Khamis, 13 Mac 2014

Batuk, batok, pagar, pegar, padam, padma, .......?!

بسم الله الرحمن الرحيم

Buat kerja takat melepaskan batuk di tangga, batok hilang entah ke mana, batuk makin menjadi-jadi, pegar pun dah di makan musang, pagar pun dah makin usang, padma pula tak kembang-kembang, padam terus akhirnya.
Nak perjuangkan bahasa lah kononnya. Silap membaca jawi, DBP tak mau membetuli, dan 1001 alasan diberi. Alasan boleh direka diberi. Sudahkah usaha itu mencukupi. Kajian orang orang "U" pun tak cukup lagi dengan bukti-bukti, tentera-tentera jari pula dah terlebih sudu dari kuah yang diberi.
Baiklah!
Peribahasa ialah bidalan, pepatah, ayat atau kelompok kata yang tetap susunannya dan mempunyai maksud tertentu.
Menurut Za'ba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya.
Peribahasa tradisi merujuk kepada peribahasa yang digunakan dalam pertuturan sehari-harian atau secara bercetak sebelum tarikh kemerdekaan. Peribahasa moden pula merujuk yang dicipta selepas tarikh tersebut. Peribahasa merupakan sabahagian daripada bahasa kiasan dalam budaya Melayu.
Za’ba membahagikan peribahasa kepada dua jenis, iaitu peribahasa bersifat selapis dan bersifat dua lapis. Peribahasa selapis bererti apa sahaja ungkapan itulah maksudnya. Sifat terus terang tanpa maksud yang terselindung umpama bidalan, pepatah dan perbilangan, manakala peribahasa dua lapis pula bermaksud pengertian yang dimaksudkan berlainan daripada sesuatu yang dilihat daripada zahirnya seperti perumpamaan.
Lapis pertama peribahasa ialah makna yang tersurat. Makna tersurat ada yang jelas seperti “cicak makan kapur”, “abu di atas tunggul” dan “anjing menyalak bukit”. Kita dapat melihat cicak terkulat-kulat sekiranya cicak itu termakan kapur. Kita dapat melihat abu di atas tunggul. Kita dapat melihat anjing dan mendengar salakannya. Ada juga makna tersurat yang kurang jelas seperti “meniup api dalam air”. Mustahil kita dapat melihat orang meniup api dalam air. Kita hanya dapat membayangkan keadaan itu. Seterusnya, ada pula makna tersurat yang kabur seperti “pagar makan padi”, “pancing makan umpan” dan “perigi mencari timba”. Memang mustahil kita tidak dapat melihat perkara ini berlaku.
Menurut Za‘ba, peribahasa dua lapis ialah perumpamaan. Beliau menyatakan, perumpamaan itu “asalnya daripada bahasa kiasan, iaitu satu barang dikiaskan kepada lain barang oleh sebab hendak memisalkan dan menerangkan maksudnya.” Jadi, yang penting di sini ialah maksudnya atau lapis kedua, atau dengan ungkapan lain, makna tersirat.
Tindakan segelintir yang mengkritik beberapa peribahasa yang kononnya salah dengan berbagai alasan amat mengecewakan. Kecewa bukan kerana kritikan itu. Kecewa kerana pengkritik tak mendatangkan hujah yang konkrit untuk membetulkan kesalahan yang didakwanya, membiarkan cerdik pandai jari-jemari berbicara di alam maya membenarkan dakwa barunya menyalahkan cacatan lama tanpa diluluskan lagi akan benar dakwanya.
Kaedah Fikah ada sebut ان البينة على من ادعى , bahawa keterangan dan dalil ke atas orang yang mendakwa. Sungguhpun itu masalah fikah, boleh diterapkan dalam masalah sosial yang berlaku ini. Pihak yang mendakwa ada kesalahan itu tak memberi keterangan juga dalil yang konkrit yang dapat mengabsahkan dakwaan mereka agar yang salah boleh dibetulkan. Kita amat bersukacita jika kesalahan dapat dibetulkan. Ada tahi lembu dalil menunjukkan adanya lembu. Bertahun menanti dalil-dalil konkrit pengkritik tapi hampa kerana tiada apa yang memberi faedah cuma spekulasi tanpa pedoman yang terus-terusan. Apakah ada udang di sebalik batu?  


Tiada ulasan:

Catat Ulasan