Rabu, 23 Januari 2013

Perkara menyalahi undang-undang bukan satu hak.

بسم الله الرحمن الرحيم
 
Tulisan dan ulasan Dr. Shamrahayu A Aziz di BH yang bernas.Itulah bezanya mereka yang menggunakan akal dan yang tidak.

Pengharaman sesuatu perbuatan mesti dihormati

Kita maklum dan kita menerima fakta bahawa demokrasi, hak asasi dan kedaulatan undang-undang begitu sinonim dengan sistem pentadbiran dan gaya hidup di serata dunia.
Bagaimanapun, perkara yang perlu kita ambil perhatian ialah demokrasi, hak asasi dan konsep kedaulatan undang-undang itu mempunyai pelbagai warna. Walaupun ketiga-tiga perkara ini sejagat dalam konotasi umum, dalam penggunaannya pada alam nyata, ia tidak sepenuhnya sejagat.


Penulis tidak mahu menggunakan hujah falsafah membincangkan perkara ini. Tujuannya hanya melontarkan hakikat penggunaan tiga konsep yang penting itu.

Dalam demokrasi, kita menggunakan prinsipnya yang jelas dengan adanya pilihan raya. Dalam pilihan raya, kita tumpukan pembabitan rakyat dalam pemilihan pemimpin. Bagi memenuhi elemen kesejagatan dalam proses pilihan raya ini, pasti kita mempunyai garis panduan tertentu.

Kedudukan sejarah dan budaya tidaklah begitu penting di sini. Apa yang diutamakan ialah ketelusan sepenuhnya dalam pengendalian pilihan raya serta ketulusan mereka yang bertanding pada pilihan raya itu.

Konsep demokrasi itu tidak terhenti kepada pilihan raya. Dua perkara yang seterusnya lahir daripada demokrasi ialah konsep hak asasi dan kedaulatan undang-undang. Hubungan ketiga-tiga ini sangat rapat dan mungkin ada ketikanya menjadi sinonim. Pemisahan satu daripadanya tidak boleh berlaku kerana akan mencetuskan kecelaruan.
Hasil daripada hubungan yang rapat itu, kita dapati segala perincian mengenai hak asasi dan kedaulatan undang-undang itu menjadikan konsep demokrasi berbeza dalam amalannya. Hak asasi terutamanya, bergantung kepada beberapa perkara. Antara lain, yang paling utama ialah sejarah dan nilai.

Hormati undang-undang

Hak asasi yang sentiasa menjadi perhatian, antara lain, kebebasan beragama dan kebebasan bersuara. Benar, kebebasan menjadi tonggak kepada sistem demokrasi, tetapi kebebasan dan sekatan ke atasnya amat bergantung kepada sejarah dan keadaan sosial masyarakat. Lebih daripada itu, kebebasan yang diamalkan hendaklah tertakluk kepada undang-undang yang ada.

Jika kita berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang, kita hendaklah menunjukkan sifat menghormati undang-undang. Dalam perkembangan semasa, kita melihatkan perkembangan berkaitan kebebasan bersuara yang digabungkan juga dengan kebebasan beragama. Penggunaan kalimah Allah adalah antara contohnya. Kita juga dikejutkan, sekiranya benar seperti laporan media massa, pengagihan Bible dalam kalangan pelajar Melayu.

Dalam dua contoh yang penulis sebut di atas, sekiranya kita hanya berpaksikan kepada konsep demokrasi yang satu warna yang dikatakan sejagat itu, maka hasilnya kita tidak menghormati undang-undang. Jika kita hanya bersandarkan konsep hak asasi yang ditaja demokrasi warna sejagat itu, kita juga tidak menghormati undang-undang.

Jenayah bukan hak

Maka secara jelasnya kita telah mengabaikan, bahkan juga melanggar satu prinsip penting dalam konsep kedaulatan undang-undang. Apabila undang-undang dengan jelas mengharamkan atau menjenayahkan sesuatu perbuatan, maka undang-undang itu hendaklah diikuti dan dihormati. Rujukan kepada hak asasi sejagat tidak relevan di sini. Sesuatu perkara menyalahi undang-undang tidak boleh dikatakan sebagai hak. Dalam kata lain, perbuatan jenayah bukanlah satu hak. Sehinggalah ia dimansuhkan setiap rakyat yang berpegang kepada kedaulatan undang-undang hendaklah menghormati undang-undang itu.

Dalam konteks menghormati undang-undang sebagai sebahagian daripada kedaulatan undang-undang, maka dalam konteks penggunaan kalimah Allah dan pengagihan Bible itu, hujah sama ada lemah atau kuat iman umat Islam tidak perlu dijadikan persoalan. Ia perkara lain. Jawapan mudah dan tepat ialah kerana penggunaan kalimah Allah dan pengagihan Bible tidak dibenarkan oleh undang-undang yang sah.

Jika dikatakan undang-undang itu tidak sah, maka keputusan perundangan perlu dibuat. Penyingkiran undang-undang yang sah hendaklah dilakukan secara sah melalui sistem perundangan yang ada. Sekiranya mahkamah memutuskan hal itu, maka terimalah keputusan itu kerana ia juga menghormati kedaulatan undang-undang. Jika benar memperjuangkan kedaulatan undang-undang, maka buktikan juga bahawa segala prinsipnya dihormati.

Penulis Profesor Madya di Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan