Ahad, 7 Ogos 2016

#‏كلنا_فداء_لمولانا_علي_جمعة‬

بسم الله الرحمن الرحيم.


Saya nukilkan daripada cerita pelajar yang ada di tempat kejadian,Masjid Fadil;

Kami sampai awal pada hari ini. Sekitar jam 11 50 pagi, menaiki kenderaan peribadi seorang sahabat sambil menjemput guru kami Syaikh Ahmad al-Hajin dari rumahnya seperti biasa.

Setelah azan pertama berkumandang, para jemaah bangun untuk solat sunat. Setelah salam, kami menunggu khatib naik ke mimbar. Kelihatan as-Syaikh Dr. Majdi 'Asyur berdiri dan menuju ke mimbar. Beliau ditugaskan sebagai khatib pada hari ini.

Tiba-tiba bunyi tembakan yang sangat kuat bertalu-talu kedengaran di luar masjid. Puluhan das tembakan. Kurang pasti kerana sangat laju. Bunyi seperti senapang AK-47 Short.(saya cuba dengar bunyinya di internet dan memang sama.)

Hingar-bingar. Panik. Cemas. Kurang pasti apa yang berlaku, sebahagian menjengah ke luar. Kelihatan 2 orang bertopeng dan berpakaian hitam bersenjata di perkarangan masjid(belah kiri dari kiblat). Menurut saksi yang merupakan seorang pengemis di luar masjid tersebut, ia nampak mereka keluar daripada sebuah rumah kosong yang masih dalam pembinaan di belakang masjid.

Mereka kemudian disusuli 2 orang lagi. 4 orang penembak semuanya. Mereka mula menembak sebaik sahaja fadhilatus Syaikh yang dalam perjalanan menuju masjid dari rumahnya yang bersebelahan dengan masjid, diberhentikan oleh seorang lelaki untuk menanyakan soalan. 2 pengawal peribadi syaikh yang mempunyai pistol lantas menghadang syaikh, mempertaruhkan badannya untuk syaikh. Tembak-menembak jarak 50 meter berlaku. Syaikh dibawa pantas menuju pintu masjid. Walaupun jarak dekat dan bersenjata besar, tiada satu pun peluru mengenai syaikh. Allahu Akbar...

Melihat sebahagian jemaah yang melihat ke tingkap lari ke arah pintu lain, hampir semua yang berada di masjid bertempiaran lari. Golongan wanita di tingkat atas bertempik dan melolong ketakutan. Ramai masih tidak tahu apa yang berlaku. Tetapi melihat semua bertempiaran, ketakutan dan panik menyelubungi jiwa. Sebahagian meniarap. Sebahagian lagi bersembunyi dan berselindung di sudut-sudut masjid sambil berpegangan tangan. Kanak-kanak menangis dan meraung. Keadaan sungguh genting.

Jantungku berdegup kencang. Yang pertama terdetik dimindaku adalah masjid ini diserang golongan bersenjata. Aku lantas terbayang peristiwa as-Syahid Syaikh Ramadhan al-Buti yang juga diserang di Masjid pada malam Jumaat. Aku terus memikirkan akan keadaan as-Syaikh Ali Jum'ah. Sungguh bimbang.

Ya Robb... Selamatkanlah Syaikh dengan kuasamu Ya Robb! Detik jiwaku..

Jiwaku luruh. Jantungku hampir meledak dek degupan terlalu laju. Tidak tahu bagaimana ingin menggambarkannya. Cemas, takut, gundah, risau, semuanya bersatu.

Bunyi tembakan kedengaran lagi. Ada yang mengenai pintu dan tingkap masjid.

Aku turut panik dan lari mengikut sebahagian jamaah yang berasak-asak ke arah pintu sebelah kanan masjid. Dibuka saja pintu, satu tembakan mengenai tingkap disamping pintu benar-benar disebelahku. Serpihan kaca sedikit mengenaiku. Pintu lantas ditutup kembali. Aku amat terkejut. Semua kembali ke dalam masjid berselindung di tiang dan sudut-sudut masjid.

Tika itu aku sudah pasrah. Aku hanya fikir kematian sudah di hadapan mata. Terbayang di minda masjid telah dikepung. Tak mustahil juga jika ada bom di masjid ini. Macam-macam membayangi minda. Apa yang harus kulakukan pada detik-detik akhir sebelum mati?

Aku lantas pergi ke rak al-Quran yang terletak di sudut hadapan masjid. Mencapai sebuah al-Quran yang terdekat. Aku memeluknya erat. Sambil berdoa, ya Allah selamatkanlah kami.

Saat itu aku sempat melihat ke sekeliling. Mataku terhenti pada sosok yang tidak asing lagi. Syaikh Ahmad al-Hajin. Beliau berdiri dengan sangat tenang dengan tasbih ditangan di tengah-tengah masjid. Kelihatan juga Syaikh Awadh Manqush sedang khusyuk dan tenang dalam solat sunatnya.

Aku hairan nan taajub. Di saat semua orang hiruk-pikuk bertempiaran, para masyaikh masih tenang. Masih meneruskan ibadahnya.

Allah.

Ketakutan mulai surut melihat mereka. Sahabat-sahabat asia mengerumuni Syaikh Ahmad dan berselindung di sebalik beliau. Aku turut berlari ke arah beliau.

Tiba-tiba aku ternampak Syaikh Ali Jum'ah keluar dengan jubah dan serban al-Azhar dari pintu kecil masjid dibawah mimbar di hadapan.

Ah. Lega bukan kepalang. Tiada apa berlaku pada syaikh.

Tembak-menembak masih kedengaran diluar. Pintu-pintu diarahkan untuk ditutup rapat dan dihadang dengan rak-rak kasut di dalam masjid. Aku gundah. Mudah-mudahan tiada yang terkorban dari tembakan tersebut.

Kelihatan Syaikh Ali Jum'ah berjalan laju dengan berani ibarat seorang panglima dan pahlawan perang, menuju pintu kiri masjid(tempat tembak menembak berlaku). Ingin keluar kembali melawan dan berhadapan dengan mereka. Para jemaah menghalang kemaraan Syaikh beramai-ramai, bimbang akan keselamatan beliau.

Saat itu, Dr. Majid, pengurus masjid yang merupakan menantu Syaikh Ali mengarahkan untuk tenang dan membuat pengumuman bahawa tiada solat Jumaat di sini. Sama ada untuk duduk di sini buat sementara waktu atau keluar dan solat di tempat lain.

Menurut salah seorang sahabatku, sebelum itu, ketika jemaah sedang panik dan bertempiaran beliau nampak Syaikh Ali Jum'ah berjaya masuk dengan selamat dari pintu biasa belah kiri tersebut bersama pengawal peribadinya yang menghadang syaikh. Syaikh terus disambut jemaah dan dibawa ke pintu bawah mimbar. Dan aku hanya mula terlihat Syaikh di dalam masjid ketika syaikh berada di situ.

Kedengaran beberapa orang meneriak mencari doktor. Rupanya salah seorang pengawal peribadi syaikh cedera ditembak. Salah seorang jemaah yang dikenali sebagai doktor lantas menuju ke arah mangsa.

Syaikh Ali Jum'ah yang terhalang untuk keluar berjalan menuju ke mimbar, dan mengarahkan bilal untuk azan. Para jemaah yang masih ada di Masjid mula tenang dan duduk memenuhi saf-saf.

Ya, kami yang melihat para masyaikh yang tenang seperti tiada apa berlaku turut berasa tenang.

Bunyi tembakan sudah tidak kedengaran lagi.

Setelah azan, fadhilatu Syaikh Ali kemudiannya seperti singa yang tidak mengenal rasa gentar, mengambil mikrofon daripada Syaikh Majdi Asyur untuk berkhutbah. Boleh baca terjemahan teks khutbah beliau di sini: Pencinta Al-Allamah Syeikh Ali Jum'ah -Malaysia.

"Khutbah Maulana Al Imam Syeikh Ali Juma’h Yang Bersejarah

(Pada 2 Zulkaedah 1437 Bersamaan 5 Ogos 2016):

الحمد لله و كفى و الصلاة و السلام على نبيه المصطفى, و حبيبه المجتبى... و أشهد أن لا إله إلا الله وحده صدق وعده و نصر عبده و أعز جنده وهزم الأحزاب وحده.

و أشهد أن سيدنا محمدا عبده و رسوله, نبيه وصفيه و حبيبه و خليله, بلغ الرسالة و أدى الأمانة و نصح للأمة و جاهد في سبيل الله حتي أتاه اليقين.

فاللهم صل و سلم على سيدنا محمد في الأولين و صل و سلم على سيدنا محمد في الآخرين و صل و سلم على سيدنا محمد في كل وقت و حين.. و على آله الأطهار, و أصحابه الأخيار , و أتباعه بإحسان إلى يوم الدين.

Wahai sekalian muslimin, kelompok pendusta dan nista ini telah melakukan penipuan terhadap Allah!

((Adakah kalian sanggup membunuh seorang lelaki yang hanya mengatakan Tuhanku ialah Allah))!

Rasulullah ﷺ telah meninggalkan kita di atas jalan yang jelas! Dan baginda telah mengharamkan ke atas kita perbuatan dusta..

Maka jikalau muncul kelompok yang siang malamnya melakukan pendustaan sehinggalah perbuatan dusta telah sebati dengan dirinya tidak mungkin sesekali untuk diri berpisah darinya, kemudian telah kami ajak mereka melakukan kema’rufan, juga telah kami larang mereka dari melakukan kemungkaran, kemudian mereka berpaling seperti mana berpalingnya Iblis di hadapan Tuhan yang tersebut dalam firman Allah:

إلا إبليس أبى و استكبر و كان من الكافرين
“Melainkan Iblis yang telah berpaling dan takabbur! Dan adalah dia dari kalangan mereka yang kafir (ingkar)”

Mereka telah mengingkari hadis yang sahih, dan realiti disekeliling mereka, serta pemikiran yang lurus. Mereka ingin untuk menjual agama mereka bagi mendapat dunia mereka. Meninggalkan agama mereka dan mengambil dunia mereka. Berdiri angkuh dan memperlecehkan kaum muslimin.

Adakah mereka boleh dijadikan kelompok mukmin yang dapat dijadikan ikutan buat kita?! Atau diikuti jejak langkah mereka?! Demi Allah tidak sesekali!!!

Alhamdulillah! Tidak mungkin satu-satu jiwa akan mati melainkan dengan izin tuhannya.

Aku telah panjatkan doa berkali-kali – dikala aku remaja – dihadapan Ka’bah yang mulia supaya aku mati sebagai seorang syahid!!

Namun, Allah melakukan sesuatu apa yang Dia kehendaki.
Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, bahawa golongan hina dina ini sendiri telah menuliskan bagi diri mereka pengakhiran terakhir!

Berdoalah kepada Tuhan kalian..
*****
الحمد لله و الصلاة و السلام على سيدنا رسول الله صلى الله عليه و سلم, صلاة دائمة بدوامه سبحانه, باقية ببقائه جل و علا , صلاة ترضيه و ترضينا و يرضى الله بها عنا.
و أشهد أن لا إله إلا الله و حده صدق وعده و بصر عبده.
و أشهد ان سيدنا محمدا عبده و رسوله.
Wahai sekalian hamba Allah… sandarkanlah diri kalian pada Allah…!! Jadikanlah sekalian hati kalian berpaut tunduk kepada Allah…!!

Ingatlah Allah dalam sekalian hal, tiada sesuatu bagi kita melainkan Dia, tiada yang kita sembah melainkan hanya kepadaNya.

Perbuatan keanak-anakan ini akan kembali akibatnya kepada mereka.. akibatnya akan kembali kepada mereka!

Ya Allah! Lapangkanlah dada kami, ampunkanlah dosa kami, tutupkanlah keaiban dan dosa kami..

Ya Allah! Sesungguhnya kami serahkan kepadamu untuk kau hancurkan mereka! Dan kami berlindung denganMu dari segala kejahatan mereka.

Ya Allah Tuhan Sekalian Alam! Bantulah kami untuk mendirikan solat, menunaikan zakat, mengajak kepada kebaikan dan mengingkari kemungkaran.

Rahmatilah kami! Jangan sesekali mengazab kami! Rahmatilah juga mereka yang hidup dikalangan kami serta yang mati. Yang hadir dan yang ghaib..

Ya Tuhan sekalian alam! Ya Allah! Kabulkan doa kami, sembuhkan penyakit kami, rahmatilah mereka yang telah pergi dari kalangan kami, kurniakanlah kepada kami permintaan kami, Ya Allah.
Ya Allah, sinarkanlah hati kami, ampunkalah dosa kami, dan tutupikan keaiban kami..

Ya Allah Tuhan sekalian alam himpunkanlah kami atas kebenaran di dunia dan akhirat.
و صل الله على سيدنا محمد و آله و صحبه و سلم.

أقم الصلاة (( إن الصلاة تنهى عن الفحشاء و المنكر و لذكر الله أكبر و الله يعلم ما تصنعون ))

Terjemahan:
Akademi Pemikiran Turath Al Mustanir "


Para jemaah yang makin tenang mendengar khutbah beliau penuh perhatian. 

"Tidak mungkin satu-satu jiwa akan mati melainkan dengan izin Tuhannya. 

Aku telah panjatkan doa berkali-kali dikala aku remaja dihadapan Ka’bah yang mulia supaya aku mati sebagai seorang syahid!!" kata syaikh penuh semangat.

Keadaan menjadi syahdu. Kami semua sebak. Ramai yang menangis sambil mendoakan moga Allah sentiasa menjaga syaikh.

Ketika syaikh sebagai khatib menyuruh kami berdoa antara dua khutbah, kami semua mendoakan untuk syaikh. Ya Allah, jagalah syaikh..Ya Robb, lindungi syaikh!! Sudah tidak terfikir doa-doa lain. Yang kami fikirkan hanyalah keselamatan syaikhuna al-Imam..

Setelah solat Jumaat, kami semua diarahkan untuk keluar. Keadaan sudah selamat dan terkawal kerana kelihatan kereta-kereta polis dan tentera berderet di sekeliling masjid. Aku terlihat seorang anggota SWAT mesir berbadan besar yang bersenjata lengkap di luar masjid. 

Kami pulang dengan selamat sambil menghantar Syaikh Ahmad al-Hajin ke rumahnya. Ketika di dalam kereta, beliau berpesan pada kami untuk membaca Hasbunallah wani'mal wakil sebanyak 450 kali, dengan niat moga Allah menjaga Syaikh Ali Jum'ah. 

Jantung masih berdegup laju. Minda masih tak keruan. Suara tembakan-tembakan tadi masih terngiang-ngiang di kepala. Peristiwa ini sangat membekas di jiwa yang tidak akan dilupakan selamanya..

Aku baru merasai suasana tersebut beberapa minit. Terfikir bagaimanakah saudara-saudara kita di Syiria dan Palastin yang menghadapi suasana ngeri tersebut setiap hari dan setiap detik. Allah. Moga Allah rahmati, lindungi dan amankan mereka, al-Imam Syaikh Ali Jum'ah, para ulama, kita semua dan seluruh muslimin dan muslimat dari segala fitnah, kejahatan dan keburukan... Ya robb.. Bijaahil Amin, Amin....

(Mengikut laporan, sebanyak 53 das tembakan dilepaskan dan tiada satu pun mengenai syaikh, semua selamat dan hanya seorang saja yang tercedera iaitu pengawal peribadi syaikh Ali. Menurut Syaikh Ahmad al Hajin, kejadian ini merupakan penzahiran karamah fadhilatu al Imam Ali Jum'ah hafizahullah. Bayangkan tembakan 4 orang jarak dekat dengan AK-47 semuanya boleh tersasar! Sedangkan Syaikh tidak mempunyai apa-apa senjata dan perisai. Hanya Allah sebaik-baik pelindung syaikh dan Allah menanam rasa gentar dan takut ke dalam jiwa khawarij anjing neraka tersebut sehingga lari lintang pukang apabila mereka gagal menembak mengenai syaikh. Hairan bagaimana keajaiban tidak masuk akal tersebut berlaku.)
-Masjid Fadhil, 6th Oktober, 5 Ogos 2016 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan