Selasa, 12 Jun 2012

Al-Quran Penjana Transformasi Ummah.

بسم الله الرحمن الرحيم

AL-QURAN PENJANA TRANSFORMASI UMMAH.
وَأَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ الْكِتَابِ وَمُهَيْمِنًا عَلَيْهِ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ عَمَّا جَاءَكَ مِنَ الْحَقِّ لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنْكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلَكِنْ لِيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُمْ فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ إِلَى اللَّهِ مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًا فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ{48}
Ayat 48 dari surah Al-Maidah,maksudnya:
“ Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu) dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing) dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya”.{48}
Berdasarkan ayat Al-Quran yang dibacakan sebentar tadi,tajuk pidato yang akan saya sampaikan berbunyi “Al-Quran Penjana Transformasi Ummah”.
Terlebih dahulu sebelum saya meneruskan pidato saya, ada baiknya kita fahami dahulu definisi satu persatu perkataan tajuk pidato ini.
Sidang pendengar sekalian,
            Al-Quran ialah kitab suci yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad untuk menjadi panduan hidup manusia.
            Penjana boleh kita ertikan dengan penggerak atau sesuatu yang menghasilkan.
Transformasi ialah perubahan.
Ummah ialah dari perkataan Arab bermaksud umat dan diertikan di dalam Kamus Dewan dengan empat pengertian.1-Penganut sesuatu agama.2-Seluruh rakyat.3-Segolongan manusia.4-Seluruh bangsa manusia.
            Secara umumnya definisi tajuk pidato yang akan saya sampaikan ini ialah Al-Quran  sebagai  modul penggerak atau agen yang  menghasilkan perubahan terhadap masyarakat.Persoalannya ialah,apakah bentuk perubahan yang dimaksudkan atau yang dikehendaki?
Sidang pendengar yang dihormati sekalian,
            Bagi menjawab persoalan tersebut,kita boleh melihat perubahan tersebut dari dua sudut pandangan.Pertama,perubahan dari kekufuran kepada keIslaman.Sejarah membuktikan bahawa kehebatan penyair-penyair arab jahiliah dahulu kalah dengan mukjizat Al-Quran dan masyarakat ketika itu memeluk Islam kerana kebenaran yang disampaikan dan pertolongan Allah Ta’ala seperti yang tersebut dalam surah An-nasr ayat 1 dan 2:
إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ{1}وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا{2}
Maksudnya:
“ Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah){1} Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai”.{2}
            Mungkin ada yang menyatakan bahawa zaman tersebut ketika baginda Nabi masih hidup.Adakah orang kafir yang masuk Islam pada zaman sekarang dengan membaca Al-Quran?Ya,saya katakan ada.Banyak kisah yang berlaku di dunia barat,orang-orang bukan Muslim yang mengkaji Al-Quran akhirnya memeluk Islam.Saya datangkan dua contoh di sini,contoh pertama kata-kata seorang wartawan Inggeris bernama Ruke Aideen Smith tentang Islam dan Al-Quran:
“Saya fikir apa yang memikat saya terhadap agama Islam terutamanya ialah kenyataan bahawa, sebagai seorang lelaki Barat, kita memberi banyak tekanan kepada akal. Perkara yang menyentuh saya apabila membaca Al-Quran, terutamanya pada kali kedua, ialah bagaimana munasabahnya Kitab ini.  Saya sentiasa gelihati bila orang meminta diberikan bukti-bukti ajaib yang tertentu mengenai agama ini dan Al-Quran.
Membaca Al-Quran pada kali kedua, kebenaran yang terkandung di dalamnya hampir terbukti sendiri.  Menurut hemat saya,sesiapa sahaja yang mengamalkan fikiran yang wajar dan kita di utara England berbangga kerana bersifat praktikal dan bersikap wajar,sesiapa sahaja yang membaca Al-Quran dengan menggunakan fikiran tidak dapat menafikan bahawa Al-Quran sepenuhnya selaras dengan akal, sepenuhnya selaras dengan fikiran yang wajar.  Sesiapa sahaja manusia yang praktikal dan masih mahu menjadi sebahagian daripada dunia ini dan tidak tinggal di dalam gua, bertafakur atau melakukan yoga atau lari daripada dunia ini, akan mendapati bahawa'sistem kepercayaan yang terbaik' baginya ialah dalam agama yang digariskan dalam kitab suci Al-Quran.
Perkara ini yang paling mengkagumkan saya. Ia menentukan dengan jelas pembahagian di antara Pencipta dengan diri kita, yang dicipta. lni fakta pertama.  Banyak agama nampaknya tidak mempunyai panduan ini.  AI-Ouran menentukan dengan jelas pembahagian di antara Tuhan dan ciptaannya.  Di samping menentukan pembahagian tersebut, ia juga menyediakan cara iaitu dengan membaca al-Quran, seseorang itu dapat menjalin hubungan yang akrab dengan Tuhan”.

            Contoh kedua,kata-kata Saudara Selsiani:

“Dalam kitab ini, (al-Quran) saya menemui kebahagiaan yang tidak terperi dan ia menjawab banyak persoalan yang saya hadapi. la benar-benar mengubah hidup saya.  Ada tujuan dan makna. la menjadikan saya amat gembira dan kegembiraan ini memenuhi hati saya.  Saya bernasib baik kerana menjadi seorang Muslim. “
Kedua,perubahan ke arah kebaikan atau penambahbaikan.Sedia maklum bahawa majoriti masyarakat Malaysia beragama Islam.Kemampuan rakyat Malaysia mengekalkan keharmonian dalam kehidupan berbilang kaum dan agama menjadikan Malaysia sebagai Negara Islam contoh kepada dunia.Konsep Wasatiah atau kesederhanaan yang diamalkan oleh masyarakat Islam Malaysia yang bereteraskan Al-Quran seterusnya menjadi teladan kepada masyarakat lain bertepatan dengan kehendak Al-Quran,potongan dari ayat 148,surah Al-Baqarah:
وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا  {143}……………… الآية
Maksudnya:
Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. ………{143}
            Mari kita renungi bersama ayat yang akan saya bacakan ini:
وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ{77}
Ayat 77,surah Al-Qasas yang bermaksud:
Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.{77}
Ayat yang mulia ini mengandungi lima ungkapan yang berupa panduan yang bijaksana dan pengertian-pengertian yang mulia yang membuktikan Al-Qur’an ini adalah dari Allah yang sentiasa memberi petunjuk ke arah yang lebih sempurna. Setiap ungkapan dalam ayat ini memandu kita ke arah mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat
Apabila seseorang lelaki atau wanita Islam hidup di dunia ini dengan berlandaskan pengertian tersebut dan menurut arahan yang murni ini, sudah tentu ia akan bahagia di dunia dan bahagia di akhirat kerana nikmat-nikmat Allah kepada manusia itu banyak sekali. Sekiranya manusia menggunakan nikmat-nikmat tadi untuk meningkatkan ketaatan kepada Allah dalam lingkungan suruhan dan perintahNya sudah pasti ia akan hidup dalam jalinan hubungan yang baik dengan penciptanya dan akan hidup dalam keadaan aman damai.
Justeru, kita dapati Rasulullah pernah menjelaskan kepada kita bahawa manusia dalam menghayati nikmat Allah itu terbahagi kepada empat kumpulan dalam sabdanya yang bermaksud:
'Dunia ini dimiliki oleh empat kumpulan manusia, Pertama: hamba yang telah dianugerah harta dan ilmu lalu ia bertaqwa kepada Tuhannya dengan menjaga hubungan silaturahim dan mengenali tanggungjawabnya kepada Allah. Orang ini adalah yang terbaik. Kedua: hamba yang dianugerahkan ilmu tanpa harta tetapi ia mempunyai niat yang baik, di mana katanya: 'Jika aku mempunyai harta nescaya aku akan lakukan (kebaikan) sepertimana dilakukan oleh si fulan itu'. Maka dengan niatnya itu, ia akan diberi pahala sama seperti orang yang berharta. Ketiga: seorang hamba yang dianugerahkan harta tanpa ilmu maka ia akan menyalahgunakan hartanya, tidak bertaqwa kepada Tuhannya, tidak memelihara hubungan silaturahim dan tidak mengira hak-hak Allah kepadanya. Ini adalah kumpulan yang paling buruk. Keempat: seorang hamba yang tidak dianugerahkan harta ataupun ilmu dan ia sentiasa berniat buruk kerana katanya, 'Jika aku mempunyai harta nescaya aku lakukan (keburukan) sepertimana yang telah dilakukan si fulan. Maka dengan niatnya itu ia turut menanggung dosa sepertimana si fulan itu juga'.

Dalam hadis yang ringkas tetapi begitu bermakna sekali, Rasulullah telah membahagikan manusia kepada empat kumpulan; dua kumpulan mendapat keuntungan manakala dua kumpulan lagi mendapat kerugian. Dua kumpulan yang berjaya ialah hamba yang dianugerahkan harta bersama ilmu dan hamba yang dianugerahkan ilmu tanpa harta. Dan dua kumpulan yang kerugian pula ialah hamba yang dianugerahkan harta tanpa ilmu dan yang tidak dianugerahkan kedua-duanya sekali. Maka ayat al-Qur’an yang mulia tadi datang untuk memandu kita supaya menuntut keredhaan Allah dengan ilmu pengetahuan. Mereka yang menggunakan ilmu pengetahuannya untuk kebaikan dan kebajikan kepada manusia dan mengguna nikmat-nikmat Allah pada tempatnya maka mereka ini adalah termasuk dalam golongan yang diredhai Allah.Inilah yang dikehendaki dalam firman Allah tadi.
Sidang pendengar sekalian,
            Jelas sudah kepada kita bahawa Al-Quran merupakan agen perubahan kepada umat manusia amnya,bukan tertentu kepada kita yang Islam sahaja,bahkan kepada non Muslim juga sekiranya kita umat Islam betul-betul beramal dengan ajaran Al-Quran akan menjadi contoh kepada non Muslim.
            Mengakhiri pidato saya ini,saya menyeru dan berwasiat kepada diri saya sendiri dan sekalian yang mendengar agar jadikanlah Al-Quran sebagai penjana transformasi kehidupan kita dengan mengamalkan ajaran-ajarannya dengan bersungguh bukan menjadikan Al-Quran sebagai kitab pelengkap hiasan dalam almari.
Bacalah Al-Quran
Ambillah pedoman
Hidupkan aman
Maju kehadapan

            Sekian,terima kasih.

           


Tiada ulasan:

Catat Ulasan