بسم الله الرحمن الرجيم
Berikut teks penuh ucapan oleh mantan Ketua Hakim Negara,
Tun Abdul Hamid Mohamad pada Majlis Wacana Islam dan Cabaran Semasa
sempena Majlis Berbuka Puasa NGO-NGO Islam.
Semenanjung Tanah Melayu telah dijajah daripada orang
Melayu. Yang menentangnya, baik Dato Bahaman, Dato Sagor, Dato Maharaja
Lela, Dol Said, Tok Janggut atau Rusli Dhobi, adalah orang Melayu. Yang
menentang Malayan Union adalah orang Melayu. Yang berkorban nyawa
menentang pengganas Komunis semasa darurat adalah orang Melayu. Yang
menuntut kemerdekaan adalah orang Melayu. Orang bukan Melayu menyertai
gerakan menuntut kemerdekaan apabila mereka melihat ia akan menjadi
kenyataan untuk menjaga kepentingan mereka. Pada masa itu pun tujuan
mereka sudah berlainan.
Logiknya, Semenanjung Tanah Melayu yang dijajah daripada
orang Melayu hendaklah dipulangkan kepada orang Melayu. Tetapi tidak,
orang Melayu diminta berkongsi kuasa yang akan diserah balik oleh
penjajah British. Pada masa itu pun orang Melayu telah diminta
mengorbankan hak mereka “untuk menjaga perpaduan”. Orang Melayu
bersetuju, sehinggakan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1955, untuk memberi
lebih banyak representasi kepada orang bukan Melayu, kawasan-kawasan
majoriti Melayu diberikan kepada calon-calon bukan Melayu untuk
bertanding. Keadaan ini berterusan demi untuk memastikan kemenangan
pemimpin-pemimpin utama bukan Melayu, sehinggalah PRU 12 apabila
kemenangan UMNO sendiri dalam kawasan majoriti Melayu sudah tidak
terjamin.
Semasa rundingan kemerdekaan, PAS menuntut supaya Pulau
Pinang dan Melaka dijadikan Negeri-Negeri Melayu demi menjaga hak
keistimewaan orang Melayu. Semasa Malaysia hendak ditubuhkan PAS
menentangnya kerana ia akan mengurangkan peratusan orang Melayu dan
takut kiranya orang Melayu akan hilang kuasa politik dan dengan itu
kedudukan orang Melayu dan agama Islam akan tergugat. Malah, selama
beberapa dekat PAS senentiasa mengkritik UMNO kerana “tak cukup Melayu
dan tak cukup Islam”. Begitu prihatin PAS terhadap nasib bangsa Melayu
dan agama Islam pada masa itu.
Semasa rundingan kemerdekaan juga, Parti Boroh Malaya
menuntut supaya ditubuhkan kerajaan unitari kerana, mengikut mereka,
mengekalkan Sultan-Sultan dan Negeri-Negeri Melayu akan mewujudkan
sebuah kerajaan beraja. Dalam kata- kata lain mereka hendak menghapuskan
sistem beraja di Malaya. Siapakah majoriti ahli-ahli Parti Boroh?
Tidakkah tuan-tuan terhidu bau yang serupa sekarang?
Parti Komunis Malaya mengangkat senjata untuk menubuhkan
kerajaan komunis ala-China. Beberapa orang pemimpin parti-parti kiri
Melayu lari ke hutan dan menyertai Parti Komunis Malaya kerana takut
ditangkap British. Mereka diperalatkan oleh Chin Peng untuk mempengaruhi
orang Melayu menyokong perjuangan mereka. Nasib baik, pada masa itu
orang Melayu tidak terpengaruh degan mereka. Soalan: Tidakkah orang
Melayu ternampak perancangan yang serupa sekarang oleh “komunis bandar”
meminjam istilah Tan Sri Rahim Noor, mantan Ketua Polis Negara?
Biar apa pun, akhirnya peruntukan-peruntukan Perlembagaan
dipersetujui dan ia menjadi undang-undang utama kita. Pada detik 12.00
tengah malam Semenanjung Tanah Melayu pun merdeka. Orang-orang yang
sebaya dengan saya masih terdengar pekikan “Merdeka” itu dengan perasaan
penuh semangat dan kegembiraan.
Tetapi, pada detik yang sama, satu perkara berlaku, yang
kita tidak sedar. Ini digambarkan dengan jelas oleh Professor Shad
Saleem Farouqi dalam bukunya yang bertajuk “Document of Destiny: The
Constitution of the Federation of Malaysia” di muka surat 710. Katanya:
“As a result of the “social contract” between the various
races, millions of migrants to British Malaya were bestowed with
citizenship by the Merdeka Constitution. It is believed that the number
of citizens in Malaya doubled at the stroke of midnight on August 31,
1957 due to the constitutional grant.”
“Akibat “kontrak sosial” di antara berbagai-bagai kaum,
berjuta-juta pendatang ke Malaya yang diperintah oleh British itu diberi
kerakyatan oleh Perlembagaan Merdeka. Adalah dipercayai bahawa jumlah
warga negara Malaya bertambah sekali ganda pada detik tengah malam 31
Ogos 1957 disebabkan oleh pemberian Perlembagaan itu.” (Terjemahan
saya).
Pada 1963, Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia. Kedudukan
anak negeri Sabah dan Sarawak hampir serupa dengan kedudukan orang
Melayu di Semenanjung. Maka peruntukan yang serupa dibuat untuk mereka –
lihat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Semenjak Merdeka hinggalah sekarang, Kerajaan Persekutuan
dipimpin oleh sekumpulan parti berbagai-bagai bangsa dengan seorang
Melayu sebagai Perdana Menterinya. Biar apa pun kelemahan mereka, negara
berada dalam keadaan aman, tenteram membolehkannya maju dalam semua
bidang dan dinikmati oleh semua orang dan semua kaum. Mana sebuah kaum
yang boleh berkata bahawa mereka tidak menikmati kemakmuran Malaysia
walau sedikit pun? Negara kita adalah di antara beberapa buah negara
sahaja dalam dunia ini yang Perlembagaan asalnya masih berkuat kuasa.
Malah Malaysia disifatkan sebagai model negara membangun dan negara
Islam moden.
Jika kaum minoriti hendak ‘complain’ mengenai kebebasan
mereka, tunjukkan kepada saya sebuah negara yang memberi lebih banyak
hak kepada kaum minoriti. Apa jadi kepada orang Islam Rohingya di
Myanmar? Di negeri-negeri jiran, nama mereka pun perlu diubah. Tunjukkan
kepada saya sebuah negara yang bukan sahaja membenarkan sekolah-sekolah
vernakular diadakan, malah membiayainya. Dari segi kebebasan beragama,
pernahkah Kerajaan menghalang mereka daripada mengamalkan agama mereka.
Pernahkah terfikir oleh mereka bagaimana mudahnya mereka membina
rumah-rumah ibadat mereka di Malaysia, termasuk di atas tanah Kerajaan
tanpa sebarang tindakan, diberi bantuan kewangan dan tanah gantian
apabila dikehendaki pindah? Bandingkan dengan halangan yang di hadapi
oleh orang Islam untuk membuat sebuah masjid di Eropah atau Amerika
Syarikat.
Kecuali seketika di sekitar tahun 1969, keadaan bertahan
selama lebih kurang 50 tahun. Ia disebabkan Kerajaan Persekutuan kukuh,
pemimpin-pemimpin yang tegas dan ekonomi yang senentiasa berkembang.
Kerajaan Persekutuan kuat sebab ia menerima sokongan orang Melayu dan
bukan Melayu yang mencukupi, walau pun lebih banyak orang Cina
senentiasa menyebelahi pembangkang. Mereka mahu lebih. Itu sahaja
sebabnya. Dan mereka menuduh orang Melayu “tamak” kerana hendak mencapai
30% ekonomi negara! Bagaimana dengan mereka yang sudah mempunyai 80%
tetapi mahu lebih? Mungkin itu “dermawan” mengikut istilah mereka.
Anehnya ada juga orang Melayu yang mempercayainya.
Tetapi, keadaan berubah di kebelakangan ini. Orang Melayu
berpecah kerana leka dengan sedikit kemakmuran yang baru dirasai,
ketaksuban kepada parti dan pemimpin dan kehadiran pemimpin-pemimpin dan
penyokong-penyokong yang oportunis yang tidak kira apa yang akan
terjadi kepada bangsa, negara dan agama asalkan cita-cita mereka
tercapai. Maka orang Melayu berpecah dengan seriusnya. Kumpulan pengundi
majoriti menjadi minoriti. Kumpulan minoriti memperalatkan sebahagian
pengundi Melayu untuk kepentingan mereka dan orang Melayu tidak sedar.
Melihat keadaan itu, kumpulan-kumpulan yang memang pandai
mengira untung-rugi, terus mengatur perancangan mereka. Mereka membuat
perancangan teratur untuk merampas kuasa melalui peti undi, dengan
bersatu padu sesama sendiri sambil memperalatkan parti-parti Melayu dan
orang Melayu yang naif itu. Mereka hampir berjaya.
Sambil itu kumpulan-kumpulan ekstremis mula membuat
tuntutan-tuntutan yang bukan-bukan, menyerang hak-hak orang Melayu,
menghina lagu Kebangsaan, menghina bendera Malaysia, menghina Institusi
Raja-Raja, menghina pemimpin-pemimpin Melayu dan menghina agama Islam.
Ketiadaan tindakan tegas terhadap mereka dilihat oleh mereka sebagai
tanda kelemahan dan mereka menuntut lebih lagi.
Pendekatan mereka adalah bersifat ugutan dan bisnes: jika
mahu perpaduan berikan kami hak yang sama dan kebebasan sepenuhnya.
Dalam kata-kata lain, mereka mahu faedah yang diberikan kepada orang
Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dihapuskan. Ertinya, mereka
mahu perizaban kadar dalam perkhidmatan awam, biasiswa, danasiswa,
keistimewaan pendidikan dan latihan, permit, lesen dan sebagainya
dihapuskan. Semua mesti diberi atas dasar merit. Mereka tahu mereka
menguasai ekonomi dan berada di hadapan dalam bidang pelajaran. Mereka
tinggal di bandar-bandar besar di mana terdapat semua kemudahan dan
exposure. Apabila pemilihan cuma dibuat berdasarkan kelulusan akademik,
merekalah yang akan membolotnya. Tak cukup dengan itu, mereka mahu UiTM
juga dibuka kepada mereka!
Rata-rata orang bukan Islam di Malaysia tidak senang dengan
kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan. Mereka mahu
agama-agama mereka juga diberi kedudukan yang sama. Mengikut mantan
Mufti Pulau Pinang, di Pulau Pinang telah berlaku satu peristiwa di mana
di perasmian sebuah bangunan oleh Timbalan Ketua Menteri, doa dibacakan
oleh seorang Paderi Kristian, seorang Sami Hindu dan Imam Masjid
Negeri. Saya amat hairan mengapa Imam Besar pun turut menyertainya.
Tidakkah beliau berfikir?
Saya amat sedih melihat orang Melayu dan Islam begitu naif
sehingga mereka begitu mudah diperalatkan sehingga sanggup bertakbir dan
bergolek di atas jalan raya sedangkan orang bukan Islam yang untung.
Saya juga hairan mengapa ada orang-orang yang dikenali
sebagai ulama’ tidak nampak muslihat gereja Roman Katolik yang hendak
memakai kalimah “Allah” dalam Bible Bahasa Melayu dan upacara gereja
dalam Bahasa Melayu selepas 500 tahun kecewa mengkristiankan orang
Melayu secara besar-besaran. Mereka merujuk kepada penggunaan kalimah
Allah di bumi Arab tanpa menganalisis berbezaannya. Kita perlu lihat isu
itu dalam konteks Malaysia.
Hinggakan, apabila sami Buddha mengadakan upacara
sembahyang di surau di sebuah hotel pun, ada “ilmuwan Syariah” yang
mengatakan Rasul Allah pernah membenarkan orang Kristian bersembahyang
dalam masjid. Tidakkah mereka nampak perbezaannya?
Kisah itu melibatkan ahlil-kitab yang beriman dengan Allah
dan di peringkat awal kerasulan Muhammad s.a.w. dan cara mereka
bersembahyang pun tidak mencemarkan kesucian masjid. Jika dibenarkan
penganut-penganut agama yang ada di Malaysia bersembahyang dalam masjid,
apa akan jadi? Bukan sahaja masjid akan busuk dengan bau gaharu, babi
panggang pun akan dibawa masuk ke masjid, sebab di bulan hantu lapar
“offering” kepada hantu lapar adalah sebahagian daripada upacara
sembahyang mereka.
Mantan Mufti Pulau Pinang juga memberitahu saya adalah
susah mendapat peruntukan untuk aktiviti agama Islam di Pulau Pinang,
kerana pemimpin-pemimpin agama-agama lain juga menuntut hak yang sama.
Jika kita tidak membendungnya, perkara seperti ini akan merebak ke
seluruh Malaysia. Pada waktu itu, waktu penyiaran rancangan-rancangan
agama Islam di televisyen pun akan terpaksa dikongsi dengan agama-agama
lain. Jabatan-jabatan Kerajaan dan kampus-kampus universiti kerajaan
yang menyediakan surau akan terpaksa menyediakan gereja, to’kong-to’kong
dan gurdwara, memberi hanya dua misalan. Ertinya, kedudukan Islam
sebagai agama Persekutuan sudah tidak bermakna lagi. Peruntukan agama
Islam sebagai agama Persekutuan mungkin dimansuhkan atau kesemua agama
akan dijadikan agama Persekutuan. Tidakkah orang Islam berfikir?
Kumpulan ini sangat tidak puas hati dengan peruntukan
Perlembagaan yang tidak membenarkan orang bukan Islam menyebarkan agama
mereka kepada orang Islam. Selain dari itu, mereka pergi ke merata dunia
untuk memburukkan Islam kerana Islam tidak membenarkan penganutnya
murtad, kerana Islam membolehkan poligami, kerana Islam mengharamkan
liwat, membuat tuduhan Islam mendiskriminasikan orang perempuan kerana
pembahagian pusaka yang tidak sama rata dan lain-lain. Soalan saya:
Mengapa mereka membantah hal-hal mengenai agama Islam pada hal kita
tidak pernah membantah mereka membakar kereta kertas, duit neraka (hell
money) atau mencucuk pipi mereka dengan besi dan lain-lain.
Mereka juga tidak puas hati dengan kedudukan Bahasa Melayu
sebagai bahasa Kebangsaan. Mereka mahu Bahasa mereka juga diberi
kedudukan yang sama. Ke mana perginya “kontrak sosial”?
Ringkasnya mereka mahukan atau mahu menghapuskan apa yang
ada pada orang Melayu tetapi mereka tidak mahu melepaskan apa yang ada
pada mereka. Sanggupkah syarat kerakyatan dikaji semula? Sanggupkah
syarikat-syarikat milik mereka dibuka kepada orang Melayu, baik sebagai
pemilik saham, ahli Lembaga atau pengurusan atasan?
Kumpulan itu menjadi lebih berani kerana:
1. Mereka telah melihat orang Melayu berpecah-belah. Kumpulan majoriti telah menjadi minoriti.
2. Mereka telah berjaya mempengaruhi pemimpin-pemimpin parti-parti orang Melayu untuk bekerjasama dengan mereka.
3. Mereka telah berjaya memanfaatkan pengundi Melayu yang menentang BN yang tidak sedar bahawa mereka diperalatkan.
4. Ketiadaan tindakan terhadap mereka dilihat sebagai kelemahan Kerajaan.
5. Pemansuhan Perisytiharan Darurat dan undang-undang yang
dibuat di bawahnya, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan
pengumuman bahawa Akta Hasutan 1948 juga akan dimansuhkan dilihat
sebagai satu kemenangan mereka. Mereka telah sekian lama menuntut
perkara itu dilakukan dan mereka berjaya sekarang.
6. Persepsi rasuah di kalangan pemimpin politik Kerajaan yang tinggi memudahkan orang ramai percayai hasutan mereka.
Pada masa yang sama, Kerajaan semakin mengambil sikap lebih
lembut dan “liberal”, mungkin dalam usaha untuk memenangi semula
sokongan pengundi-pengundi bukan Melayu yang telah lari kepada
pembangkang. Jika itulah tujuannya, nyata sekali bahawa harapan itu
adalah satu kesilapan. Bukan sahaja mereka tidak kembali dan tidak
berterima kasih, tetapi mereka melihatnya sebagai satu kelemahan di
pihak Kerajaan dan kejayaan bagi mereka.
Saya boleh faham mengapa Perisytiharan Darurat dan undang-undang yang dibuat di bawahnya dimansuhkan.
Dalam tahun 1970an, seorang Hakim dari Afrika yang datang
ke Malaysia untuk menghadiri satu persidangan undang-undang bertanya
kepada saya: “Malaysia berada dalam keadaan darurat bukan? Saya tidak
lihat sekatan jalan raya oleh tentera mahupun kereta kebal di jalan
raya.” Saya jawab, “Ya, itu darurat di Malaysia. Bayangkan jika tidak.”
Untuk mengatakan selepas tahun 2000 kita masih berada di bawah keadaan
darurat adalah tidak munasabah. Demikian juga melaksanakan undang-undang
yang dibuat khas untuk menangani keadaan semasa darurat juga sukar
untuk dibela walau pun dari segi undang-undang ia adalah sah.
Tetapi, saya dapati sukar sedikit untuk memahami mengapa
Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) juga turut dimansuhkan. Perlu
diambil perhatian bahawa ISA bukanlah satu undang-undang yang dibuat di
bawah peruntukan Perkara 150, ia itu semasa Proklamasi Darurat berkuat
kuasa. ISA dibuat di bawah Perkara 149 yang membolehkan undang-undang
seperti ISA dibuat untuk menentang perbuatan subversif, tindakan yang
memudaratkan ketenteraman awam dan sebagainya.
Memanglah undang-undang yang membolehkan penangkapan dan
tahanan tanpa perbicaraan bukanlah undang-undang yang baik. Tetapi,
sudahkah kita lupa Mei 13? Adakah keadaan yang menggugat ketenteraman
negara, tidak kira oleh siapa, komunis, militan Islam, kumpulan pelampau
dan lain-lain sudah tidak ada lagi? Mana lebih baik ISA atau Guantanamo
(Untuk perbincangan mengenai ISA dan Guantanamo, sila baca ucapan dan
kertas kerja saya bertajuk “Conflict of Interests Between Different
Basic Rights” dan “Legal and Judicial Transformation in Malaysia” yang
boleh didapati dalam lman web saya.)
Saya faham bahawa Kerajaan mahu melihat Malaysia berada di
kedudukan yang baik di mata dunia. Tetapi, Singapura yang mengekalkan
ISA, berada di kedudukan yang lebih baik, hampir dalam semua hal. ISA
bukanlah sebab utama yang menentukan kedudukan itu.
Sekarang ISA telah “digantikan” dengan Akta Kesalahan
Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Secara ringkas,
perbezaan utama di antara keduanya ialah ISA membolehkan tahanan tanpa
perbicaraan. (Tetapi tangkapan dan penahanan itu boleh dicabar di
mahkamah melalui semakan kehakiman (judicial review)). Sebaliknya, di
bawah SOSMA seseorang yang melakukan suatu kesalahan di bawah akta itu
mestilah dituduh di mahkamah atas tuduhan tertentu dan dibicarakan sama
seperi kes jenayah lain.
Setakat ini sebanyak 38 orang telah dihadapkan ke mahkmah
di bawah SOSMA, dengan 30 daripadanya di Lahat Datu. Perbicaraan sedang
berjalan. Pendakwaan dilakukan oleh Peguam Negara sendiri. Kebanayakan
pertuduhan adalah di bawah Chapter VIA Kanun Keseksaan yakni
kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan keganasan (offences relating
to terrorism).
Ertinya “terrorism” yang memungkinkan kewujudan ISA masih
ada. Apa yang dilakukan sekarang memang cantik di atas kertas. Tetapi
soalnya, mampukan SOSMA menangani masalah terrorism? Dari segi
kesalahan-kesalahan yang diwujudkan ia nampaknya lengkap. Soalnya,
dapatkah pertuduhan-pertuduhan itu dibuktikan? Sama-samalah kita melihat
perkembangannya.
Bagi saya ukurannya bukan sangat ISA ada atau tidak tetapi
bagaimana ia dilaksanakan. Undang-undang apa pun boleh disalahgunakan.
ISA pun jika dilaksanakan dengan berhemah dan menepati
peraturan-peraturannya, boleh membawa hasil yang lebih baik dari SOSMA
jika SOSMA disalahgunakan.
Sebaliknya, jika SOSMA dilaksanakan dengan berhemah dan ia memberi kesan yang serupa, tentulah SOSMA lebih baik.
Selain daripada itu Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri
Mohd Najib Tun Abdul Razak telah juga mengumumkan bahawa Akta Hasutan
1948 juga akan dimansuhkan.
Akta ini dibuat oleh British apabila Persekutuan Tanah
Melayu ditubuhkan untuk mengekang penentangan kepada pemerintahan
British. Secara ringkas, ia mengandungi kesalahan-kesalahan kerana
menghasut untuk membangkitkan kebencian dan tidak taat setia kepada Raja
atau Kerajaan, menghasut rakyat untuk mendapat perubahan dengan cara
yang tak sah, menghasut orang supaya benci kepada pentadbiran keadilan,
menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat
Malaysia, mengembangkan perasaan permusuhan antara kaum. Seksyen
3(1)(f) memperuntukkan:
“…….mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan,
keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi
oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152,
153 atau 181
Perlembagaan Persekutuan.”
Perlembagaan Persekutuan.”
Bahagian III adalah mengenai kewarganegaraan. Perkara 152
ialah mengenai Bahasa Kebangsaan. Perkara 153 adalah mengenai “perizaban
kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang
Melayu atau anak negeri Sabah dan Sarawak.
Peruntukan ini dimasukkan akibat peristiwa 13 Mei.
Ringkasnya, ia menghalang sesiapa sahaja daripada mempersoalkan
perkara-perkara yang disebutkan itu untuk mengelak daripada berulangnya
peristiwa 13 Mei.
Bagi saya, perwujudan seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan itu
adalah kemuncak kejayaan politik orang Melayu dan Tun Abdul Razak Bin
Hussain. Maka kepada anaknya saya berseru: Janganlah mansuhkan apa yang
ayah anda telah lakukan. Saya khuatir kiranya beliau tidak akan
memaafkan anda kerananya.
Bagaimana dengan RUU Harmoni yang JPNIN sedang buat itu?
Mereka mengaitkan Akta Hasutan dengan RUU Harmoni. RUU
Harmoni akan menggantikan Akta Hasutan seperti mana SOSMA menggantikan
ISA. Ertinya, mengikut mereka, untuk mencapai perpaduan dan harmoni
(“perpaduan”) Akta Hasutan perlulah dimansuhkan kerana ia menjadi
penghalang perpaduan. Dalam kata-kata lain, berikan kebebasan kepada
sesiapa sahaja untuk menghasut orang ramai supaya membenci Raja,
menghapuskan sistem beraja, mempersoalkan kedudukan Bahasa Melayu sebagi
Bahasa Kebangsaan, mempersoalkan hak orang Melayu dan anak negeri Sabah
dan Sarawak dan kerakyatan, perpaduan akan tercapai. Lojik apa ini? Ia
samalah dengan lojik seorang yang berkata “Kalau mahu tebuan berada di
dalam sarangnya, jolokkan sarangnya.” Cubalah!
Maka kita perlu faham bahawa alasan bahawa Akta Hasutan
perlu dimansuhkan demi untuk mencapai perpaduan itu tidak berasas
langsung. Ia hanyalah helah untuk memansuhkan Akta Hasutan oleh
orang-orang yang tidak sukakannya. Apatah lagi yang menggubalnya adalah
Majlis Peguam. Itulah yang mereka mahu. Diberi peluang, terus mereka
memanfaatkannya. Kita jangan terperangkap dengan helah seperti itu.
Apa untungnya orang Melayu dan anak negeri Sabah dan
Sarawak jika larangan- larangan mempersoalkan hak-hak yang diberi kepada
mereka oleh Perkara 153 itu dihapuskan? Apakah untungnya orang Melayu
jika hasutan mengenai kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan
dibenarkan? Yang untung hanyalah orang-orang yang tidak suka
peruntukan-peruntukan itu. Tanpa Akta Hasutan mereka bebas menghasut
orang ramai untuk menghapuskan pemerintahan Raja Berperlembagaan, Bahasa
Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, hak-hak orang Melayu dan anak negeri
Sabah dan Sarawak. Itu kita mesti faham.
Selain dari itu, ada beberapa perkara yang sangat
menghairankan saya mengenai usaha menggubal RUU Harmoni untuk
menggantikan Akta Hasutan itu. Pertama, Akta Hasutan terletak di bawah
portfolio Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang Menterinya ialah Dato’
Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Sepatutnya, semua perkara yang berkenaan
dengan akta itu, sama ada hendak memindanya atau memansuhkannya,
hendaklah datangnya daripada kementerian itu. Ini penting bukan sahaja
kerana akta itu terletak di bawah kementerian itu, tetapi kerana
kementerian itu mempunyai maklumat-maklumat, termasuk maklumat rahsia,
mengenai ketenteraman negara yang akan menentukan dasar mengenainya.
Soalan saya: Mengapa dalam hal ini tugas itu diambil alih
oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang
menterinya Tan Sri Joseph Kurup yang nampaknya bekerjasama dengan Nancy
Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri? Adakah satu “rampasan”
(highjacking) berlaku di sini?
Mengikut prosedur biasa, penetapan dasar dilakukan oleh
kementerian berkenaan sebelum ia diputuskan oleh Kabinet. Dalam hal ini,
penentuan dasar, sekurang- kurangnya di peringkat permulaan, diserahkan
kepada JUU&D yang ditubuhkan oleh MKPN yang di tubuh pula oleh
JPNIN. Pengerusi JUU&D adalah YB Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli
Parlimen PAS Parit Buntar dan Timbalan Pengerusinya adalah Lim Chee Wee,
mantan Presiden Majlis Peguam. Kita semua tahu bahawa Majlis Peguam
adalah penyokong kuat parti-parti pembangkang terutama sekali DAP dan
PKR. Adakah ini “rampasan” (highjaking) yang kedua?
Mengikut prosedur biasa juga, setelah dasar ditentukan oleh
kementerian berkenaan, penggubalan dilakukan oleh Jabatan Peguam
Negara. Dalam hal ini, penggubalan dilakukan oleh Majlis Peguam. Adakah
ini “rampasan” (highjaking) yang ketiga?
Disebabkan oleh kesuntukan masa, untuk tujuan wacana ini,
memadailah jika saya memberi dua misalan mengenai isi kandungan RUU
Harmoni.
Pertama, rang undang-undang itu menekankan peruntukan
Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Seksyen 2(i) National Harmony and
Reconciliation Bill mengatakan bahawa tujuan rang undang-undang itu
adalah:
“2(i) To give effect to the letter and spirit of the Federal Constitution, in particular Article 8.”
“2(i) To give effect to the letter and spirit of the Federal Constitution, in particular Article 8.”
“Untuk memberi kesan kepada apa yang tertulis dan semangat
Perlembagaan Persekutuan, khususnya perkara 8.” – (Terjemahan saya.) Apa
kata Perkara 8? Perkara 8(1) memperuntukkan:
“8. (1) Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang
dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang- undang.”
Itulah yang mereka mahu mahkamah memberi keutamaan dalam
mentafsir atau memakai (interpretation or application) undang-undang itu
jika ada kes.
Sepanjang ingatan saya, saya belum penah temui satu akta
yang memperuntukkan bahawa sesuatu perkara dalam Perlembagaan itu kena
diberi perhatian yang lebih daripada yang lain-lain. Dari situ kita
dapat lihat tujuan mereka yang tersirat.
Kedua, nampaknya matlamat utama penggubal RUU Harmoni
adalah untuk memansuhkan Akta Hasutan. Seksyen 8(1), Draft Racial and
Religious Hate Crimes Bill memperuntukkan:
“8(1) The Sedition Act 1948 [Act No. 15] is repealed.”
Siapakah yang membuat tuntutan supaya Akta Hasutan
dimansuhkan? Tidakkah apa yang hendak dilakukan itu untuk memenuhi
kehendak mereka?
Patutkah Akta Hasutan dimansuhkan? Jawapan saya: tidak.
Patutkah ia dipinda? Jawapan saya: Ya. Apakah pindaan yang perlu dibuat?
Jawapan saya: Masukkan Perkara 3 dan 11 Perlembagaan Malaysia (agama
Islam) ke dalam seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan. Sekarang menghasut
terhadap kedudukan agama Islam bukanlah satu kesalahan di bawah Akta
Hasutan. Mungkin kerana itu, mereka sangat berani. Semua orang Islam,
sama ada dalam UMNO, PAS, PKR, NGO dan individu hendaklah bersatu dalam
hal ini.
Kedua, pada pandangan saya, adalah lebih baik bagi kerajaan
kiranya kesalahan menghasut terhadap kerajaan dimansuhkan. Maksud saya
hanya mengenai kerajaan tetapi terhadap Raja mestilah dikekalkan. Ini
lebih demokratik, lebih telus dan lebih terbuka. Hari ini pun, walaupun
larangan itu ada, setakat yang saya tahu, kerajaan tidak pernah
mengambil tindakan terhadap orang yang mengkritiknya kerana itu
sebahagian daripada proses demokrasi. Untuk apa dikekalkan peruntukan
itu?
Pada pandangan saya, itulah pendirian yang semua orang Islam, parti politik Islam dan NGO Islam, patut ambil.
Kita bukan mahukan hak orang lain. Kita bukan menuntut
supaya Perlembagaan dirombak kerana kita mahu lebih. Kita cuma
mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Kita cuma mahu apa yang telah
dipersetujui dikekalkan untuk mengekalkan perpaduan dan harmoni.
Rasiskah kita?
Pemimpin-pemimpin Melayu dan Islam, tidak kira dalam parti
mana hendaklah bersatu dalam mempertahankan kepentingan bangsa, agama
dan negara, dengan mempertahankan peruntukan-peruntukan Perlembagaan
Malaysia yang sedia ada. Caranya ialah dengan menguatkan Kerajaan
Persekutuan. PAS patutlah bekerjasama dengan UMNO dan BN di peringkat
pusat. Di peringkat negeri ia boleh kekal seperti sekarang. Saya membuat
seruan ini kerana saya percaya bahawa, dalam keadaan sekarang, mengikut
hemat saya, itu sahaja cara yang boleh kita mempertahankan Perlembagaan
dan kepentingan bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia.
Anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak patut ingat bahawa apa
yang menjamin nasib mereka ialah Perlembagaan Persekutuan dan mereka
juga sepatutnya bersama mempertahankannya.
Sebenarnya semua pemimpin negara, tidak kira apa parti
politiknya, apa bangsa dan agamanya, sama-sama mempunyai tanggungjawab
untuk mempertahankan Perlembagaan Malaysia untuk kepentingan bersama.
Kesimpulannya:
1. Janganlah mansuh Akta Hasutan 1948.
2. Segala urusan mengenai Akta Hasutan hendaklah dilakukan oleh kementerian yang bertanggungjawab mengenainya ia itu KDN.
3. JPNIN tidak sepatutnya mengambil alih perkara yang terletak dalam bidang kuasa KDN dan Peguam Negara.
4. Prosedur biasa di mana Kementerian berkenaan menentukan
dasar dan pengpenggubalan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara manakala
keputusan muktamad dibuat oleh Kabinet hendaklah diikuti.
5. Akta Hasutan hendaklah dipinda untuk memasukkan Perkara 3 dan 11 (agama Islam) ke dalam seksyen 3(1)(f).
6. Eloklah kerajaan memikirkan untuk meminda Akta Hasutan
untuk mengeluarkan kesalahan menghasut terhadap kerajaan supaya kerajaan
nampak lebih telus, terbuka dan demokratik.
7. Ketepikan draf RUU yang dibuat oleh Majlis Peguam itu.
8. Jika JPNIN berfikir bahawa perpaduan boleh dicapai melalui undang-undang, sila sediakan drafnya. Ikutlah peraturan biasa.
9. Semua orang Melayu, Islam dan anak negeri Sabah dan
Sarawak dan semua parti politik, NGO dan pertubuhan Melayu, Islam dan
anak negeri Sabah dan Sarawak, hendaklah bersatu dalam hal ini.
10. Kita bukan hendak meminggir mana-mana kaum. Kita hanya
hendak mempertahankan Perlembagaan supaya perpaduan akan berkekalan.
Malah, kaum-kaum lain juga sepatutnya bersama-sama mempertahankan
Perlembagaan kerana hanya dengan cara itu perpaduan dan harmoni dapat
dikekalkan.
Sekian. terima kasih.
Tun Abdul Hamid Mohamad tunabdulhamid@gmail.com
http://www.tunabdulhamid.my
Sekian. terima kasih.
Tun Abdul Hamid Mohamad tunabdulhamid@gmail.com
http://www.tunabdulhamid.my
p/s: Kredit kepada http://theflyingkick.blogspot.com/2014/07/bekas-ketua-hakim-negara-belasah-pas.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan