيه

“ Ketahuilah sesungguhnya menyerupai ahli kitab bukanlah dilarang pada semua perkara. Sesungguhnya kita makan, minum seperti mereka. Perkara yang haram ialah menyerupai perkara yang tercela dlm Islam dan dengan niat untuk meniru mereka.”
Contohnya ialah makan pakai sudu, pakai tali leher, selagi mana ia tidak dicela dan tidak niat tiru maka ia diharuskan.
(Fatwa ulama kerajaan Mesir).
Perkara ini ialah diantara perkara yang menjadi masaalah khilafiah yang tidak perlu kita berbalah. Hormatilah pandangan yang lain. Utk jemputan ceramah pu salman (013 3533 248)

Kita tengok pula apa kata Fatwa Malaysia;


ISU:
Saya ingin bertanya tentang isu tafakkur dan berkabung. Adakah dalam Islam ada amalan tafakkur sebagai tanda kedukaan atas kematian sepertimana dalam ke MH17. Begitu juga tentang amalan berkabung. Dalam Islam apa yang sepatutnya dilakukan. Mohon penjelasan. Terima kasih.
PENJELASAN:
Faham bertafakkur dalam Islam tidaklah sama dengan apa yang dilakukan sekarang ini yang dipanggil ‘moment of silence’ (tunduk selama beberapa minit) bagi menghormati orang yang mati. Tafakkur membawa makna “kegiatan hati untuk memahami makna setiap perkara bagi mencapai apa yang dihajati. Tafakkur juga merupakan pancaran hati yang dengannya kebaikan, keburukan, manfaat dan kemudaratan akan menjadi jelas (al-Jurjani, Kitab al-Ta’rifat, ms.77)
Namun perbuatan tunduk selama beberapa minit (moment of silence) bagi menghormati orang yang mati tidaklah bertentangan dengan syarak kerana ia sekadar tanda penghormatan yang bersifat universal dan tidak melibatkan apa-apa ritual bacaan dan pergerakan yang menyerupai amalan keagamaan agama lain. Penekanan dalam perbuatan 'moment of silence' lebih kepada bagi menunjukkan kesedihan, ingatan dan penghormatan kepada mereka yang telah meninggal dunia.
Namun sekiranya perbuatan tersebut disertai dengan ritual keagamaan agama lain seperti menyalakan lilin atau bacaan-bacaan tertentu maka ia menjadi tidak selari dengan amalan Islam dan dilarang oleh syarak.
Asas terhadap keharusan tersebut boleh diambil dari perbuatan Rasulullah yang bangun menghormati jenazah seorang Yahudi yang lalu di hadapan baginda atas dasar kemanusiaan. Begitu juga dengan kisah seorang Sahabat Nabi bernama Qays Ibn Syamas yang pernah menyatakan hasratnya kepada Rasulullah untuk menghadiri majlis kematian ibunya yang beragama Nasrani, Nabi membenarkan dan menyuruhnya berjalan di hadapan jenazah sebagai tanda hormat. (Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Ahkam ahl Zimmah, vol.2 ms. 434).
Walaupun apa yang dilakukan oleh Nabi dan Qays, tidaklah benar-benar sama dengan perbuatan 'moment of silence', namun kedua-dua perbuatan tersebut memberi isyarat bahawa tidak salah untuk menghormati orang yang meninggal melalui perbuatan yang tidak bertentangan dengan syariah, termasuk bukan Islam. Islam sendiri menggalakkan kita mengambil iktibar dari kematian. Namun yang terbaik untuk dilakukan bagi menghormati orang Islam yang meninggal dunia ialah dengan mendoakan mereka dan membaca ayat-ayat suci al-Qur’an.
Sementara perbuatan berkabung bagi menunjukkan tanda dukacita kepada orang yang meninggal dunia seperti mengibarkan bendera separuh tiang dan memakai pakaian berwarna serba hitam atau suram adalah dibenarkan selagi ia tidak melibatkan unsur-unsur atau ritual keagamaan agama bukan Islam yang bertentangan dengan syarak.
Dalam perbahasan para ulama amalan berkabung banyak merujuk secara khusus kepada apa yang dilakukan oleh seorang wanita yang kehilangan suami. Istilah yang digunakan ialah al-ihdad/al-hadad yang bermaksud menahan diri daripada berhias.
Menurut istilah pula, perkabungan memberi erti meninggalkan perbuatan memakai haruman, perhiasan, celak, minyak, sama ada yang harum ataupun tidak, iaitu yang khusus bagi tubuh. Namun ia boleh dikiaskan kepada konteks yang lebih besar termasuk dalam konteks masyarakat dan Negara seperti dalam kes MH17. Maka keputusan untuk menetapkan beberapa hari untuk tujuan berkabung adalah termasuk dalam perkara yang harus.
Malah dalam hal memakai pakaian berwarna hitam, terdapat perbahasan yang mengatakan bahawa Keempat-empat mazhab mengharuskan (iaitu dalam konteks wanita kematian suami) untuk memakai pakaian berwarna hitam. (Wahbah al-Zuhayli, Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jild 7. 662
Wallahu a'lam.


Rujuk:https://www.facebook.com/asmadi.mohamednaim/posts/711158358951891
          http://darulilmi.org/2014/08/22/hukum-diam-bertafakur-sebentar-utk-menghormati-jenazah/
          https://www.facebook.com/fatwamalaysia/posts/636952976402517?ref=notif&notif_t=notify_me
Kredit kepada http://jomfaham.blogspot.com/2014/08/hukum-tafakkur-dan-berkabung.html

Khamis, 21 Ogos 2014

Pas..Pis..Pus..

بسم الله الرحمن الرحيمم


Pasak tumbang,
Pisau tumpul,
Pusat tumbas.

Isnin, 18 Ogos 2014

Chedet - MENEGUR.

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Ada orang yang memberitahu kepada Dato Seri Najib Tun Razak yang saya telah memburukkan pemerintahannya.

2. Saya tidak akan menyangkal kerana saya telah berkali-kali menegur dasar-dasar Kerajaan sekarang.

3. Saya menegur kerana saya berpendapat pemimpin yang tidak ditegur akan percaya segala-gala yang dilakukan oleh mereka baik-baik belaka. Hanya apabila ditegur sahaja barulah pemimpin akan sedar akan kesalahan dan mungkin akan memperbetulkannya.

4. Izinkan saya mencerita cerita dongeng berkenaan seorang raja Inggeris. Ia dikelilingi dengan ramai dato-dato yang mendakwa dia adalah seorang raja yang amat berkuasa keatas segala-galanya. Demikian pasang-surut air di laut pun akan patuh kepada perintahnya.

5 Alkesah, maka pada satu hari raja menitah untuk meletakkan takhtanya di pantai menghadapi laut.

6. Air sedang pasang dan raja bertanya kepada dato-datonya apakah baginda boleh hentikan air pasang supaya tidak basahkan kakinya.

7. Jawab mereka, “Ya, Tuanku. Air tidak akan sampai kaki Tuanku.”

8. Maka raja pun menitah supaya air laut itu tidak naik lagi.

9. Tetapi air laut itu terus pasang dan kena pada kaki baginda. Maka baginda pun murka kepada dato-datonya.
Demikianlah sikap dato-dato kerana ingin menyenangkan hati raja mereka.

10. Satu lagi cerita dongeng juga ialah berkenaan dato-dato istana yang tidak pernah menegur raja. Mereka sepanjang masa mengiyakan saja apa juga yang dilakukan oleh raja.
11. Satu hari raja masuk dewan dalam keadaan bogel. Baginda bertanya cantikkah pakaiannya. Semua angguk kepala dan berkata “Ya Tuanku”.

12. Hanya seorang budak yang berkata, “Tuanku bogel.”

13. Maka raja pun murka akan dato-datonya yang tidak berkata yang benar apabila dia bogel.

14. Kita boleh dapat sedikit pelajaran dari cerita-cerita dongeng ini.

15. Orang Melayu mempunyai banyak pepatah yang boleh jadi panduan dalam kehidupan mereka. Antaranya ingin saya sebut disini:
“Sayangkan anak tangan-tangankan
Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan”
Dengan izin saya ingin menambah sedikit kepada pepatah ini.
“Sayangkan pemimpin tegur-tegurkan”

16. Saya lihat bagaimana orang Melayu tidak mudah menegur pemimpin. Walaupun pemimpin jelas bersalah, tidak ada siapa yang sanggup menegur secara terbuka. Tetapi di belakang pemimpin mereka akan keluarkan kata-kata yang kesat terhadapnya.

17. Mungkin saya berbeza sedikit dari Melayu lain. Apabila YTM Tunku membuat beberapa dasar dan tindakan yang tidak disenangi oleh ramai orang Melayu, saya menulis surat menegur Tunku.

18. Walaupun kerananya saya dipecat, tetapi YTM Tunku meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. Mungkin bukan kerana teguran saya, tetapi hakikatnya Tunku mengundur diri.

19. Demikian juga dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Mungkin kerana teguran, mungkin kerana prestasi buruk Pilihanraya ke 12. Tetapi hakikatnya Tun Abdullah juga letak jawatan.

20. Saya sendiri pun letak jawatan. Sebahagian dari sebabnya ialah kerana saya dengar bisik-bisik yang menyoal “Bila lagi orang tua ini akan pergi.” Saya percaya jika saya tidak letak jawatan, bisik akan jadi jeritan.

21. Pilihan saya bagi mengganti Tun Abdullah ialah Dato Seri Najib. Setelah beberapa lama dilihat bahawa dasar dan tindakan Dato Seri Najib tidak lebih berkesan dari Tun Abdullah.

22. Saya tidak sangka yang pencapaiannya dalam Pilihanraya Umum ke13 lebih buruk dari Tun Abdullah.

23. Harapan saya Dato Seri Najib akan mengambil ikhtibar dari prestasinya yang buruk dalam Pilihanraya Umum ke 13. Malangnya sehingga kini tidak ternampak apa-apa perubahan dari segi dasar atau pendekatan walaupun saya cuba menyampaikan pendapat saya, (yang juga pendapat ramai yang datang bertemu saya) secara langsung kepada Dato Seri Najib.

24. Saya tidak ada pilihan selain dari menarik balik sokongan saya. Ini pun tidak berkesan. Oleh itu terpaksalah saya menegur.

25. Apakah dianya yang saya fikir salah. Ia bermula dengan pendirian melayani semua tuntutan musuh. ISA dan undang-undang buang daerah dimansuh. Tindakan ini tidak sedikit pun mengurangkan tentangan oleh parti lawan. Sebaliknya jenayah bertambah dengan banyaknya kerana pembebasan ketua-ketua geng.

26. Demikian juga dengan sikap merendah diri kepada negara jiran sehingga urusan dalam negeri pun tertakluk kepada pendapat Kerajaan negara jiran.

27. Tetapi pendapat kaum dan parti yang kuat menyokong untuk menyelamatkan kedudukan Kerajaan tidak diberi layanan yang saksama.

28. Wang Kerajaan diguna untuk mempengaruhi sokongan rakyat apabila sahaja pilihanraya umum diadakan. Ini menjadikan rakyat terlalu bergantung kepada Kerajaan untuk segala-galanya. Bagi yang betul-betul miskin, bantuan seperti ini memanglah wajar. Tetapi beribu rakyat yang ditawar menolak bantuan wang seperti ini. Semangat rakyat untuk bekerja menjadi luntur apabila mereka diberi ganjaran tanpa apa-apa usaha oleh mereka. Semangat ini tidak akan menolong pembangunan Negara.

29. Dasar ekonomi mengutamakan tuntutan pengguna. Impot barangan digalakan dan industri tempatan diabaikan, bahkan dihalang oleh dasar Kerajaan.


30. Cuti ditambah sehingga adakalanya pekerja bercuti lebih satu minggu. Sebaliknya gaji minimum dinaikkan tanpa mengambilkira kenaikan kos yang boleh menjadi perniagaan dan perusahaan tidak bedayasaing dengan barangan impot.

31. Sesungguhnya banyaklah dasar, pendekatan dan perbuatan Kerajaan pimpinan Dato Seri Najib yang merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara.

32. Semua ini disebabkan penyokong Kerajaan tidak pernah menegur pemimpin.

33. Jikalau tiada siapa yang sanggup menegur, biarlah saya menegur. Saya pernah dipecat oleh Tunku Abdul Rahman, dipulau oleh Datuk Seri Abdullah dan difitnah oleh ramai. Jika kerana menegur saya akan didera, terpaksalah saya terima.

34. Bukanlah saya tidak sayang pemimpin. Tetapi saya lebih sayang bangsa dan negara saya.

Tun Dr. Mahathir Mohamad

kredit : http://chedet.cc/?p=1438#more-1438 

Jumaat, 15 Ogos 2014

Merawat kayap cara kampung.

بسم الله الرحمن الرحيم

Antara cara mudah untuk merawat penyakit kayap. 


Ambil beberapa helai daun pokok Bunga Duri 7 dan daun pokok Bunga Melur. Basuh dengan elok kemudian diupar atau dilenyek atau ditumbuk sehingga hancur. Kemudian dicampurkan daun-daun yang hancur tadi dengan beberapa biji bedak sejuk. Kemudian tempelkan di tempat yang ada kayap.

Lakukan sekurang-kurangnya sekali sehari sehingga kayap tersebut mengering dan hilang. Dengan izin Allah, selepas 2 ke 3 hari akan merasai kesan penyembuhannya.


Disamping berusaha, berdoalah dengan apa-apa doa umpama Doa barah, Surah al-Qalam ayat 1-2 atau bacakan:
1-Surah al-Fatihah,
2-Bismillah 5,



بسم الله الرّحمن الرّحيم .
بسم الله الشّافي .
بسم الله الكافي .
بسم الله المعافي .
بسم الله الّذي لا يضرّ مع اسمه شيء في الأرض و لا في السّماء و هو السّميع العليم.
3-Surah al-Hasyr ayat 21-24,
4-Selawat Syifa,


اللهم صلّ على سيّدنا محمّد طبّ القلوب ودوائها وعافية الأبدان وشفائها ونور الأبصار وضيائها وعلى آله وصحبه و بارك وسلّم
 5-Doa barah[Surah al-Qalam ayat 1-2].

Kita berikhtiar dan berdoa, yang Maha Penyembuh ialah Allah Taala. Wallahualam.

PENCERAHAN DARI TUN MAHATHIR BERKENAAN PERPECAHAN GABUNGAN PAS DAN UMNO KITA ZAMAN PEMERINTAHAN TUN RAZAK.

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Nik Aziz dilapor telah menjelaskan kenapa PAS tidak boleh bersama UMNO dalam usaha untuk menyatupadu orang Melayu. Katanya PAS telah ditipu oleh UMNO semasa PAS berada dalam Barisan Nasional. Bagaimana UMNO menipu PAS tidak dijelaskan dengan terang.

2. Saya berada sebagai menteri dalam kabinet Tun Hussein di waktu mana PAS keluar dari Barisan Nasional. Saya juga ada dalam kabinet Tun Razak bersama Dato Asri Muda dan Hassan Adli semasa PAS menyertai Barisan Nasional.

3. Dato Asri diberi jawatan Menteri Tanah dan Galian. Ini bermakna dia bertanggung jawab terhadap FELDA.

4. Setelah beberapa bulan PAS berada dalam Barisan Nasional ahli-ahli UMNO Johor membuat komplen kepada Tun Razak dalam majlis makan malam dikediaman Tun sempena mesyuarat agong UMNO bahawa Dato Asri giat mempromosikan PAS di kalangan peserta FELDA. Saya berada di sisi Tun pada ketika itu.

5. Secara kebetulan hampir semua peserta FELDA terdiri daripada penyokong kuat UMNO. Selepas Dato Asri bertanggungjawab keatas FELDA, hampir semua peserta FELDA menjadi penyokong kuat PAS dan menolak UMNO.

6. Ahli-ahli UMNO di seluruh negara berpendapat bahawa penyertaan PAS dalam Barisan Nasional tidak menolong Barisan Nasional. Ia hanya untuk memberi peluang kepada PAS mengembangkan pengaruh di kalangan ahli UMNO dan orang Melayu.

7. Di waktu itu timbul sengketa antara Dato Asri sebagai ketua PAS dengan Dato Mohd Nasir yang sebagai Menteri Besar untuk ganti Dato Asri. Dato Mohd Nasir mendakwa dia telah kesan banyak penyelewengan yang dilakukan oleh Dato Asri semasa dia menjadi Menteri Besar Kelantan.

8. Dato Asri cuba menyingkir Dato Mohd Nasir melalui undi tidak percaya. Walaupun kalah Dato Mohd Nasir enggan meletak jawatan.

9. Ramai ahli PAS memihak kepada Dato Mohd Nasir. Mereka mengadakan tunjuk perasaan secara besar-besaran menentang Dato Asri.

10. Kerana PAS berpecah Kerajaan Barisan Nasional Kelantan tidak dapat berfungsi. Darurat terpaksa diisytihar dan seorang pegawai kanan dilantik untuk memangku jawatan Ketua Pentadbir Kelantan.

11. Pada Mac 1978, pilihanraya peringkat negeri diadakan di Kelantan. Dato Mohd Nasir menubuh parti Berjasa yang bertanding melawan PAS. Sokongan kepada Berjasa begitu kuat sehingga ia memenangi 11 kerusi. PAS memenangi hanya 2 kerusi.

12. Perpecahan dalam PAS bukan kerana UMNO tetapi kerana Dato Mohd Nasir mencabar kepimpinan Dato Asri. Kekalahan PAS menyebabkan PAS keluar dari Barisan Nasional. Tidak ada penipuan oleh UMNO.

13. Walau apapun yang terjadi dahulu, jika seruan dibuat supaya berdamai orang Islam disuruh oleh agama Islam supaya menyambut seruan kedamaian dari musuh. Orang Islam disuruh bersatupadu, menganggap semua orang Islam sebagai saudara. Penolakan perpaduan sesama orang Islam tidak menepati ajaran Islam. Janganlah orang Islam menolak usaha menyatupadu untuk memperkuatkan orang Islam dengan membuat tuduhan yang tidak berasas.

Tun Dr. Mahathir Mohamad
Mantan Perdana Menteri Malaysia

p/s:https://www.facebook.com/photo.php?fbid=682106281859608&set=a.614018152001755&type=1

Selasa, 12 Ogos 2014

“kaki empat lebih baik daripada kaki dua”..

بسم الله الرحمن الرحيم
http://www.terangbulan.net/wp-content/uploads/2014/08/politik-kandang.jpg

Animal Farm, novel yang ditulis oleh George Orwell diterbitkan pertama kali pada tahun 1945, dan edisi terjemahan Bahasa Melayu diterbitkan 2014 dengan jodol Politik Kandang oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Berlatarbelakangkan kehidupan di Ladang Manor, seluruh warganya bertukar tuan dari Tuan Jones, manusia kepada organisasi politik binatang, yang diketuai oleh keturunan babi manakala binatang-binatang lain adalah pekerja dan penggerak yang wajib mematuhi peraturan yang ditetapkan “kaki empat lebih baik daripada kaki dua” atau binatang lebih adil daripada manusia. Meskipun ada binatang berkaki dua, saperti ayam dan burung, ia adalah lebih baik daripada manusia kerana boleh terbang sedangkan manusia didakwa hanya mengeksploitasi binatang, dijadikan alat mencapai sesuatu tujuan, termasuk membajak tanah untuk pelbagai tanaman yang menghasilkan wang dan kekayaan kepada pemiliknya.

Tuan Jones diusir keluar oleh binatang-binatang peliharaannya menjadikan babi lebih berkuasa dan memimpin seluruh pengurusan ladang yang kemudiannya ditukar nama Ladang Binatang di mana seluruh binatang dilarang untuk berada di dalam rumah dan tidur di atas tilam. Setiap pagi perlu berkawad dan menyanyikan lagu Satwa England manakala seluruh peraturan organisasi ditukar kepada Rukun Tujuh, iaitu;
(1) semua makhluk yang berjalan dengan dua kaki adalah musuh,
(2) makhluk berkaki empat atau mempunyai sayap adalah kawan,
(3) binatang dilarang memakai baju,
(4) binatang tidak boleh tidur atas katil,
(5) binatang tidak boleh minum arak,
(6) binatang tidak boleh membunuh binatang lain, dan
(7) semua binatang adalah setara.

Akibat perebutan kuasa, pemimpin revolusi Napoleon telah diusir oleh Snowball dalam satu rampasan kuasa. Snowball pada mulanya adalah seekor babi yang diangkat sebagai komrad bagi mengetuai tanggungjawab memerah susu lembu, di mana binatang dilarang meminumnya, kecuali para komrad yang berketerunan babi. Meskipun ada binatang lain “teliur” dengan susu lembu, Napoleon memberi amaran, “Jangan fikir tentang susu ini, komrad-komrad.” Binatang hanya perlu menuai dan Komrad Snowball akan menguruskannya. Sebelum menuai, “binatang-binatang itu pun berkawad di padang rumput” dan sebelah petangnya “mereka berperasan susu tadi telah lesap.” (hal. 27).

Babi dianggap sebagai keturunan yang paling pintar dan bijak bermain politik berbanding lain-lainnya. Atas kepintaran itulah Snowball kemudiannya menetapkan peraturan yang lebih keras, termasuk “menjual” seekor kuda yang sudah tua dan sakit, tetapi sebelumnya paling banyak berjasa dan kuat bekerja untuk “memakmurkan kehidupan di ladang”; menggunakan anjing-anjing yang dilatih khusus bagi menerkam atau menghalau mereka yang menentang perintah; menghukum binatang yang tidak bekerja dengan mengurangkan sukatan makanan harian; dan para babi tidak perlu bekerja kecuali “mengarah dan menyelia binatang-binatang lain.” (hal. 29)

Kredit : http://www.terangbulan.net/2014/08/pas-sepatutnya-sudah-lama-sedar-politik-kandang-dap-dan-pkr/#sthash.zROMHEP5.dpuf

p/s : Novel kedua yang pedas saya jumpa selepas SHIT.

Isnin, 11 Ogos 2014

Sekadar dok perati depa ..

بسم الله الرحمن الرحيم

    Saya pernah tengok depa kahwin, kemudian bercerai. Lama lepas tu berkahwin semula. Perang sakan depa lani, tak tau nak jadi lagu mana, bercerai ka dak tak tau lagi; tunggu cerita-cerita mendatang.
    Dulu depa bersatu atas nama Barisan Alternatif [BA] untuk melawan Barisan Nasional [BN]. BA tak dapat bertahan lama, akhirnya berpecah. Tak susah nak kira sifir perpecahan depa. Satu parti nak tuntut keadilan, satu lagi nak bawa Islam, satu lagi nak mensekularkan Malaysia. Islam + Sekular = memang tak boleh jalan. Depa memang nampak bersatu dalam nak melawan BN tapi tak sebaris hala tuju depa, tu yang berselerak tengah jalan.
    Lani depa berpakat atas nama Pakatan Rakyat [PR]. Tak tau apa dan macam mana depa fikir. Mumkin perpecahan BA tak cukup lagi untuk dijadikan iktibar. Walau apa pun yang bermain di fikiran depa, saya sebagai rakyat yang berhak mengundi dok perati faal depa ni. Depa nak berpakat tapi tak sepakat.
    Mainan politik yang dimainkan PR amat tak sihat pada pandangan saya. Pengalaman sepenggal di negeri kelahiran saya, Kedah dan apa yang sedang berlaku di Selangor lani memberi banyak pengajaran untuk difikir bersama.
    Dulu saya pernah sebut yang saya akan megundi berdasarkan calon, dan itulah yang masih lagi saya pegang. Cuma kali ini saya hanya memilih calon yang saya rasakan sesuai daripada BN saja, manakala PR saya tolak dari awal lagi hatta yang kononnya nak bawa Islam sekalipun kerana depa buat apa yang depa larang iaitu depa kata depa tolak Sekular sampai sanggup menuduh orang yang tak Sekular sebagai Sekular, tapi depa terang-terang sanggup bersekongkol dengan Sekular. Tak tau la samada depa tak tau yang kawan depa tu Sekular sebab terang lagi bersuluh yang kawan depa tu Sekular.
    Saya tak yakin dengan pemain politik yang melaung-laung dengan gerakan Islam ni. Nak lagi, tambah nak dirikan Khilafah. Lagi tak yakin. Berapa banyak puak yang seru nak dirikan Khilafah! Depa ni lain-lain geng. Tak ka berebut nak jadi khalifah nanti!? Pakat lapar kuasa.
    Sekiranya senarionya dok macam tu juga, mungkin PRU14 yang akan datang saya tak keluar mengundi juga macam PRU13 yang lepas.

p/s: Sekadar coretan malam hari.

Sabtu, 9 Ogos 2014

Boikot, memboikot, pemboikotan, dan pemboikot.

بسم الله الرحمن الرحيم

Apa itu boikot dan seangkatannya?

Kamus Dewan, Edisi ke-3 mentakrifkannya:  

Boikot; memboikot enggan berurus dgn (seseorang, organisasi, dll), biasanya utk menyatakan rasa tidak bersetuju atau memaksa individu atau institusi yg berkenaan menerima syarat tertentu, memulaukan: dia menyuruh orang ~ kedai yg menjual barang dgn harga yg mahal; negara itu ~ semua sidang Majlis Keselamatan;
pemboikotan perbuatan (tindakan dsb) memboikot, pemulauan: ~ ke atas barang-barang keluaran negara asing;
pemboikot orang (syarikat, negeri, dll) yg memboikot, pemulau.

Daripada pentakrifan tersebut dapat difahami bahawa boikot; memboikot terjadi dalam bermacam urusan samada di dalam hubungan sosial, ekonomi, dan lain-lain.

Ekoran Gaza dibedil, seruan boikot Israel atau lebih jelasnya; boikot ekonomi Israel bersahut-sahutan ke seluruh pelusuk alam, tak terkecuali tanah air kita yang tercinta. Apa yang mendukacitakan ialah sikap sebahagian orang dalam menyikapi isu boikot ini. Semoga kita diberi rahmat oleh Allah. Adakah ada atau pernah terjadi boikot ekonomi dalam Islam? Saya tak ingin berbicara panjang tentang perbahasan fikah berkaitan isu boikot. Cukup dengan apa yang dilakukan oleh Tsumamah Bin Uthal Radiallahu anhu [ثمامة بن أثال] selepas Islamnya, katanya kepada golongan kafir Quraisy:

ولا والله لا يأتيكم من اليمامة حبة حنطة حتى يأذن فيها النبي صلى الله عليه وسلم
"Demi Allah [aku takkan kembali kepada agama kamu] dan Demi Allah takkan datang kepada kamu daripada al-Yamamah walau sebiji gandum sehinggalah Baginda Nabi Sallallahu alaihi wasallam memberi izin."

Bagi yang nak mengkaji, ini hadis penuhnya daripada Sahih al-Bukhari:

حدثنا عبد الله بن يوسف حدثنا الليث قال حدثني سعيد بن أبي سعيد أنه سمع أبا هريرة رضي الله عنه قال بعث النبي صلى الله عليه وسلم خيلا قبل نجد فجاءت برجل من بني حنيفة يقال له ثمامة بن أثال فربطوه بسارية من سواري المسجد فخرج إليه النبي صلى الله عليه وسلم فقال ما عندك يا ثمامة فقال عندي خير يا محمد إن تقتلني تقتل ذا دم وإن تنعم تنعم على شاكر وإن كنت تريد المال فسل منه ما شئت فترك حتى كان الغد ثم قال له ما عندك يا ثمامة قال ما قلت لك إن تنعم تنعم على شاكر فتركه حتى كان بعد الغد فقال ما عندك يا ثمامة فقال عندي ما قلت لك فقال أطلقوا ثمامة فانطلق إلى نجل قريب من المسجد فاغتسل ثم دخل المسجد فقال أشهد أن لا إله إلا الله وأشهد أن محمدا رسول الله يا محمد والله ما كان على الأرض وجه أبغض إلي من وجهك فقد أصبح وجهك أحب الوجوه إلي والله ما كان من دين أبغض إلي من دينك فأصبح دينك أحب الدين إلي والله ما كان من بلد أبغض إلي من بلدك فأصبح بلدك أحب البلاد إلي وإن خيلك أخذتني وأنا أريد العمرة فماذا ترى فبشره رسول الله صلى الله عليه وسلم وأمره أن يعتمر فلما قدم مكة قال له قائل صبوت قال لا ولكن أسلمت مع محمد رسول الله صلى الله عليه وسلم ولا والله لا يأتيكم من اليمامة حبة حنطة حتى يأذن فيها النبي صلى الله عليه وسلم

Isu boikot ekonomi ini berkait dengan maslahah dan mafsadah terhadap umat Islam. Kita diberi akal yang sihat oleh Allah. Kiranya boleh berfikir baik buruk suatu perkara dan tindakan. Nak boikot atau tak nak; janganlah sampai memudaratkan saudara seagama kerana kemudaratan tak boleh dihilangkan dengan kemudaratan juga, kata Kaedah Fikah:

الضرر لايزال بالضرر
 
Wallahualam.