Isnin, 15 September 2014

Penulis jiwa kosong berlambak di media sosial.

بسم الله الرحمن الرحيم

Oleh Dr Nik Roskiman Abdul Samad.
Bual bicara eksklusif bersama Sheikh Hamza Yusuf Hanson bincang krisis ilmu, masalah pokok cetus punca salah anggap terhadap Islam
Ulama terkenal, Sheikh Hamza Yusuf Hanson yang juga pengasas Institut Zaytuna di Amerika Syarikat memuji umat Islam di Malaysia kerana masih memiliki identiti yang kukuh dan terus mempertahankan manhaj Ahlul Sunnah Wal Jamaah dengan berpegang teguh kepada mazhab Imam Shafie dalam fekah, Abu'l Hasan al-Asha'ari dalam akidah dan tasauf Imam al-Ghazali.

Bagi beliau, umat Islam Malaysia belum dirosakkan oleh anasir luar seperti negara Islam lain yang terpengaruh dengan pasca modernisme. Beliau menyeru supaya dipertahankan tradisi ini daripada ancaman yang salah dan tidak menepati sunah.

Katanya, mustahil ajaran Islam perlu dibuat kajian semula setelah melalui zaman yang begitu lama dan proses saringan yang ketat oleh ratusan ulama muktabar sepanjang zaman. Justeru, beliau menyeru umat Islam benar-benar mengenali siapakah sebenarnya Ahlul Sunnah wal Jamaah dan ciri-cirinya.

"Ini kerana ramai yang mendakwa mereka adalah kumpulan selamat (firqah najiah) dan Ahlul Sunnah Wal Jamaah sedangkan sebenarnya tidak," katanya dalam temubual eksklusif bersama deejay Mazlina Ismail di IKIMfm, Khamis lalu.

Ulama paling berpengaruh di Barat

Sheikh Hamza yang disenaraikan sebagai ulama paling berpengaruh di dunia Barat oleh Prof John Esposito dalam bukunya, The 500 Most Influential Muslims datang ke Malaysia atas undangan Institut Antarabangsa Pengajian Islam Lanjutan (IAIS) dan Al-Naqiy Solutions.

Beliau berpandangan apa sahaja masalah yang berlaku dalam alam ini berpunca daripada krisis ilmu pengetahuan yang menjadi masalah pokok kepada krisis lain, sama ada ekonomi atau politik, manakala yang lain hanyalah simptom kepada penyakit sebenar yang dihadapi.

Katanya, penulis terkenal Amerika Syarikat, Mark Twain yang pernah melawat Palestin dan Florence Nightingale yang pernah tinggal hampir dua tahun di Mesir serta Turki tidak pernah menganggap umat Islam sebagai pengganas atau berpandangan jahat terhadap Islam.

Sebaliknya, mereka memuji umat Islam dan agama Islam. Oleh itu, bagaimana mungkin orang yang hidup lebih 100 tahun dahulu boleh melihat Islam itu positif, sedangkan hari ini tiada langsung kebaikan mengenai Islam dan itulah yang dikatakan krisis ilmu pengetahuan.

Kejahilan biasa, kejahilan berganda

Beliau turut mengungkapkan pandangan Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas yang membicarakan berhubung 'kejahilan biasa' dan 'kejahilan berganda'.

"Anak-anak biasanya tergolong dalam jahil biasa dan ini lambang keikhlasan serta kejujuran terhadap keilmuan yang dimiliki. Hari ini ramai yang jahil, namun berlagak alim dan mempunyai ilmu pengetahuan, inilah yang dikatakan jahil berganda," katanya.

"Penyakit ini apabila ramai yang mendakwa mengaku mengetahui sesuatu, tetapi sebenarnya kosong tidak mengetahui apa-apa. Ulama kita mengajar supaya kita mengungkapkan aku tidak tahu jika kita tidak tahu kerana itu adalah sebahagian daripada ilmu," katanya.

Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu. Ini halal dan ini haram, untuk mengadakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya." (Surah al-Nahl, ayat 116)

Kejahilan sombong ialah merasakan mengetahui sesuatu perkara lalu memberi pelbagai komentar dan pandangan pada hal mereka jahil sebenarnya. Perlakuan sebegini berbahaya untuk masyarakat awam dan akan mengelirukan mereka.

Sahabat Baginda ﷺ menolak untuk memberi pandangan kerana merasakan tidak layak serta ia suatu yang berat dan mereka amat takut akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Hari ini ramai yang menulis kosong tanpa ilmu di media sosial.

Ada menggunakan nama palsu dengan identiti yang disembunyikan seolah-olah malaikat tidak mengetahui siapa penulis sebenar. Hari ini juga, untuk mengumpat tidak perlu lagi berdua seperti dahulu memadai dengan mengetuk papan kekunci komputer dan menghantarnya ke media sosial.

Hakikatnya, mereka ini tidak akan terlepas daripada hukuman Allah SWT atas pandangan mereka menyelewengkan dan menyesatkan masyarakat.

Sheikh Hamza menyeru supaya perbezaan pendapat yang wujud dalam masyarakat ditangani dengan cermat, halus, tanpa mewujudkan perpecahan dan pergeseran sesama umat Islam.

Katanya, ada ketikanya sesuatu amalan itu mungkin ada hujah atau dalil lebih kuat untuk tidak melakukannya, tetapi jika masyarakat sudah terbiasa dengan amalan yang hujahnya tidak begitu kuat dan demi menjamin perpaduan, lebih baik ia diamalkan bagi mengelakkan pergeseran.

"Ini antara pandangan ulama mazhab Maliki. Apa yang berbahaya apabila kita merasakan dan mendakwa hanya Islam yang kita fahami sahaja betul sedangkan Islam orang lain semuanya salah belaka. Tidak salah untuk kita meyakini yang kita fahami itu benar, namun untuk menafikan orang lain juga mungkin benar adalah satu sikap yang angkuh," katanya.

Bersyukur dengan nikmat

Sehubungan itu, Sheikh Hamza meminta umat Islam di Malaysia bersyukur atas segala nikmat yang dianugerahkan Allah SWT kerana berdasarkan pengalaman mengembara ke banyak negara Islam, negara ini jauh lebih baik daripada banyak negara di dunia.

Katanya, majoriti rakyat di Syria, Libya, Iraq yang sedang bergolak sekarang ini mengatakan mereka lebih rela kembali hidup di zaman pemerintahan Saddam Hussein atau Muammar Gaddafi yang lebih aman berbanding hari ini.

"Mana-mana kerajaan pasti ada kelemahannya, tetapi rakyat Malaysia perlu bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang dinikmati supaya Allah SWT terus menambahkan lagi nikmat yang lain. Pada masa sama, terus berusaha memperbaiki keadaan yang ada," katanya.

Mengakhiri perbualan, Sheikh Hamza dengan perasaan sebak sambil menitiskan air mata menyatakan kesedihan kerana umat Islam hari ini sudah hilang adab dan meminta supaya mereka menghayati sabda Nabi Muhammad ﷺ: "Sesungguhnya aku telah diadabkan oleh Tuhanku dan Dia memperelokkan adabku."

* Penulis ialah Pengarah Pusat Media Institut Kefahaman Islam Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan