Ahad, 6 Januari 2013

Ringkasan berkaitan fatwa isu "Amanat".

بسم الله الرحمن الرحيم


Apa itu fatwa?
  • ·        Fatwa Ar keputusan tentang sesuatu hukum agama (yg belum pernah diputuskan lagi) berdasarkan nas al-Quran, hadis, dan sumber hukum lain, termasuk ijtihad oleh mufti (atau mereka yang berwenang tentang keputusan hukum syarak).
[Kamus Dewan,Edisi ke-3]
  • ·        Pada bahasa ia diambil daripada afta-ifta'an yang memberi maksud menjelas dan menghuraikan hukum permasalahan. 
             Dari Segi Istilah

Pada istilahnya pula, fatwa mempunyai pelbagai definisi antaranya:
1.     Fatwa adalah sebagai jawapan yang dibuat oleh mufti pada perkara yang berlaku apabila diajukan soalan kepadanya.
 
2.     Fatwa ialah mengkhabarkan hukum Allah SWT sama ada pada yang mesti atau harus.
Peruntukan Mengenai Fatwa Dalam Undang-Undang

Di dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505], peruntukan mengenai fatwa dijelaskan di bawah Seksyen 34 iaitu:
1.     Maksud Fatwa iaitu pendapat atas apa-apa persoalan yang belum diselesaikan atau yang  menimbulkan pertikaian mengenai atau berhubung dengan Hukum Syarak;
 
2.     Mengenai bila sesuatu fatwa itu boleh dibuat, iaitu apabila diperintahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, atau atas permintaan orang ramai melalui surat yang dihantar kepada Mufti, atau dibuat atas kehendak Mufti itu sendiri;
 
3.     Sesuatu pernyataan yang dibuat oleh Mufti hanya boleh diambil sebagai fatwa jika pernyataan itu disiarkan dalam warta berhubung dengan Hukum Syarak;
 
4.     Sesuatu fatwa yang telah disiarkan dalam warta hendaklah dipatuhi oleh semua umat Islam yang berada di negeri itu, kecuali amalan peribadi yang dibenarkan mengikut Hukum Syarak; dan
 
5.     Fatwa yang diwartakan merupakan sebahagian daripada undang-undang yang perlu diikuti oleh semua Mahkamah Syariah bagi negeri itu.  
  
[Portal Rasmi Fatwa Malaysia]

Saya kira, penjelasan berkaitan fatwa di atas telah jelas dan mudah difahami.Saya cuba jelaskan isu fatwa berkaitan "Amanat Hj hadi" kerana di sana ada suara-suara yang menyatakan bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan tak pernah menfatwakannya.Betulkah dakwaan suara-suara itu?

  • 15 Jamadil-Akhir 1401-20 Februari 1981

مجلس اوڬام اسلام دان عادة استعادة ملايو كلنتن
 
Keputusan Jemaah Ulama Mengenai Masalah Kafir-mengkafir.

Pada masa akhir-akhir ini terdapat beberapa golongan umat Islam yang telah mengeluarkan fatwa-fatwa atau pendapat-pendapat mengenai masalah agama yang sangat mengelirukan serta membawa kepada perbahasan di kalangan umat Islam khasnya di Negeri Kelantan.

Di antara masalah yang telah dikeluarkan pendapat-pendapat atau fatwa-fatwa ialah seperti berikut :-

1)Tidak sah sembahyang dibelakang imam orang Barisan
(UMNO- Barisan Nasional).

2) Haram dimakan daging binatang sembelihan orang
Barisan (UMNO- Barisan Nasional) kerana tidak sah
sembelihannya.

3) Terfasakh nikah di antara suami isteri orang Barisan
(UMNO- Barisan Nasional) dengan orang bukan Barisan
(UMNO- Barisan Nasional).

4)Tidak sah akad nikah oleh imam dari golongan Barisan
(UMNO- Barisan Nasional).

5) Kena diperbarui nikah yang diaqadkan oleh imam dari
Barisan (UMNO- Barisan Nasional).

6) Tidak boleh ditanam mayat orang Barisan
(UMNO- Barisan Nasional) di perkuburan Islam.

7) Orang Barisan (UMNO- Barisan Nasional) mati tidak
boleh disembahyangkan ke atasnya kerana murtad dan
mereka juga tidak boleh sembahyangkan ke atas mayat
orang Pas.

8) Orang Barisan (UMNO- Barisan Nasional) tak payah
sembahyang,puasa,naik haji kerana tidak diterima oleh
Tuhan amalan itu daripada mereka.

Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan dan Pejabat Mufti Kerajaan Kelantan telah menerima banyak surat yang telah dihantar oleh orang ramai mengenai masalah fatwa-fatwa atau pendapat-pendapat ini dan banyak menerima laporan mengenai kedudukan masyarakat islam di negeri ini dari pendapat-pendapat atau fatwa-fatwa yang disebarkan itu.

Oleh kerana kesan daripada pendapat-pendapat atau fatwa-fatwa ini sangat besar bahayanya kepada perpaduan umat Islam maka jemaah ulama telah mengadakan suatu mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Sohibul-Fadilah Dato' Mufti Kerajaan Kelantan dan dihadiri oleh semua jemaah ulama yang terdiri dari :-

1) Yang Berbahagia Dato' Haji Ismail Bin Haji Yusoff -
Timb.Mufti Kerajaan Kelantan.

2) Al-Fahdil Tuan Hj Abd Aziz bin Hj.Abu Bakar -
Pondok Terusan,Pasir Tumbuh.

3) Al-Fahdil Tuan Hj Abul Ghani bin Awang Chik -
Pondok Kubang Bemban,Pasir Mas.

4) Al-Fahdil Tuan Hj Mohamad bin Hj Yusoff-
383 Jalan Atas Banggol.Kota Baru.

5) Al-Fahdil Tuan Hj Hassan bin Hj Ismail -
Maahad Muhammadi,Kota Baru.

6) Al-Fahdil Tuan Hj Abdullah bin Hj.Abd Rahman -
Pondok Lubuk Tapah,Pasir Mas.

7) Al-Fahdil Tuan Hj Hasbullah bin Hj. Mohd Hassan -
Iman Besar Masjid Muhammadi.

8) Al-Fahdil Tuan Hj Hassan bin Hj.Idris -
Penolong Pengarah Yayasan Sekolah Agama Kelantan
(JASA) Lundang,Kota Baru.

Mesyuarat khas itu telah membahaskan perkara-perkara yang tersebut di perenggan 2 di atas serta juga ceramah-ceramah yang disalin ke dalam kaset-kaset atau pita rakaman berhubung dengan fatwa-fatwa atau pendapat-pendapat tersebut itu dan mengambil keputusan bahawa :-

"SETELAH MEMBAHAS MENGENAI PERKARA-PERKARA TERSEBUT DENGAN BERALASAN KEPADA KITAB-KITAB TAFSIR DAN KITAB-KITAB TAUHID KARANGAN ULAMA' YANG MUKTABAR,MAKA DENGAN SEBULAT SUARA JAMAAH ULAMA' MEMBUAT KEPUTUSAN BAHAWA KELAPAN-LAPAN PERKARA YANG TERSEBUT ADALAH TIDAK BENAR DAN BERTENTANGAN DENGAN AJARAN ISLAM,SERTA SANGAT MENDATANGKAN BAHAYA TERHADAP AQIDAH ISLAMIAH DAN PERPADUAN ORANG-ORANG ISLAM"

Oleh yang demikian Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan memberi nasihat kepada orang ramai supaya jangan terkeliru dengan pendapat-pendapat atau fatwa-fatwa yang menyeleweng serta menyesatkan umat islam yang dibuat oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawap.

Sekian dan diharap mendapat perhatian semua lapisan umat islam dinegeri ini.

(Dato' Hj Wan Mohamed bin Yusuf )
b/p Yang Dipertua.
Di Pejabat Agama Islam Kelantan,Kota Baru,Pada 15 Jamadil Akhir 1401.

Jika dilihat tarikh keputusan ini, lebih awal dari Amanat Hj Hadi yang disampaikan pada 7 April 1981.Apa erti semua ini?

Ini bererti bahawa sudah ada fahaman atau doktrin kafir-mengkafir dalam mainan politik negara sebelum itu lagi. Jelasnya, Amanat Hj Hadi seakan-akan merupakan kesinambungan dari ajaran doktrin kafir-mengkafir itu samada disengajakan atau tidak. Apa yang telah berlaku, telah berlaku.


  • 27 Safar 1405-21 November 1984



Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 21 November 1984 telah membincangkan mengenai isu kafir mengkafir sesama orang Islam. Mesyuarat telah membuat keputusan seperti berikut:

1.     Bahawa jika ada tuduhan atau anggapan oleh ahli atau penyokong PAS atau oleh sesiapa jua bahawa ahli UMNO, pemimpin atau pegawai Kerajaan  yang beragama Islam sebagai kafir atau sebaliknya iaitu ahli-ahli UMNO, pemimpin atau pegawai Kerajaan yang beragama Islam menuduh pemimpin atau ahli-ahli PAS kafir, adalah tidak benar sama sekali dan sia-sia. Oleh yang demikian ahli-ahli UMNO atau sesiapa jua yang mengucap Dua Kalimah Syahadah adalah tetap orang Islam selagi tidak dihukum murtad oleh pihak berkuasa agama Islam Malaysia.
 
2.     Sesiapa yang membuat tuduhan atau anggapan bahawa ahli-ahli UMNO, pemimpin atau pegawai Kerajaan atau sesiapa juga yang beragama Islam sebagai kafir, maka perbuatan itu adalah haram dan hendaklah bertaubat kepada Allah. Perbuatan itu hendaklah diberhentikan dengan serta merta.

  • 15 Jamadil-Awal 1423-24 Julai 2002
Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2002.
Amanat Haji Abdul Hadi
Tarikh Keputusan: 
24 Jul, 2002
Keputusan:

1. Bahawa Amanat Tuan Guru Haji Abdul Hadi adalah -
(a) bercanggah dari segi ajaran Islam;
(b) bercanggah dengan kepentingan masyarakat Islam dan kemuliaan Agamanya; dan
(c) bercanggah dengan prinsip dakwah Islamiah.
2. Mana-mana orang Islam adalah dilarang -
(a) menyebar, mengajar, mempelajari dan mengamalkan amanat tersebut; dan
(b) menjual, mencetak, mengedar, membeli atau memiliki amanat tersebut.

Status Penwartaan: 
Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 
25 Jul, 2002
Nombor Rujukan: 
PMM/0020 Jld.4 (61)
Akta/Enakmen: 
M.P.U. 13
 


Kenapa selepas difatwakan pada tahun 1984, difatwakan pula pada tahun 2002? Ini menunjukkan bahawa fahaman itu telah meresap masuk ke dalam sebahagian orang dan diamalkan sehingga menimbulkan suasana komuniti yang tidak nyaman.Doktrin amanat itu akan terus meresap dan meresap jika tidak ditarik balik atau dibatalkan oleh empunya amanat.

Saya menyokong penuh Samahatul-Mufti, Tan Sri Harussani yang menyatakan bahawa amanat itu salah dan perlu ditarik balik. Pada pendapat saya ini bukan soal hak untuk beri penerangan atau penjelasan. Ini adalah kenyataan salah yang perlu dibetulkan. Sekiranya beralasankan hak untuk memberi penjelasan, kenapa masa 7 April 1981 dahulu tidak meminta penjelasan dari pihak lawannya sebelum dikeluarkan amanat itu?

Saya melihat jalan terbaiknya ialah menarik balik amanat itu.

والله أعلم

Tiada ulasan:

Catat Ulasan