Jumaat, 23 Oktober 2015

Salam Asyura.

بسم الله الرحمن الرحيم.

Kami telah dengar riwayat Hadis Musalsal dengan Hari Asyura daripada syeikh kami, Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kittani, yang bersambung sanadnya sampai ke rawi pertama hadis, iaitu Abu Qatadah dan bunyi matan hadis tersebut;

قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : "صيام يوم عاشوراء إني أحتسب على الله أن يكفر السنة التى قبله."

Mafhumnya; Berkata Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam : "Puasa di Hari Asyura, sesungguhnya Daku mengharap kepada Allah agar menghapuskan dosa tahun sebelumnya."

Setengah ahli sejarah kata sambutan hari ke-10 ni mai daripada Yahudi. 10 haribulan Tisyri orang Yahudi sambut Yom Kippur atau Hari Penebusan Dosa. Tisyri ni bulan pertama dalam kalendar Yahudi ikut konsep tahun awam Yahudi. Depa buat apa ha?

Kitab Taurat depa seru kaum Yahudi puasa pada hari tu supaya depa mengakui dosa-dosa depa dan menunjukkan rasa rendah diri di hadapan Tuhan depa. Hanya dengan puasa dan taubat, depa akan dapat keredaan Tuhan depa. Puasa ni dilakukan selama 25 jam. Sehari semalam tambah 1 jam hari esok, lama tu.

Orang Yahudi percaya yang Yom Kippur tu hari Nabi Musa turun dari Gunung Sinai untuk kali ke-2 bawa berita bahawa Tuhan dah ampunkan kesalahan depa.

Ha, sudah! Kita ikut siapa ni? Syiah ka, Yahudi ka?

Kita ikut Nabi kita la. Jangan risau.

Ketika Baginda Nabi sampai di Madinah, Baginda dapati orang orang Yahudi puasa pada 10 Muharam. Baginda Nabi kata kat depa;
"أنا أحق بموسى منكم فصامه وأمر بصيامه."
Mafhumnya; "Daku lebih berhak ke atas Musa daripada hangpa, dan Baginda pun berpuasa padanya[10 Muharam] seraya menyuruh berpuasa pada hari tersebut."

Sunat puasa hari ni. Nak puasa, puasa la. Tak nak puasa, tak pa la. Apa yang syoknya bila buka puasa sat lagi dengan Bubur Asyura. Masak Bubur Asyura ni tak dak kena mengena dengan bidaah [seperti yang dicanang segolongan itu] sebab tak dak yang namanya bidaah dalam masakan, makanan, dan minuman. 

Kat Mesir ada Halawah Asyura[Manisan Asyura] dan kat Malaysia ada Bubur Asyura. Ada bait yang dinisbahkan kepada Ibn Hajar pasal masak kekacang di hari Asyura;

في يوم عاشوراء سبع تمترس * * بر ورز ثم ماش وعدس وحمص ولوبيا والفول

Di hari Asyura ada 7 benda bertempek-tempek**gandum,beras,kacang hijau,adas,kacang putih,kacang tunggak dan kacang parang.

Maknanya nak kata yang 7 bahan tu dimasak sekali la. Masak la macam mana pun. Kot utara ni guna tepung beras dan jenis kekacang..ada setengah tu campur durian, timur nun tambah rempah sikit, dan kot selatan nun macam bubur Lambok. Tak dak masalah...masak la kot mana pun. Janji boleh makan.

Imam al-Ajhuri kata; siapa yang baca حَسْبِىَ اللهُ وَ نِعْمَ الْوَكِيْلُ وَ نِعْمَ الْمَوْلَى وَ نِعْمَ النَّصِيْرُ  sebanyak 70 kali pada hari Asyura, Allah akan jaganya daripada kejahatan tahun itu.

Wallahualam.   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan