Isnin, 28 Januari 2013

Kepincangan Tauhid 3.



بسم الله الرحمن الرحيم
            الحمد لله رب العالمين , و الصلاة و السلام على سيدنا محمد و على آله و صحبه و من تبعهم بإحسان إلى يوم الدين.

PENDAHULUAN.

Pembahagian tauhid kepada tiga, Tauhid Rububiah, Tauhid Uluhiah, dan Tauhid Asma' & Sifat tidak diketahui sebelum munculnya Ibnu Taimiah. Beliau adalah individu yang bertanggungjawab dalam membahagikan tauhid kepada tiga jenis tauhid ini. Sebelum kita membincangkan tentang kepincangan tauhid bidaah ini dengan lebih jauh, sebaiknya kita melihat dahulu definisi ringkas yang diberikan kepada ketiga-tiga tauhid ini.

DEFINISI.

Tauhid Rububiah didefinisikan dengan makna mengesakan Allah pada ciptaan, pemerintahan, takdir, pentadbiran dan perbuatanNya serta dalam memberikan suatu kesan.
Tauhid Uluhiah didefinisikan dengan makna mengesakan Allah dalam hal peribadatan tanpa mengambil seorang manusia pun bersama Allah sebagai sembahan.
Tauhid Asma’ dan Sifat pula didefinisikan dengan makna mengesakan Allah pada apa yang dinamakan dan disifatkan dengan diriNya, sebagaimana yang terdapat di dalam kitabNya atau yang didapati daripada lidah nabiNya yang telah menetapkan dengan apa yang telah ditetapkan bagi diriNya.
Melalui tauhid tiga serangkai ini didapati perekanya, Ibnu Taimiah dan pengikut-pengikutnya telah menyatakan bahawa:
1. Orang musyrik atau orang yang menyekutukan Allah adalah ahli tauhid (orang yang mengesakan Allah) dengan Tauhid Rububiah.
2. Tauhid orang musyrik ini samalah dengan tauhid sebahagian orang Islam yang bertawassul, beristighathah dan bertabarruk dengan para nabi dan orang-orang soleh.
Ini bermaksud orang Islam yang bertawassul (memohon kepada Allah melalui perantaraan), beristighathah (menyeru minta tolong) dan bertabarruk (ambil berkat) samalah dengan orang musyrik kerana tidak memiliki Tauhid Uluhiah kerana dianggap menyembah apa yang ditawassulkan.

PERSOALAN & JAWAPAN.

Dalam membincangkan permasalahan ini, maka perkara utama yang perlu dipersoalkan dan dibincangkan ialah adakah pembahagian ini telah dinaskan oleh syarak dan terdapat dalil-dalil yang menunjukkan ke atasnya? Adakah pembahagian ini merupakan perkara yang disyariatkan ataupun perkara baru yang dicipta (bidaah)?
Persoalan ini mengandungi beberapa jawapan, antaranya :
Jawapan Pertama.
Ibnu Taimiah yang merupakan pereka pembahagian tauhid ini mendakwa dirinya bermazhab Hanbali.
Namun Imam Ahmad Ibnu Hanbal sendiri, yang dikatakan menjadi tempat sandaran bagi orang orang yang melakukan pembahagian tauhid bidaah ini, tidak pernah menyatakan bahawa tauhid itu mempunyai beberapa bahagian ; Tauhid Rububiah, Tauhid Uluhiah dan Tauhid Asma’ & Sifat.
 Beliau juga tidak pernah menyatakan bahawa sesiapa yang tidak mengetahui Tauhid Uluhiah, tidak dikira makrifatnya tentang Tauhid Rububiah kerana Tauhid Rububiah ini telah diketahui oleh orang musyrikin.
Sesungguhnya akidah beliau telah disusun di dalam kitab-kitab karangan pengikutnya. Misalnya, di dalam kitab biografinya yang ditulis oleh Ibnu Jauzi dan lain-lainnya, tidak terdapat langsung pembahagian tauhid rekaan ini. Maka dari manakah Ibnu Taimiah mengambil tauhid ini?
Jawapan Kedua
Tidak berkata walau seorang daripada sahabat sahabat Nabi : “Sesungguhnya tauhid itu ialah Tauhid Rububiah dan Tauhid Uluhiah, dan sekiranya seseorang tidak mengetahui tentang Tauhid Uluhiah, maka tidak dikira makrifahnya tentang Tauhid Rububiah kerana Tauhid Rububiah ini telah diketahui oleh orang musyrikin”.
Justeru, saya mencabar kepada setiap orang yang mempunyai ilmu yang mendalam, supaya menaqalkan kepada saya pembahagian yang diada-adakan ini daripada sahabat-sahabat Nabi, sekalipun dengan mengemukakan satu riwayat yang lemah.
Jawapan Ketiga
Tidak terdapat dalam sunnah Nabi yang luas dan menjadi penjelas kepada kitab Allah, sama ada dalam kitab kitab hadis sahih, sunan sunan, musnad musnad, dan mu’jam mu’jam yang menyebut bahawa Nabi pernah bersabda dan mengajar sahabat sahabatNya, bahawa tauhid itu terbahagi kepada Tauhid Uluhiah dan juga Rububiah yang telah diketahui oleh orang musyrik.
Sekiranya berkumpul jin dan manusia bersama-sama mereka untuk menetapkan bahawa pembahagian ini adalah datang daripada Nabi dengan isnadnya, sekalipun dengan isnad yang lemah, nescaya mereka tidak akan mampu untuk mendatangkannya walaupun dengan satu jalan.
Jawapan Keempat
Telah tercatat dalam sunnah yang banyak bahawa dalam dakwah Rasulullah menyeru manusia kepada Allah Ta’ala , Baginda menyeru mereka ke arah penyaksian dua kalimah syahadah : Tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah. Baginda juga mengajak mereka meninggalkan penyembahan berhala.
Di antara hadis yang paling masyhur menyebut tentang perkara ini ialah hadis Muaz Ibnu Jabal. Ketika beliau diutuskan oleh Nabi ke Yaman, Baginda bersabda kepadanya : Serulah mereka kepada penyaksian “Bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah pesuruh Allah”. Sekiranya mereka mentaatinya, maka hendaklah kamu khabarkan kepada mereka bahawa diwajibkan ke atas mereka solat lima waktu sehari semalam. (riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya)
Diriwayatkan oleh pengarang kitab Sunan dan Ibnu Hibban, bahawa seorang arab badawi memberitahu Rasulullah bahawa dia telah melihat anak bulan. Lantas Rasulullah memerintahkan supaya berpuasa dan Baginda tidak menyoalnya melainkan tentang pengakuannya terhadap kalimah syahadah. (diriwayatkan oleh Abu Daud, an-Nasaei, at-Tirmizi dan lain-lain)
Sekiranya tauhid itu terbahagi kepada tiga bahagian sebagaimana yang mereka perkatakan, maka sudah tentulah Nabi menyeru sekelian manusia kepada Tauhid Uluhiah yang tidak mereka ketahui dan bukannya Tauhid Rububiah kerana mereka telah mengetahuinya.
Demikian juga, perlulah Baginda bersabda kepada Muaz, “Serulah mereka kepada Tauhid Uluhiah,” dan Baginda bertanya terlebih dahulu kepada orang Arab Badawi yang melihat anak bulan Ramadan, “Adakah kamu mengetahui tentang Tauhid Uluhiah dan perbezaan di antara tauhid ini dengan Tauhid Rububiah, dan adakah kamu mengetahui Tauhid Asma’ dan Sifat?”
Jawapan Kelima
Di dalam kitab Allah yang ternyata tidak dicemari dengan kebatilan, tidak membezakan di antara Tauhid Uluhiah dan Tauhid Rububiah.
Begitu juga tidak dikatakan kepada mereka: Sesiapa yang tidak mengetahui Tauhid Uluhiah tidak dikira imannya, bahkan dia adalah lebih kafir daripada Firaun dan Haman. Tetapi Allah Ta’ala memerintahkan dengan kalimah tauhid secara mutlak sebagaimana firman Allah Ta’ala kepada NabiNya dalam surah Muhammad ayat 19:
{فَٱعْلَمْ أَنَّهُ لاَ إِلَـٰهَ إِلاَّ ٱللَّهُ }
(Ketahuilah, bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah…)
Sekiranya kamu kehendaki, maka bacalah surah al-Ikhlas yang menyamai sepertiga al-Quran. Adakah kamu mendapati di dalamnya ayat yang membezakan di antara uluhiah dan rububiah sebagaimana yang mereka sangkakan?
Jawapan Keenam
Melalui pembahagian yang direka ini, memberi kefahaman kepada kita, seolah-olah Allah masih belum lagi menyempurnakan agamaNya. Kemudian, datang seseorang yang kononnya untuk menyempurnakan agama Allah yang masih lagi mempunyai kekurangan dan menjelaskan tentang tauhid dan pembahagiannya kepada manusia pada kurun ke-7 Hijrah.
Pada kurun ini, lahirnya pembahagian Tauhid Uluhiah, Rububiah, Asma’ & Sifat yang dicetuskan oleh Ibnu Taimiah (661- 724 H). Seolah-olah semua umat tidak mengetahui tentang apa yang diperkenalkan oleh pemuka-pemuka pembahagian tauhid rekaan ini.
Selepas kita mengetahui jawapan daripada soalan pertama ini, yakinlah kita dengan sempurna bahawa pembahagian tauhid ini tidak mempunyai sumber yang sah daripada al-Quran dan as-Sunnah.

Soalan berikutnya ialah adakah orang kafir ahli tauhid?
Ada yang berpendapat  menyatakan bahawa orang kafir dan musyrik sejak zaman berzaman adalah ahli tauhid dengan Tauhid Rububiah dan para Rasul ‘alaihimus-salam tidak diutuskan melainkan dengan Tauhid Uluhiah berdalilkan dengan firman Allah Ta’ala :
{وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ مَّنْ خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلأَرْضَ لَيَقُولُنَّ ٱللَّهَ }
(Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah"… (Luqman:25)
Jawabnya :
            Hakikatnya, pendapat ini merupakan suatu perkara yang telah menutup pintu kebenaran dan hakikat, menyalahi akal dan syarak dan mendustai penjelasan daripada nas-nas Al-Quran dan Al-Hadis.
Perkara ini juga merupakan perkara bidaah yang sesat dan tidak terdapat pada umat salaf yang terawal. Tauhid seperti ini meruntuhkan akidah dan bersifat saling bercanggah.
Dalam satu masa, mereka telah menjadikan sekelompok orang Islam sebagai ahli tauhid dan bukan ahli tauhid. Ini suatu perkara yang pelik.
Sedangkan, realitinya ialah seseorang itu mesti berada di salah satu kedudukan, iaitu sama ada berada dalam kedudukan ahli tauhid atau pun musyrik. Tidak boleh seseorang itu berada di antara dua keadaan (tauhid dan kufur).
Kepercayaan mereka juga tentang ketauhidan orang musyrik dengan Tauhid Rububiah tidaklah benar. Bahkan dakwaan ini adalah suatu penipuan yang ditolak sama sekali oleh akal dan naqal.
Dari sudut aqal
Sekiranya orang-orang musyrik termasuk di dalam golongan ahli tauhid rububiah (sebagaimana yang mereka percayai), bermakna mereka ini berpegang dengan pegangan/kepercayaan yang jazam (teguh dan tidak berbelah bahagi).
Dengan iktikad ini, sudah pasti mereka tidak akan meragui bahawa Allah itu Esa pada ciptaan, kekuasaan, pentadbiran, takdir dan perbuatanNya serta dalam mendatangkan suatu kesan sama ada manfaat atau pun mudarat, yang kesemuanya ini adalah komponen bagi Tauhid Rububiah.
Jika inilah keadaannya, bolehkah diterima akal, dengan pegangan yang sedemikian mereka boleh pula mengambil tuhan selain Allah untuk disembah, sedangkan tuhan yang lain itu tidak berkuasa mendatangkan sebarang manfaat atau mudarat kepada mereka?
Orang-orang musyrik pada setiap zaman dan tempat menyembah pelbagai sembahan selain Allah. Mereka mempercayai bahawa sembahan-sembahan mereka itu boleh melakukan sesuatu perbuatan, mendatangkan kesan, manfaat dan mudarat.
Boleh mendekatkan mereka kepada Allah, boleh mendatangkan sesuatu kebaikan bagi setiap orang yang datang meminta pertolongan kepada tuhan-tuhan mereka dan boleh mendatangkan mudarat kepada setiap orang yang berpaling daripadanya.
Semua kepercayaan ini menafikan Tauhid Rububiah.
Dari sudut naqal
Nas-nas syariat telah menetapkan secara jelas, terang dan qatie (pasti) bahawa orang-orang musyrik pada setiap masa dan tempat tidak akan mampu bertauhid dengan Tauhid Rububiah semata-mata dan menafikan Uluhiah, tetapi mereka semua adalah orang-orang musyrik pada uluhiah dan rububiah sekali gus kerana kedua-duanya adalah perkara yang satu.

Dalil-dalilnya:
1.         Firman Allah Ta’ala dalam menceritakan tentang orang-orang musyrik ketika ditanya tentang rahsia sebenar mereka menyembah berhala selain Allah :
{ …مَا نَعْبُدُهُمْ إِلاَّ لِيُقَرِّبُونَآ إِلَى ٱللَّهِ زُلْفَىۤ… }
(…Tidaklah kami (orang musyrik) menyembah atau memuja mereka (sembahan-sembahan mereka), melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah dengan sehampir-hampirnya … (az-Zumar: 3)
Ayat ini jelas menunjukkan, orang-orang kafir berpegang/percaya bahawa patung-patung mereka mempunyai kekuasaan untuk memberikan hidayah kepada mereka dan mendekatkan diri mereka kepada Allah. Maksudnya sembahan mereka itu mampu memberi kesan dengan sendirinya.
Maka di manakah letaknya tauhid mereka bagi Tauhid Rububiah?!.
2.         Nabi Hud ‘Alaihis-salam ketika berdialog dengan orang musyrikin tentang patung-patung sembahan mereka dan ketika diterangkan kepada mereka bahawa sembahan mereka itu tidak berkuasa untuk mendatangkan sesuatu kepada mereka melainkan Allah, mereka berkata:
{ …إِن نَّقُولُ إِلاَّ ٱعْتَرَاكَ بَعْضُ آلِهَتِنَا بِسُوۤءٍ }
 (Kami hanya boleh berkata bahawa setengah daripada tuhan-tuhan kami telah mengenakanmu sesuatu penyakit gila (disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami itu… (Hud: 54)
Kepercayaan bahawa sembahan-sembahan mereka boleh mendatangkan kesan yang buruk, jelas menunjukkan bahawa orang musyrik mempercayai pada sembahan-sembahan mereka ada kekuasaan yang boleh melakukan sesuatu perbuatan dan mendatangkan kesan mudarat atau manfaat.
Ini menunjukkan bahawa orang musyrikin tidakpun mengesakan Allah pada rububiah tetapi menyekutukan Allah dengan tuhan-tuhan yang lain pada Tauhid Uluhiah. Iktikad mereka ini ternyata berbeza dengan apa yang dipercayai oleh pendokong bidaah pembahagian tauhid.
3.         Allah Ta’ala berfirman :
{أَلَمْ تَرَ إِلَى ٱلَّذِي حَآجَّ إِبْرَاهِيمَ فِي رَبِّهِ أَنْ آتَاهُ ٱللَّهُ ٱلْمُلْكَ إِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّيَ ٱلَّذِي يُحْيِـي وَيُمِيتُ قَالَ أَنَا أُحْيِـي وَأُمِيتُ }
(Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai tuhannya (Rabb) kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: Tuhanku (Rabbi) ialah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan. Ia (Namrud) menjawab: Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan... (al-Baqarah: 258)
Berdasarkan ayat di atas jelas dapat dilihat, Namrud telah mendakwa dirinya dengan perkara yang berkaitan tentang rububiah seperti mempunyai kerajaan, kekuasaan dan pemerintahan.
Dia juga mempercayai mempunyai keistimewaan rububiah yang boleh menghidupkan dan mematikan. Kemudian selepas itu, dia berdebat dengan Nabi Ibrahim ‘Alaihis-salam tentang Rabbnya (tuhan yang menjadikan) dan bukan tentang Ilahnya (tuhan yang disembah) sebagaimana penggunaan istilah dalam ayat tersebut.
Adakah selepas penjelasan ini, masih ada yang mendakwa: Sesungguhnya Namrud adalah ahli tauhid dengan Tauhid Rububiah dan Nabi Ibrahim ‘Alaihis-salam telah datang kepadanya untuk mengajak kepada Tauhid Uluhiah sahaja?
4.         Allah Ta’ala telah berfirman dalam menceritakan tentang Nabi Yusuf ‘Alaihis-salam yang mengajak sahabat-sahabat sepenjaranya kepada akidah tauhid yang suci :
{ يٰصَاحِبَيِ ٱلسِّجْنِ ءَأَرْبَابٌ مُّتَّفَرِّقُونَ خَيْرٌ أَمِ ٱللَّهُ ٱلْوَاحِدُ ٱلْقَهَّارُ }
Wahai sahabat sepenjaraku berdua! Memuja dan menyembah berbilang-bilang tuhan (Arbaab – jama’ kepada Rabb) yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa? (Yusuf: 39)
Marilah bersama kami memerhatikan perkataan Nabi Yusof ‘Alaihis-salam ketika mempersoalkan tentang Tuhan yang lebih baik disembah: “Adakah Tuhan-tuhan (Arbab) yang bercerai-berai. Beliau tidak berkata: “Tuhan-tuhan (Aalihah – jamak kepada Ilah).”
Adalah jelas bahawa penghuni penjara menyembah lebih daripada satu Rabb dan lebih daripada satu Ilah.
Adakah masih boleh diterima oleh akal yang sejahtera, jika dikatakan: Orang-orang musyrikin bertauhid dengan Tauhid Rububiah dan Nabi Yusuf datang kepada mereka dengan membawa Tauhid Uluhiah sahaja? Maha Suci Allah, ini adalah suatu pembohongan yang besar!.
5.         Allah Ta’ala berfirman menceritakan tentang Firaun yang berkata ketika menakut-nakutkan kaumnya agar mereka mentaatinya. Firaun berkata :
{ فَقَالَ أَنَاْ رَبُّكُمُ ٱلأَعْلَىٰ }
( Akulah tuhan kamu (Rabbukum) yang tertinggi. (an-Naazi’aat: 24)
Demikianlah dakwaan rububiah Firaun bagi dirinya dan dia cuba mengagamakan kaumnya dengan rububiah ini. Maka dari sini, tidakkah ada langsung sebesar zarah perasaan salah bagi mereka yang mendakwa bahawa Firaun dan kaumnya bertauhid dengan Tauhid Rububiah dan telah datang kepada mereka Musa Kalimullah ‘Alaihis-salam dengan Tauhid Uluhiah sahaja?

Di ketika yang lain, Firaun juga mendakwa uluhiah bagi dirinya ketika dia berkata :
{وَقَالَ فِرْعَوْنُ يٰأَيُّهَا ٱلْملأُ مَا عَلِمْتُ لَكُمْ مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرِي }
(Dan Firaun pula berkata : Wahai orang-orangku, aku tidak mengetahui adanya bagi kamu sebarang tuhan (ilah) selain daripadaku… (al-Qasas: 38)
Ini menunjukkan bahawa tidak ada perbezaan di antara rububiah dan uluhiah. Oleh kerana itu, sesiapa yang mendakwa dirinya dengan rububiah, maka dia telah menjadikan dirinya Ilah (sebagai tuhan yang patut disembah).
Sesiapa yang mendakwa dirinya dengan uluhiah pula, maka dia telah menjadikan dirinya sebagai Rabb (tuhan yang menciptakan, mentadbir dan sebagainya) bagi orang lain.
6.         Mayat-mayat yang berada di dalam kubur, masing-masing tidak ditanya tentang uluhiah dan tauhidnya, tetapi malaikat akan bertanya kepadanya: Man Rabbuka? (Siapakah rab (tuhan) kamu?”
Sekiranya tauhid itu seperti yang dipercayai oleh Ibnu Taimiah, yang mana semua manusia di sisinya beriktikad dengan tauhid rububiah, kenapakah soalan malaikat ini masih diperlukan dan bermanfaat?
Ini menunjukkan bahawa dakwaan Ibnu Taimiah adalah tidak benar dan palsu semata-mata.
Kesimpulannya, orang yang syirik pada uluhiahnya dikira sebagai syirik pada rububiahnya juga. Sesiapa yang syirik pada rububiah maka dia juga adalah syirik pada uluhiah.

PERINGATAN.

            Jelaslah kiranya dengan penjelasan yang lepas bahawa sememangnya terdapat kepincangan dalam pembahagian tauhid menurut Ibnu Taimiah. Di sini saya ingin nyatakan peringatan penting yang tidak dipedulikan oleh pendakwa-pendakwa yang kononnya bertauhid dengan tauhid salaf ini (hakikatnya bukan salaf tapi salah). Mereka ini berkiblatkan Ibnu Taimiah sedangkan beliau tidak ada kaitan dengannya kerana dinukilkan dalam kitab Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani yang berjudul اَلدُّرَرُ الْكَامِنَةُ yang menyatakan bahawa Ibnu Taimiah bertaubat dari segala pendapat-pendapatnya yang menyalahi ijma’ ulama’.
            Kenyatan bertaubatnya Ibnu Taimiah dari akidah sesat tersebut juga telah dinyatakan oleh seorang ulama sezaman dengan Ibnu Taimiah iaitu Imam asy-Syeikh Syihabuddin an-Nuwairy wafat 733H.
           

Saya nukilkan di sini beberapa keratan penting dari nas dan kenyataan tersebut:
1-



ووجد بخطه الذي عرف به قبل ذلك من الأمور المتعلقة باعتقاده أن الله تعالى يتكلم بصوت ، وأن الاستواء على حقيقته ، وغير ذلك مما هو مخالف لأهل الحق


Terjemahannya: “Dan para ulama telah mendapati tulisan yang telah ditulis oleh Ibnu Taimiah yang telahpun diakui akannya sebelum itu (akidah salah Ibnu Taimiah sebelum bertaubat) berkaitan dengan akidahnya bahawa Allah Ta’ala berkata-kata dengan suara, dan Allah ber”istawa” dengan erti yang hakiki (iaitu duduk) dan selain itu yang bertentangan dengan Ahl Haq (kebenaran)”.
2-

قال بحضرة شهود : ( أنا أشعري ) ورفع كتاب الأشعرية على رأسه


Terjemahannya: ” Telah berkata Ibnu Taimiah dengan kehadiran saksi para ulama: “Saya golongan Asy’ary” dan mengangkat kitab Al-Asy’ariyah ke atas kepalanya ( mengakuinya)”. 


           
PENUTUP.

Di akhir penulisan ini, sekali lagi ingin saya tegaskan bahawa Ibnu Taimiah telah menarik segala kenyataannya yang menyalahi kebenaran antaranya ialah pembahagian tauhid kepada tiga ini. Jadi kepada siapakah sebenarnya pendokong-pendokong tauhid ini sandarkan?
  Dengan pemahaman tauhid ini jugalah mudah berlakunya kafir-mengkafir di kalangan umat Islam sepertimana yang berlaku di Negara kita. Kesannya bukan hanya di antara Sunni dan Wahabi, bahkan menular di antara parti-parti politik sehinggakan ada yang sanggup mengkafirkan saudara seIslam semata-mata kerana berbeza pahaman politik.
 Bersama-samalah kita berdoa dan berusaha semampunya dalam menjaga kesucian agama kita dari segala kekotoran yang didatangkan oleh musuh-musuh Islam.
و الله أعلم.

13 ulasan:

  1. Terima kasih atas keterangan yang cukup padat....sedih melihat keadaan sekarang....moga Allah azza wajalla menunjukan kebenaran di bumi yang semantara ini....

    BalasPadam
  2. Jazakallahul khair. Penjelasan yg ringkas tapi mudah difahami.

    BalasPadam
  3. Jazaakallah katheera Ust..maklumat yg mantap bagi menolak syubhah golongan mujassimah..saya Zul 0134129497

    BalasPadam
  4. Saya masih mencari maklumat utk menolak fahaman menyeleweng golongan ini..

    BalasPadam
  5. tuan,
    boleh tuan bagi rujukan Quran atau hadis yang menyebut secara jelas perkataan sifat 13 atau sifat 20 yang dianjurkan golongan Al-Asy’ariyah?

    BalasPadam
  6. Rabbubiah atau ilahiah sama je..Yang tak boleh ruhbaniah ( kepercayaan pendeta/paderi/patung )

    BalasPadam
  7. Sifat 20, pun tidak ada dalam AlQuran dan Hadith Nabi, dan tiada dalam mana2 mazhab yang empat. Kalau guna cara hujah ustaz, aqidah AshAriyyah atau Maturidiah itu juga tak betul?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kau tauhid 3 serangkai merupakan ciptaan iibnu taimiah yg dikatakan bidah.samajuga dgn sigat 20 yg direka oleh abu hasan . Ke2 tak wujud pada zaman nabi dan para sahabat dan ke2 adalah badah. Jadi wahai ustaz yg bijak pandai tauhid apakah yg betul yg boleh dipelajari. Wassalam.

      Padam
  8. Jazaakallah ust di atas tulisan ust yg bermanfaat kpd generasi muslim mutakhir utk menyedarkan mereka dpd fahaman yg menyeleweng dpd akidah ahli sunah wal jamaah.

    BalasPadam
  9. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  10. Anda yang menulis panjang lebar ni agaknya lupa bahawa aqidah tiga serangkai ini adalah sama macam aqidah sifat 20 ia itu SEBAGAI KAEDAH MEMGENAL ALLAH. Jangan bodoh sangat memahami isu. Nampak kaefah tiga serangkai menepati surah Alfatehah dalam Al Quran, manakala sifat 20 hanyalah rekaan yang menunjukkan Allah tak wujud pun....wallahualam

    BalasPadam