Jumaat, 21 Februari 2014

Aduhai Pak Kassim ! Pak Kassim ! Pak Kassim mai lagi.

بسم الله الرحمن الرحيم



1. Pendahuluan

Hari ini hari istimewa bagi saya. Hari ini saya akan meluahkan isi hati saya tanpa sekata, insya Allah. Hari ini saya akan mempertanggungjawabkan kehidupan saya di dunia. Saya ada satu dua kerja yang ingin saya lakukan, tetapi selepas hari ini, saya reda kalau dipanggil Tuhanku untuk diadili.

Saya tidak mendakwa saya seorang yang baik. Saya melakukan banyak kesilapan dalam kehidupan saya. Saya jangka saya bukan berseorangan. Tidak ada manusia yang sempurna. Hanya Tuhan yang sempurna. Tetapi saya boleh mengatakan saya telah cuba hidup sebagai seorang yang patriot bagi bangsa saya dan bagi bangsa manusia. [1]

Ketika saya seorang muda, saya bersumpah untuk berkata-berkata dengan bebas. [2] Saya bersumpah saya akan mendedahkan segala kepalsuan. [3]

Semua orang tahu saya bermula sebagai seorang remaja berhaluan kiri berjuang untuk rakyat marhaen menentang parti kebangsaan Melayu, UMNO, yang pada waktu itu saya anggap reaksioner, walaupun akhirnya saya pulang ke akar keMelayuan saya dan memasuki UMNO.

Pada 9 September tahun lalu, saya menjengkau 80 tahun tanpa apa-apa perayaan. Hanya sahabat-sahabat saya di Kuala Lumpur, antara lain Dr. Chandra Muzaffar, Sasterawan Negara Dato’ Baha Zain dan Nik Aziz Hassan, telah bermuafakat untuk meraikan harijadi itu dengan satu majlis penilaian kritis terhadap karya-karya saya. Majlis ini dijadualkan pada 15 Februari, 2014. Dalam pada itu, saya telah merancang untuk bercakap dalam satu Konferensi Politik Nasional tentang halatuju negara kita untuk tiga puluh tahun akan datang. Ucapan ini dijadualkan pada hari berikutnya, iaitu 16 Februari, 2014.
Inilah latar belakang majlis harijadi saya yang ke-80.



 2. Keadaan Dunia Sekarang

Negara kita Malaysia sedang melalu satu zaman yang penuh pancaroba. System komunisme sudah runtuh pada akhir abad ke-20. System liberalisme yang kita anuti sekarang juga sedang runtuh di depan mata kita—di Eropah dan Amerika Syarikat.

Keruntuhan system komunisme kerana system ini menafikan hak kebebasan individu. Ia melebihkan hak kolektif, yang dipergunakan oleh kepimpinan untuk melaksanakan sistem dictator! Sistem liberalisme melebihkan hak kebebasan individu dengan menafikan hak kolektif.

Kedua-dua sistem ini melanggar konsep “sempadan Allah”, atau apa yang disalah-ertikan sebagai “hukum hudud”. Konsep ini langsung tidak ada kena-mengena dengan hukuman. Ia merujuk kepada suatu undang-undang universal, iaitu dalam tiap-tiap perbuatan, manusia tidak boleh melampaui batasan undang-undang alamiah. [4] Umpamanya, dalam hal makan: mudarat kalau tidak makan, tetapi kalau kita makan terlalu banyak pun mudarat juga. Demikianlah bagi tiap-tiap perbuatan wujud suatu sempadan yang tidak boleh kita lampaui.



3. Masa Depan

Apa akan berlaku dalam masa 30 tahun akan datang? Apakah sistem ganti yang harus kita pilih sekarang? Mengikut kitap suci yang terakhir kepada manusia iaitu Quran, satu-satunya kitab suci yang dijamin oleh Tuhan sendiri [5], dan yang mengesahkan dan mengatasi semua kitab suci lain, [6] hanya ada satu jalan yang lurus yang Dia restui di antara jalan-jalan yang menyeleweng. Jalan-jalan yang menyeleweng itu disebut jalan-jalan mereka yang Dia murkai, dan jalan-jalan mereka yang sesat.

Apakah jalan yang Dia murkai? Tuhan pasti murkai kumpulan-kumpulan manusia yang memberontak terhadap-Nya. Dalam zaman moden, kumpulan itu kaum marxis komunis yang menafikan Dia serta mengamalkan cara hidup yang menafikan Dia. Dengan perkataan lain, dalam kehidupan mereka, mereka menafikan dimensi-dimensi moral dan spiritual. Oleh kerana ini, cara hidup ini berlawanan dengan undang-undang alamiah, dan pasti musnah. Sistem komunisme sudah pun musnah.

Satu lagi jalan menyeleweng kita panggil sistem teokrasi, yakni kepimpinan satu kasta paderi melantik diri mereka sendiri serta mendakwa mentadbirkan negara atas nama Tuhan. Contohnya dari zaman pertengahan Eropah, sistem Paus. Dalam dunia moden, Eropah sudah menyingkirkan sistem Paus ini, tetapi dalam dunia Islam, negara Iran dan Arab Saudi sedang melaksanakan sistem ini.

Nyatalah sistem ini gagal menyelesaikan masalah-masalah sosio-ekonomi menghasilkan pekerjaan dan makanan untuk rakyatnya dan dengan itu gagal menyelesaikan masalah-masalah lain dalam masyarakat.



4. Negara Malaysia

Negara kita Malaysia, walaupun dikatakan negara Islam, sebenarnya mengamalkan sistem liberalisme. Mengikut kata-kata Kerajaan Pusat, ekonomi Malaysia baik dengan pengangguran sifar dan peratusan inflasi pada tahap minima. Namun kemudian, Malaysia boleh dikatakan tiap-tiap hari menunjukkan ketegangan antara kaum dan agama. Apakah caranya untuk menyelesaikan perkara ini secara muktamad?

Jalan yang lurus yang dirujuk dalam surah Al-Fatihah tadi – apakah jalan itu? Tadi telah kita nyatakan ada tiga jalan yang menyeleweng : sistem marxis komunis, sistem teokrasi dan sistem liberalisme. Seperti yang telah kita nyatakan, ketiga-tiga sistem ini telah atau sedang menuju kehancuran. Maka semestinyalah masyarakat manusia dalam abad-abad ke-21 dan mendatang mencari sistem jalan yang lurus ini. Dengan perkataan ini, inilah sistem hidup yang dirujuk dalam Quran dalam surah 3 ayat 19, yang berbunyi, “Sesungguhnya agama yang Tuhan reda itu Islam”.



5. Keadaan Orang Islam Sekarang

Orang Islam berjumlah 2.1 bilion di seluruh dunia. Bolehkah kita katakan mereka semuanya mengikut cara hidup Islam yang sebenar? Sekiranya benar, umat Islam hari ini harus berada pada kedudukan nombor 1 dalam dunia, seperti yang berlaku dalam sejarah. Sejarah mencatat dalam zaman pertengahan Uthman Ibni Affan, khalifah Islam ke-3, setelah 60 tahun Nabi Muhammad wafat, orang Arab yang tidak terkenal itu melonjak naik menjadi kuasa nombor satu dalam dunia, mengalahkan Empayar Parsi dan sebahagian besar Empayar Baizantium, dua kuasa besar dunia pada zaman itu. [7]
Tetapi umat Islam sekarang duduk di bawah daripada Britain, Perancis, Amerika Syarikat, Rusia, China dan India, semuanya negara bukan Islam.



6. Gerakan Pembaharuan Islam

Gerakan pembaharuan Islam moden, dikira dari Sheikh Muhammad Abduh (m. 1903) dan Jamaluddin Al-Afghani (m. 1897) yang diharapkan untuk membersihkan Islam dari kepercayaan-kepercayaan khurafat dan membangkitkan semula Islam sudah berusia lebih 100 tahun, sedangkan umat Islam masih di tahap di belakang negara-negara yang kita sebut tadi. Dengan sendirinya, ini bermakna umat Islam hari ini di seluruh dunia tidak mengikut sistem hidup Islam seperti yang diajar oleh semua nabi dan disempurnakan oleh Nabi Muhammad, penyudah segala nabi.

7. Kesilapan Umat Islam

Di manakah kesilapan-kesilapan besar mereka? Saya akan senaraikan beberapa kesilapan besar itu di sini.

    1. Umat Islam pada hari ini tidak mengikut ajaran-ajaran nabi Muhammad dalam Quran. Inilah kesilapan yang besar yang telah mereka lakukan. Mereka ikut satu kasta paderi yang dipanggil Ulama, seperti penganut-penganut agama Hindu dan Kristian dulu. Kasta paderi ini tidak wuhud dalam zaman Nabi dan empat khalifah rasyidun. Mereka muncul kira-kira 300 tahun kemudian dan melantik diri mereka sendiri sebagai pentafsir ugama kepada umat Islam.

      2. Khususnya, kesilapan-kesilapan itu boleh saya senaraikan seperti berikut:


a. Mereka mendewa-dewakan pemimpin-pemimpin ugama mereka yang mereka anggap maksum dan yang telah memutuskan semua soalan dalam kehidupan mereka - apa yang dikatakan ‘penutupan pintu ijtihad’. Dalam puak ahli sunnah wal-jamaah, empat pemimpin besar boleh dikenal pasti, iaitu : Imam Shafi’e (767-820), Imam Hanafi (699-767), Imam Hanbali (780-855) dan Imanm Maliki (711-795). Dalam mazhab Syiah, mereka ada imam-imam mereka pula. Imam-imam ini telah mereka dewa-dewakan berlawanan dengan perintah Tuhan melarang pendewaan seseorang pemimpin atau sarjana, dan, malah, berlawanan dengan ajaran imam-imam besar itu sendiri.

b. Mereka mendewa-dewakan Nabi Muhammad. Syahadah yang kedua itu satu bukti. [8] Juga dikebanyakan rumah orang Islam, perkataan-perkataan ‘Allah’ dan ‘Muhammad’ ditulis sama besar dan sama paras. Apabila disebut Muhammad, frasa ‘sa’al-Lallahu ‘alaihi wasallam’ (SAW) disebut sekali, sedangkan apabila disebut nama nabi-nabi lain, disebut ‘alihissalam’. Pada hal frasa SAW itu ditujukan juga kepada orang mukmin juga dalam Quran. [9] Juga perkataan ‘salla/yusalli’ bermakna ‘restu’, ‘bantu’ dan ‘sokong’, bukan selawat, seperti yang dibuat sekarang.

c. Perhatikan satu perubahan baru dalam ‘aurat wanita’. Perkataan ‘aurat’ berasal dari bahasa Arab. Ertinya ‘kebogelan’. Tiga puluh tahun dulu, wanita-wanita Islam tidak memakai tudung. Mereka memakai selendang, sehelai kain yang mereka letak di bahu, atau pun di atas kepala tanpa menutup semua rambut, kerana rambut bukan ‘aurat wanita’. Menutup rambut dengan bertudung bermakna udara bersih tidak dapat memasuki rambut. Dengan itu rambut menjadi busuk. Dengan lain perkataan, ia tidak sihat. Anehnya, wanita-wanita yang tidak bertudung menganggap diri mereka lebih suci! [10]

Sebab-sebabnya nyata mengapa umat Islam jatuh. Mereka telah mengabaikan ajaran-ajaran Tuhan yang sebenar serta mengikut ajaran-ajaran kasta paderi.



Tiap-tiap generasi diperintah oleh Tuhan mengkaji semula ajaran-ajaran pemimpin mereka yang terdahulu; yang betul diterima dan diteruskan, yang salah ditolak. Inilah yang seharusnya dilakukan oleh generasi-generasi Islam kemudian. Malangnya, penilaian semula ini tidak dapat mereka lakukan persis kerana pendewaan tadi. Maka itu apabila saya menulis buku Hadis – Satu Penilaian Semula pada tahun 1986, langit Malaysia runtuh menimpanya! Selama dua bulan, perbincangan berlaku dalam televisyen, radio, akhbar dan majalah tentang buku ini. Sesetengah menyokong saya dan sesetengah membantah. Selepas dua bulan, buku ini diharamkan oleh pihak berkuasa atas hasutan pihak yang berkepentingan.

Siapakah yang mewajibkan hadis sebagai satu sumber undang-undang sama seperti Quran dalam masyarakat Islam? Jawabnya, Imam Shafi’e (767-820). Beliaulah yang bertanggungjawab membuat doktrin baru menyatakan hadis satu sumber hukum sama seperti Quran. [11] Sebelum beliau, apa yang dikatakan hadis sudah muncul, tetapi bilanganya sedikit sekali dan tidak mewajibkan diikut oleh umat Islam. Sejarah mencatat khalifah-khalifah Abu Bakr, Omar Ibni Khattab, Uthman Ibni Affan dan Ali Abi Talib memiliki buku-buku nota yang mereka tulis perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan Nabi. Catitan-catitan ini tidak banyak dan hanya menjadi ikutan, jika sesuai, tetapi tidak diwajibkan.

Setelah doctrin baru oleh Imam Shafi’e ini diterima oleh masyarakat Islam, timbulllah pengumpul pengumpul hadis seperti Imam Bukhari (m, 870).  Imam Muslim (m.875) dan lain-lain. Imam Bukhari dilaporkan telah mengumpul 600,000 hadis dan beliau menapis hadis-hadis ini sehingga akhirnya tinggal 7,275 hadis yang beliau isytiharkan sebagai hadis sahih [12].

ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) melalui setiausaha agungnya pada waktu itu, Encik (sekarang Dr.) Sidek Baba, telah datang ke rumah saya dan meminta satu dialog tentang buku saya.  Saya memberi persetujuan dengan syarat keputusan tidak diambil dalam dialong itu.  Saya meletakkan syarat itu kerana pegangan imat Islam kepada hadis sangat kuat dan tidak boleh dihapuskan dalam masa sehari.  Pihak ABIM bersetuju dengan syarat itu.  Malangnya, apabila dialog itu diadakan di Universiti Islam Antarabangsa pada 28 Jun, 1986, saya terlupa untuk menyatakan kepada majlis dialog itu tentang syarat yang saya kenakan.  Apabila dialog itu selesai, pihak ABIM telah mengeluarkan sehelai kertas dari saku ketua mereka yang mencatat bahawa buku saya menyeleweng dari ajaran Islam dan saya juga dianggap menyeleweng dari ajaran Islam sebenar!

Akibat dari dialog ini buku saya diharamkan oleh Kerajaan.  Nyatalah pengharaman buku ini satu muslihat yang sudah diatur oleh pihak yang berkepentingan.



Kembali kepada soal Islam agama Persekutuan Malaysia atau Islam sebagai agama rasmi, ingin saya menyatakan bahawa pernyataan ini dalam Perlembagaan Malaysia menyalahi ajaran Quran dan menyalahi Piagam Madinah yang digubal oleh Nabi Muhammad sendiri.  Dari segi logika, sesebuah negara-bangsa tidak ada ugama.  Ugama dianut oleh penduduknya, sama ada Islam, Buddhist, Hindu atau Kristian.  Ajaran Quran mengisytiharkan dengan jelas tidak ada paksaan dalam agama [13].  Ini bermakna warganegara Malaysia boleh menganut apa juga agama yang mereka suka tanpa halangan undang-undang.

Dalam Piagam Madinah, agama itu urusan penganut-penganutnya secara autonomi. [14] Ini bermakna orang Muslim mentadbirkan urusan-urusan  agamanya secara autonomi.  Demikian juga orang Buddhist, orang Hindu dan orang Kristian, dan lain-lain.  Dengan ini, tidak akan berlaku konflik atau ketegangan antara agama dan kaum.  Dengan ini perpaduan dan harmoni antara kaum di Malaysia akan menjadi lebih mantap dan stabil.

Kembali kepada soal jalan yang lurus dipilih oleh rakyat Malaysia untuk dijadikan sistem hidup mereka, perkara utama tidak lain dan tidak bukan pemerintahan yang adil yang ditubuhkan melalui perundingan. [15] Sistem dwi-parti yang kita import dari Eropah tidak sesuai, pada dasarnya, dengan ajaran Islam.  Kita diberikan Tuhan dua tangan: mengapa kita gunakan satu tangan untuk merosakkan kerja satu tangan lain? Tidak bolehkah kedua-dua tangan bekerjasama untuk melakukan kebaikan bagi masyarakat kita? Jelaslah teori sekat dan imbang (Ing: check and balance) ini satu teori yang tidak ada kebenarannya.

Sebuah pemerintahan mestilah diwujudkan  di Malaysia melalui kaedah muafakat dan mentadbirkan negara-bangsa Malaysia dengan adil.  Inilah perintah Tuhan dan keperluan yang utama bagi rakyat Malaysia.  Dengan demikian, walaupun Malaysia dari segi sejarah, lahir dari Kesultanan Melayu Melaka dalam abad ke-15, hari ini sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) pada tahun 1957, ia telah menjadi sebuah negara berbilang kaum dan agama dengan semua kaum mempunyai hak yang sama.

Tadi telah saya nyataan penyelewengan khusus yang telah dilakukan oleh umat Islam itu memecahkan masyarakat kepada sistem agama dan sistem sekular.  Ini bersalahan dengan ajaran Nabi Muhammad dalam Quran yang menggabungkan kedua-dua sistem ini secara harmonis. [16] Namum demikian, ajaran Quran juga menasihatkan umat Islam mengutamakan kediaman akhirat tanpa mengabaikan hak-hak mereka yang sah di dunia. [17] Perkara yang akhir ini menunjukkan perbezaan antara dunia dan akhirat.  Alam akhirat itu tidak lain dari alam dunia ini di peringkat yang lebih tinggi, yakni dari segi moral dan spiritual.  Nyatalah satu kasta paderi telah bertindak sebagai diktator kepada masyarakat Islam tanpa membenarkan perbezaan fikiran.  Perbuatan ini melanggar perintah Tuhan yang terang yang berbunyi “Dengar semua pendapat dan ikut yang paling baik”. [18]

Harus diingat bahawa Islam yang datang ke dunia Melayu pada abat ke 15 dan 16,  pasca kejatuhan Baghdad, yakni Islam yang telah kalah.  Walaupun ini fakta sejarah, telah dicatat oleh seorang sejarawan Melayu bahawa kota pelabuhan Melaka dalam abat ke 15 sebuah kota pelabuhan yang termasyhur di dunia, sama dengan Venice. [19] Malah telah dinyatakan oleh penulis Portugis, Tome Peres, bahawa Melaka pada zaman itu begitu penting dan kaya ia tiada lawannya di dunia. [20] Dinyatakan oleh sejarawan Melayu tadi, 84 bahasa dpertuturkan di pelabuhan Melaka dan bahasa Melayu menjadi bahasa perantaraan atau lingua franca.  Fakta ini menyalahi anggapan kita yang pertama tadi.  Kemungkinan besar ada dua aliran Islam yang sampai ke Melaka dalam abad ke 14 dan 15.



Di awal tadi, telah kita petik sebuah ayat suci yang berbunyi, “Rasul akan berkata: ‘Tuanku, umatku telah membelakangkan Quran ini.  Kami juga telah mewujudkan musuh-musuh  bagi rasul-rasul kami dari kalangan mereka yang berdosa.  Tuan kamu cukup sebagai pembimbing dan penolong”. [21] Amaran yang dahsyat ini telah wujud dalam Quran selama 1400 tahun lebih.  Saya tidak pernah bertemu dengan huraian yang panjang lebar atau sederhana panjang lebar tentang makna ayat-ayat yang menakutkan ini.

Apabila ayat-ayat Quran dibaca, kerap kali kaum agamawan Islam melagukan mereka dengan tajwid-majwidnya yang sungguh enak didengar.  Saya teringat zaman remaja saya apabila saya sendiri terpengaruh dengan lagu-lagu Quran dibacakan.  Saya telah mensifatkan perbuatan ini sebagai kaedah yang paling bijak untuk menyembunyikan Quran kepada umat Islam, yakni lagu mengatasi makna. [22]

Hari ini saya telah menjangkau umur 80 tahun.  Saya berfikir inilah masanya saya mahu bercakap secara langsung kepada kepimpinan politik dan intelektual rakyat Malaysia dan umat Islam di seluruh dunia tentang penyelewengan-penyelewengan yang telah mereka lakukan serta membetulkan kesilapan-kesilapan kita supaya 30 tahun yang akan datang dan seterusnya kita boleh mencapai jalan yang lurus yang telah diperintahkan oleh Tuhan kepada kita.




Harus diingat bahawa pertama sekali Quran itu bimbingan untuk orang-orang yang bertakwa. [23] Bimbingan ini hanya diberi oleh Tuhan sahaja kepada pencari-pencari yang jujur.  Jadi, rakyat Malaysia yang beragama Islam dan umat Islam di seluruh dunia mestilah bertekad untuk mencari bimbingan ini dengan jujur.  Kedua, Quran itu bukan untuk dilagukan dengan tajwid-majwidnya berdengung-dengung.  Quran itu perutusan Tuhan yang terakhir kepada dunia.  Ia bimbingan kepada seluruh manusia.  Kita mesti ada satu kaedah yang saintifik untuk mentafsirkan ayat-ayat Quran itu supaya ia benar-benar menjadi bimbingan kepada umat Islam dan seluruh dunia.  Kaedah saintifik ini pada dasarnya bermakna Quran itu menjelaskan dirinya sendiri,  yakni ayat mentafsirkan ayat, bukan seperti kaedah tradisional yang mendakwa Hadis mentafsirkan Quran. [24]

Ketiga, kediktatoran kasta paderi [baca: ulama) harus disingkirkan.  Kaedah saintifik dan demokratik, yakni perdebatan yang rasional dan bijaksana, mestilah diutamakan.

Keempat, Quran itu mesti ditafsirkan semula oleh generasi yang mendatang, mewarisi tafsiran yang betul dan menolak tafsiran yang silap daripada generasi yang terdahulu.

Kelima, mengikut ajaran Tuhan Sendiri, Quran itu diwariskan kepada mereka yang Tuhan pilih daripada pelbagai kalangan, bersalahan dengan pegangan tradisional bahawa pewaris Quran itu para ulama. [25]

Keenam, nyatalah sistem hidup yang dianjurkan oleh Quran itu bersifat republican dan demokratik. Ini nyata daripada asal-usul Nabi Muhammad dan empat khalifah ar-rasyidun (Abu Bakr, Omar Ibni Khattab, Uthman Ibni Affan dan Ali Abi Talib).  Apabila Muawiyah merampas kerajaan Islam dari tangan kaum republikan dan demokratik ini, bermulalah zaman feudalisme dalam sejarah islam awal membawa kepada abad ke 20.  Umat Islam perlu kembali kepada zaman republikan dan demokratik yang telah kita sebutkan.  Hanya dengan demikian, Islam yang sebenar akan kembali semula ke dalam dunia serta memimpin umat Islam dan seluruh dunia kepada alam kejayaan dan kebahagiaan, seperti yang dijanjikan oleh Tuhan kepada umat Islam. [26]



8.  Langkah-Langkah Yang Perlu Diambil

UMNO, parti nasionalis, yang menjadi tulang belakang pemerintahan di Malaysia sekarang berasal sebagai sebuah gerakan massa pada 1946. Namun tiap benda yang hidup akan merosot. Demikianlah UMNO telah merosot. Hanya anggota UMNO dan rakyat Malaysia seluruhnya melalui Perhimpunan Agung UMNO boleh membaiki UMNO, melalui apa yang diperintahkan oleh Tuhan “menyerukan kebaikan dan melarang kejahatan”. Perhimpunan Agung UMNO tahunan mestilah menjadi sekat dan imbang atau penjaga kepada sistem pemerintahan di Malaysia. Rasuah, pembaziran dan kejahatan lain mestilah dikoreksi dari dalam oleh kita yang sedar sendiri.

Inilah yang harus dilakukan oleh rakyat Malaysia. Inilah juga yang harus dilakukan oleh umat Islam seluruh dunia. Tiada seorang Imam Mahdi atau Nabi Isa turun kali kedua boleh tolong mereka. Manusia tiada penolong dan pembantu kecuali diri mereka sendiri. Dengan izin Allah !

Saya telah menyatakan pada awal tadi bahawa saya akan meluahkan isi hatinya tanpa sekatan. Saya ingin menyatakan dengan rendah hati bahawa saya memohon kepada Tuhan Azza-Wajalla memberi taufik dan hidayah kepada saya dan menjauhkan saya daripada kesombongan dan kebanggaan. Saya ingin menyatakan terima kasih  yang tidak terhingga banyaknya kepada sahabat-sahabat saya dalam Jawatankuasa Penaja yang dipimpin oleh Sdr Nik Aziz Hassan dan juga dari pelbagai bangsa dan agama yang telah mera’ikan hari jadi saya yang ke-80 dengan seminar penilaian kritis terhadap karya-karya saya. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Tun Dr Mahathir Mohamad kerana sudi merasmikan upacara ini. Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak dewan yang membenarkan kami menggunakan dewan yang permai ini.

Ucapan ini tidak kena-mengena dengan peringatan harijadi saya yang ke-80. Saya fikir sudah sampai masanya kita, rakyat Malaysia dan umat Islam di seluruh dunia, berdepan dengan realiti kita secara realistic dan bijaksana untuk menentukan masa depan kita semua, bukan sahaja untuk 30 tahun akan datang, tetapi untuk selama-lamanya.

Saya bercakap ini langsung kepada elit kepimpinan politik dan intelektual dan kepada massa rakyat. Saya harap mereka ambil peduli.

Terima kasih

KASSIM AHMAD
16 Februari, 2014


ASWAJA, PERKASA & PAS KECAM KENYATAAN KASSIM AHMAD.

  
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Ahli Sunnah Waljamaah Malaysia (ASWAJA), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan PAS mengecam kenyataan yang dikeluarkan oleh intelektual Melayu Dr Kassim Ahmad dalam satu seminar yang diadakan di Putrajaya pada Ahad.

Presiden ASWAJA, Zamihan Mat Zin berkata, kenyataan Kassim berhubung pendewaan terhadap Nabi Muhammad, ingin mentafsirkan semula al-Quran dan mengkritik “kasta paderi” dalam Islam boleh mendorong kepada kemurtadan.

“Semua kenyataan ini menjadikan beliau (murtad) terkeluar dari Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan-kenyataan Kassim itu tegas Zamihan, merendahkan martabat Nabi Muhammad, tidak masuk akal dan biadab.

Zamihan turut menggesa pihak berkuasa agama menyiasat kenyataan itu supaya ia tidak meresahkan umat Islam negara ini.

"Pihak ASWAJA bersedia untuk bermuzakarah dengan beliau berkaitan isu-isu kontroversi yang dicetuskannya pada bila-bila masa sahaja.

“Tindakan ini bertujuan supaya Kassim sedar kesilapannya dan kembali ke jalan yang benar," kata beliau.

Kassim dilaporkan antaranya mengkritik “kasta paderi” yang dipanggil ulama, pendewaan terhadap Nabi Muhammad dan berkata rambut bukan aurat wanita.

Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Satu Penilaian turut dihadiri oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


Sementara itu, Perkasa mendesak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) agar mengambil tindakan terhadap Kassim.

Presiden Perkasa, datuk Ibrahim Ali menegaskan kenyataan yang dibuat Kassim itu sangat serius dan boleh menggelirukan umat Islam di Malaysia.

"Memang jika benar Kasim berkata demikian, ia satu keceluparan yang dahsyat, wajar di ambil tindakan kerana ia menghina Islam (menghina Allah), mencabar Majlis Raja-Raja Melayu serta kesannya boleh mengelirukan kefahaman terhadap Islam," katanya dalam satu kenyataan petang ini.


Manakala PAS juga turut mendesak supaya Kassim diambil tindakan undang-undang kerana ia merupakan satu kesalahan serius.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar, kenyataan yang dibuat Kasim itu bukan hanya mencabul dan mencabar Majlis Raja-Raja Melayu tetapi turut menghina masyarakat Islam secara keseluruhan.

-Berita mula diterbitkan pada: Februari 17, 2014 17:08 (MYT)


TUN MAHATHIR PERTAHAN KASSIM AHMAD.



GOMBAK: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan kenyataan yang dibuat intelektual kontroversi, Dr Kassim Ahmad yang dianggap anti hadis.

Dr Mahathir berkata Kassim sering dilabel anti hadis kerana pihak yang menuduhnya gagal berhujah dengannya mengenai isu agama.

"Dia dilabelkan sebagai anti hadis sebab orang tidak boleh jawab apa yang kata.Kita lihat di sini label digunakan sebagai alat untuk mematahkan pendapat orang lain." katanya selepas Majlis Pelancaran Kursi Keamanan Global Tun Mahathir di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di sini hari ini.

Katanya, sama seperti Kassim beliau juga sering dilabel dengan berbagai gelaran selepas hujahnya tidak diterima pihak tertentu.

"Saya juga dilabel sebagai anti cina, dituduh rasis dan macam-macam. Jadi walaupun saya berkata benda yang benar, saya tetap dianggap rasis," katanya.

Tegas Dr Mahthir, beliau tidak menganggap Kassim sebagai seoarang yang anti hadis dan sebaliknya beliau sama seperti mana-mana orang Islam yang lain.

Mengulas laporan polis yang dibuat oleh beberapa pihak terhadap Dr Kassim, Dr Mahathir berkata perkara tersebut sudah menjadi amalan biasa di negara ini.

"Dia boleh repot. Dalam negara kita kalau tak bersetuju boleh buat repot polis.

“Orang marah sikit pada kita repot polis, orang cubit kita pun repot polis. Mesti kena ada undang-undang anticubit lepas ini.

"Tapi kita bercakap mengenai kebebasan bersuara," katanya lagi.

Kassim dalam satu seminar yang diadakan di Putrajaya pada Ahad dilaporkan antaranya mengkritik “kasta paderi” yang dipanggil ulama, pendewaan terhadap Nabi Muhammad dan berkata rambut bukan aurat wanita.

Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Satu Penilaian turut dihadiri oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Semalam Pertubuhan Ahli Sunnah Waljamaah Malaysia (ASWAJA), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan PAS mengecam kenyataan Kassim itu.

Sementara Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyahut cabaran debat yang dikemukakan oleh Kassim dan mendakwa pihak pernah berdialog dengan intelektual Melayu itu pada tahun 1986.

-Berita mula diterbitkan pada: Februari 18, 2014 21:42 (MYT)
KENYATAAN PENUH JAKIM BERKAITAN ISU KASSIM AHMAD.
BERIKUT kenyataan penuh Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha mengenai Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian.

Jakim memandang serius dalam isu yang dibangkitkan dalam Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian pada 15 dan 16 Februari 2014 anjuran Ahli Jawatankuasa Sahabat Pena Pak Kassim di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Kenyataan-kenyataan daripada para pembentang kertas kerja seminar khususnya berkaitan isu-isu agama adalah seperti yang berikut:

- Mempertikaikan dua kalimah syahadah dengan menganggap syahadah yang kedua sebagai mendewa-dewakan Nabi Muhammad SAW.

- Mempertikaikan rambut sebagai aurat wanita dan memperlekeh wanita yang berhijab.

- Mempertikaikan kredibiliti ulama dan menyamakan ulama sebagai kasta paderi.

- Mempertikaikan hadith sebagai sumber hukum dan menuduh Imam Shafi’e yang memulakan doktrin baru dengan menyatakan hadith sebagai satu sumber hukum sama seperti al-Quran

- Mentafsirkan semula al-Quran berdasarkan logik semata-mata dan menolak tafsiran ulama terdahulu

- Mengiktiraf Kod 19 oleh Rashad Khalifa sebagai pentafsir al-Quran bagi menggantikan hadith

- Cadangan membuat surat untuk memohon pihak KDN menarik semula pengharaman buku-buku tulisan Kassim Ahmad

Jakim juga ingin menjelaskan bahawa pemikiran dan pandangan yang dikemukakan adalah bercanggah dengan prinsip dan juga sumber hukum dalam ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi asas pegangan masyarakat Islam di Malaysia.

Ini adalah berdasarkan kepada sebab-sebab yang berikut:

i) Mengucap Dua kalimah Syahadah merupakan rukun Islam yang pertama bagi setiap Muslim yang mengaku dirinya sebagai orang Islam. Mempertikaikan syahadah boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada agama Islam. Justeru, orang yang berbuat demikian wajiblah segera bertaubat.

ii) Ulama telah bersepakat bahawa aurat wanita adalah keseluruhan badannya kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Mempertikaikan hukum yang telah disepakati boleh membawa kepada kesesatan.

iii) Ulama adalah pewaris Nabi yang berperanan menyampaikan ajaran Islam dari satu generasi ke satu generasi. Mempertikaikan kredibiliti Ulama muktabar dalam mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah suatu yang bercanggah dengan disiplin ilmu yang diwarisi daripada Sahabat dan Salafus Salih.

iv) Hadith adalah sumber kedua perundangan Islam dan sebagai pentafsir kepada al-Qur’an berdasarkan ijma’ ulama.

v) Penafsiran semula al-Qur’an berdasarkan logik akal tidak boleh diterima kerana pentafsiran al-Quran memerlukan disiplin ilmu agama yang telah ditetapkan dalam ajaran Islam.

vi) Teori “Kod 19” oleh Rashad Khalifa yang dipegang oleh Kassim Ahmad mengandungi pelbagai penyelewengan akidah dan tidak wajar digunakan untuk mentafsirkan al-Quran

vii) Tindakan untuk menarik semula pengharaman buku-buku tulisan Kassim Ahmad ini adalah tidak wajar kerana ia telah jelas menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar seperti yang telah difatwakan oleh negeri-negeri.

Saya telah meminta pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk mengambil tindakan dengan pendekatan yang bersesuaian dalam perkara ini.

Di samping itu, saya juga memohon kerjasama dari pihak Jabatan Agama Islam Negeri-negeri dapat memantau dan memberi perhatian terhadap isu ini secara berkesan dan wajar dan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada sekiranya bersesuaian.

Suka saya maklumkan bahawa pihak berkuasa agama negeri telah mengambil tindakan penguatkuasaan dan pewartaan fatwa terhadap bahan-bahan penerbitan yang mengandungi dan menyebarkan fahaman anti hadith yang jelas menyeleweng dari ajaran Islam.

Apa-apa jua bentuk penerbitan dan atau publisiti yang bertujuan untuk mengembangkan pemikiran atau fahaman anti hadith adalah dilarang dan perlu disekat kerana ia menyalahi fatwa dan undang-undang lain yang berkaitan.

Pihak Jakim dan Jawi juga berhasrat untuk menjemput Dr Kassim Ahmad dan pihak penganjur sebagai satu usaha pihak kami memberikan penjelasan terbaik terhadap dakwaan-dakwaan beliau yang dianggap boleh menjejaskan aqidah umat Islam.

Jutseru itu, memandangkan pemikiran Dr Kassim Ahmad ini boleh dikatakan sebagai pemikiran yang salah dan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, maka adalah wajar umat Islam di Malaysia menjauhi aliran pemikiran dan doktrin-doktrin palsu yang seumpama ini.

Ini adalah kerana perkara ini boleh memberi implikasi besar kepada akidah umat Islam dan menggugat ketenteraman serta menimbulkan keresahan awam.

Islam menyeru kepada umatnya agar bersatu padu dan mencegah daripada berpecah belah kerana perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam boleh merugikan masyarakat Islam itu sendiri.

Ini juga adalah demi untuk membangunkan modal insan yang bertamadun tinggi.


Sekian, terima kasih.
'Saya Yang Menurut Perintah'

DATO' HAJI OTHMAN MUSTAPHA 19 Februari 2014 


Dr Mahathir berkata Kassim sering dilabel anti hadis kerana pihak yang menuduhnya gagal berhujah dengannya mengenai isu agama.”, BENARKAH? USTAZ AHMAD AWANG MENJAWAB.




Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa berbohong apabila berkata para ulama di negara ini gagal melawan Dr Kassim Ahmad dengan hujah, lalu melabelkannya sebagai 'anti-Hadis'.
Bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Ustaz Ahmad Awang berkata, ketika kejadian pertama Kassim membawa teorinya pada tahun 1986, beliaulah ketika itu Pengarah Penyelidikan Pusat Islam (kini Jakim) yang berdepan dengan Kassim.
"Atas kapasiti sebagai Yang di-Pertua PUM, kami berdepan dengan Kassim di Masjid Seksyen 16, Petaling Jaya. Beliau meminta kami dengarkan dulu dia bercakap, selepas dia bercakap, masa habis, dan dia pulang ke Pulau Pinang.
"Dia berjanji akan bertemu semula. Namun selepas itu, sampai sekarang dia tidak mahu bertemu kami. Ia berakhir dengan dia sahaja yang bercakap dan kami hanya mampu mendengar dan tidak boleh berhujah balas bagi menjawab dakwaan beliau," cerita Ahmad Awang kepada The Malaysian Insider, mengingati kembali kejadian hampir 30 tahun lalu itu.
Tidak lama selepas pertemuan itu, katanya, Kassim pergi ke akhbar Watan ketika itu (walaupun berjanji tidak ada sebarang laporan media berkaitan majlis itu) dan memaklumkan akhbar tersebut para ulama gagal berhujah dengan beliau.
"Jadi, bukan sahaja Dr Mahathir sahaja yang berbohong dalam hal ini, Kassim Ahmad yang menjadi rakan Mahathir sejak di Universiti Malaya Singapura juga berbohong," kata Ahmad.
Dr Mahathir berkata, Kassim sering dilabel anti-Hadis kerana pihak yang menuduhnya gagal berhujah dengannya mengenai isu agama.
"Dia dilabelkan sebagai anti-Hadis sebab orang tidak boleh jawab apa yang dia katakan. Kita lihat di sini, label digunakan sebagai alat untuk mematahkan pendapat orang lain," katanya selepas Majlis Pelancaran Kursi Keamanan Global Tun Mahathir di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kelmarin.
Katanya, sama seperti Kassim, beliau juga sering dilabel dengan pelbagai gelaran selepas hujahnya tidak diterima pihak tertentu.
"Saya juga dilabel sebagai anti-Cina, dituduh rasis dan macam-macam. Jadi walaupun saya berkata benda yang benar, saya tetap dianggap rasis," katanya. Kassim adalah junior Dr Mahathir di Universiti Malaya Singapura.
Kassim juga pelopor Kelab Sosialis UM Singapura yang banyak mengeluarkan kenyataan menggunakan tulisan warna merah.
Pada 18 September 1986, Majlis Fatwa Kebangsaan mewartakan fatwa bahawa buku tulisan Kassim bertajuk "Hadith: Satu Penilaian Semula" adalah haram.
Fatwa yang dibuat oleh Majlis Fatwa Sabah itu diterima pakai oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
Antara lain, fatwa itu menyebut, "Pengarang buku itu termasuk dalam golongan orang yang murtad, sekiranya undang-undang murtad dikuatkuasakan di Negara ini, maka pengarang buku itu wajib dibunuh."
Menurut Ahmad Awang, Kassim didakwa anti-Hadis apabila beliau mencadangkan umat Islam hanya merujuk kepada Al Quran semata-mata dan menolak hadis Rasulullah sebagai sumber hukum dalam Islam.
Ia bermula apabila beliau selaku Pengarah Penyelidikan Pusat Islam menerima lima buah buku tulisan Rashad Khalifa dari Tucson Arizona, Amerika yang ditahan oleh Jabatan Kastam daripada diserahkan kepada Kassim yang sepatutnya menerima buku-buku itu.
Buku-buku itu adalah:
1) Miracle of the Quran: Significance of the Mysterous Alphabets
2) The Computer Speaks: God's  Message to the world.
3) Quran: The Final Scripture
4) Quran, Hadith and Islam, dan
5) Authorized English version Translated from the Original.
Selepas dikaji, kata Ahmad, ia bertentangan dengan Islam dan Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang di Johor Bahru pada tahun 1986 yang mengharamkan buku-buku itu.
Ahmad yakin, walaupun buku itu berjaya disekat, tetapi Kassim menerima juga buku itu melalui cara lain. Hampir kesemua teori Kassim Ahmad tentang Hadis datang dari buku-buku ini," kata Ahmad.
Ketika memberikan ucapan dalam seminar pemikiran Kassim Ahmad di Putrajaya pada 15 dan 16 Februari lalu, yang dianjurkan Yayasan Kepimpinan Perdana, Kassim berkata, umat Islam sepatutnya menjadikan Al Quran sahaja sebagai sumber rujukannya hukumnnya.
Beliau juga berkata, frasa kedua dalam dua kalimah syahadah mendewakan Nabi Muhammad. Beliau juga berkata, rambut bukan aurat wanita.
"Menutup rambut dengan bertudung bermakna udara bersih tidak dapat memasuki rambut. Dengan itu rambut menjadi busuk.
"Dengan lain perkataan, ia tidak sihat. Anehnya, wanita yang bertudung menganggap diri mereka lebih suci!" kata Kassim dalam ucapannya itu.
Ekoran itu, pelbagai pihak membantah Kassim, termasuk badan yang selama ini menyokong Umno, seperti Isma.


TAN SRI HARUSSANI ZAKARIA MENGECAM TUN MAHATHIR KERANA MENYOKONG & PERTAHAN PEMIKIRAN SONGSANG KASSIM AHMAD.



IPOH: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengecam mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang juga peneraju Perdana Leadership Foundation kerana menyokong dan mempertahankan pemikiran songsang, Kassim Ahmad.

Menurutnya, tindakan itu telah memberi ruang untuk menyegarkan semula fahaman terpesong itu walaupun ianya telah difatwakan oleh kebanyakan negeri sebagai pemikir yang sesat dan menyeleweng dari ajaran Islam.

"Saya hairan bagaimana Mahathir boleh terpengaruh dengan ajaran sesat Kassim Ahmad hingga sanggup mempertahankannya."

"Saya mengecam bekas perdana menteri (Mahathir) yang menyokong dan mempertahankan (kenyataan Kassim)," kata beliau dalam sidang media di pejabatnya, dekat sini hari ini.

Harussani menjelaskan, kerajaan perlu menguatkuasaan undang-undang selaras dengan fatwa yang telah dikeluarkan oleh banyak negeri termasuk Perak dan bertepatan dengan rukun negara iaitu Kedaulatan Undang-Undang agar golongan sesat seperti Kassim Ahmad boleh diambil tindakan.

"Tidak ada gunanya bertempik bahawasanya perlembagaan Malaysia ada begitu begini tapi perlaksanaanya tiada.

"Kassim Ahmad sepatutnya wajib diambil tindakan kerana beliau telah difatwakan sesat oleh banyak negeri dan telah digazetkan," jelasnya lagi.

Harussani menyatakan, kenyataan Kassim Ahmad sangat merbahaya kepada akidah umat Islam kerana tokoh anti hadis itu menyangkal beberapa perkara pokok dan asas dalam agama Islam.

Kassim Ahmad katanya menyerlahkan lagi kejahilannya apabila meletakkan ulama Islam sebaris dengan kasta paderi, begitu juga dalam mengistinbatkan ayat-ayat hukum berkaitan aurat.

"Saya menyeru Kassim Ahmad dan mereka yang bersetuju dengan pandangan beliau supaya bertaubat," katanya.

Jelas beliau, Kassim bukan orang yang berkeahlian dalam membicarakan ayat-ayat hukum di dalam Al-Quran kerana sangat kurang ilmu asas bahasa arab dan ilmu-ilmu usul fiqh yang merupakan mekanisme penting dalam menginstinbat hukum sebaliknya hanya menggunakan ilmu logik.

"Saya menyeru kepada semua umat Islam agar jangan terpengaruh dengan ucapan beliau (Kassim Ahmad) kerana ia secara jelas bercanggah dengan asas-asas ajaran Islam," tegasnya.



p/s : Dalam isu ini, Tun M telah melakukan kesilapan yg besar bila mempertahankan kesongsangan Pak Kassim. Keintelektualan Pak Kassim dalam hal ini tak dak nilai akademik langsung dalam ilmu ilmu Islam. Saya berani berkata demikian kerana penulisan Pak Kassim berkaitan al-Quran dan juga Hadis terkeluar daripada disiplin dan prinsip asas ilmu tersebut. Justeru bagaimana nak dinilai tulisan yg songsang? Nilainya adalah songsang lagi menyongsangkan. 
Saya agak ralat bila Tun M kata tak dak yg boleh mematahkan hujahnya Pak Kassim. Jika begitu, bagaimana Majlis Fatwa boleh menfatwakan berkaitan pemikiran Pak Kassim yg songsang ini? Takkan Majlis Fatwa wewenang untuk menfatwakan sesuatu masalah? 
Pendapat saya, tindakan tegas dan segera perlu diambil. Pedulikan siapa pun yg pertahankannya. Keintelektualan begitu bukan membawa rahmat tapi mengundang kiamat. Lebih teruk lagi isu ini dipolitikkan oleh penggila partisan. Sampai bila pun isu Islam takkan selesai. Agak melampau juga orang orang gila partisan ini mula menyepak bola. Ada yg kata Tun M anti Hadis. Penyokong Tun M tak dok saja, tentu lah sepak balik. Alahai Pak Kassim! kepala Pak Kassim dibuat bola mainan.
Kredit kepada ;








Tiada ulasan:

Catat Ulasan