بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله، والصلاة والسلام على سيدنا رسول الله، محمد ﷺ
Dengan
nama Allah kami membuka laman web berbentuk ilmiah bagi Pertubuhan
Antarabangsa Alumni Universiti al-Azhar al-Syarif dan barisan ulamak
nya di seluruh pelusuk dunia bermula dari Afrika Selatan sehingga ke
Eropah dan Rusia di Utara, di Benua Amerika dari sebelah Barat sehingga
Cina dan Jepun di sebelah Timur.
Di
atas nama puluhan ribu siswazah lepasan al-Azhar, sekiranya anda mampu
menyebutnya dalam bentuk bilangan dan juga menyenaraikan nama mereka
yang mencapai jumlah puluhan ribu nama, saya ingin mengalu-alukan para
pengunjung laman web ini yang terdiri daripada para pengkaji yang ingin
mengkaji realiti Islam yang sebenar dan mereka yang ingin mengetahui
ilmu pengetahuan, kebudayaan, peradaban, dan akhlak. Juga untuk para
penulis yang pakar dan berautoriti. Melalui laman web ini, para ulamak
al-Azhar ingin memperkenalkan gedung ilmu yang paling bersejarah,
dimana telah menjangkau umurnya lebih dari 1050 tahun. Oleh kerana itu,
al-Azhar layak memikul tugas bagi menerangkan Islam sebagai sebuah
risalah ketuhanan yang merupakan penutup kepada risalah-risalah yang
lalu. Kedudukan risalah Islam berada di lingkaran yang terakhir di
dalam siri agama tuhan yang satu, dimulai dengan pengutusan nabi Adam
a.s melalui nabi Nuh, Ibrahim, Musa, Isaa ibnu Maryam dan penutupannya
dengan nabi Muhammad s.a.w. Salam sejahtera Allah ke atas semua para
nabi.
Objektif
utama laman web ini untuk menerangkan konsep Islam kepada semua manusia
seperti terkandung di dalam kitab suci al-Quran dan juga sebagaimana
yang disampaikan oleh junjungan besar kita nabi Muhammad s.a.w kepada
umat manusia. Agama Islam ialah sebuah tamadun yang diturunkan
bersesuaian dengan realiti kehidupan manusia serta mampu membawa
kebahagiaan kepada mereka selama-lamanya samada di timur atau di barat.
Tamadun ini telah memberi saham dalam membina tamadun kemanusiaan serta
berinteraksi dengan berbagai tamadun dunia yang lain dalam bentuk
memberi dan menerima.
Tamadun
Islam berbekalkan dengan kekuatan budaya ilmu yang bersumber dari
sebuah khazanah keilmuan, kesenian, sastera, falsafah, perundangan,
akhlak, matematik, perubatan, astronomi, muzik dan berbagai khazanah
ilmu yang lain yang diambil dari perbendaharaan lama dan baru yang
bersumber dari para ulamak dan pemikir Islam.
Halaman
ini juga akan memperkenalkan konsep Islam yang sebenar dan tidak
terkeluar daripada lingkungan pengertian Islam yang jitu. Ini bererti
pembentangan ini tidak mempunyai agenda politik atau propaganda
keagamaan, bahkan tujuan sebenar kami adalah untuk menyampaikan Islam
sebagai sebuah agama, tamadun dan budaya ilmu, dengan huraian secara
jujur dan bersih. Huraian ini, jauh dari kepalsuan dan penyelewengan
dari sudut ilmu dan sejarah dimana memang terdapat banyak penyelewengan
dalam kedua bidang ini diatas rupa bentuk Islam yang asal yang boleh
memberi persepsi buruk kepada imej Islam dikalangan ramai para pencari
kebenaran dalam memahami intipati agama yang bertoleransi ini.
Memang
di ketahui umum, Institusi al-Azhar telah mengambil peranan dan
tanggungjawab bagi memelihara kesucian, kesederhanaan dan wasatiyah
Islam semenjak lebih dari 10 kurun yang lalu. Kini al-Azhar adalah
sebuah institusi yang paling layak serta memiliki tenaga kekuatan dalam
kesinambungan menyonsong kemaraan perjuangan dengan lebih stabil lagi
mantap dalam memperjelaskan Islam serta sifatnya yang seimbang. Islam
terus maju memberi sumbangannya yang bernilai dalam semua bidang ilmu
pengetahuan serta perkembangan peradaban dan moral kemanusiaan itu
sendiri.
Semasa membuka laman web ini, kami telah cuba memberi fokus
terhadap satu isu dimana fonomena tidak menentu yang kembali berulang
pada penghujung kurun ke-20 dan menjelang awal kurun ke-21.
Perkembangan ini membawa kesan negatif terhadap isu hubungan diantara
Islam dan barat lalu membentuk apa yang dipanggil sebuah jurang antara
barat dan timur. Keadaan ini menyerupai sebuah tembok tebal yang
berpunca dari salah faham kedua-dua pihak, barat dan juga Islam.
Krisis ini hampir-hampir mengundang kembali sejarah yang telah dilupai
manusia di timur dan di barat tentang pertarungan yang berlaku pada
kurun pertengahan serta permasalahan fasa penjajahan.
Institusi
al-Azhar adalah aset utama rujukan bagi umat Islam dahulu dan kini.
Lantaran itu al-Azhar merupakan sebuah badan yang paling layak kembali
memikul risalahnya yang terkini dalam proses merapatkan hubungan
tamadun-tamadun dunia serta menutup jurang perbezaan di antara Islam
dan dunia barat. Al-Azhar berperanan membina jambatan perhubungan
diantara seorang insan dengan saudaranya insan yang lain tanpa mengira
batas kedudukan seseorang itu dari sudut akidah dan mazhabnya, warna
kulit, kaum dan bahasa. Nabi Muhammad s.a.w telah menerangkan konsep
kemanusian itu katanya; manusia adalah sama seperti gigi sikat. Mereka
berasal dari ibu dan bapa yang satu. Mereka adalah bersaudara mara yang
sama kedudukannya, dijadikan dari jiwa yang satu walaupun berbilang
warna kulit dan bangsa. Mereka akan kembali kepada asal usulnya iaitu
kepada bapa yang satu juga.
Konsep persamaan ini, adalah bertepatan dengan realiti al-Quran yang
berpandangan bahawa tidak ada tempat dalam Islam bagi sebarang dakwaan
yang bersifat keistimewaan, berbau perkauman, perpecahan antara manusia
atas asas bangsa dan warna kulit.
Ukuran nilai keistimewaan menurut pandangan Islam diputuskan
melalui ukuran yang satu sahaja, iaitu melakukan amalan yang soleh yang
menepati ciri-ciri yang diterima oleh Allah.
Firman Allah
يَا
أَيُّهَـا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ
وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا
كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ
وَالأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا
“ Wahai manusia, hendaklah kamu takutkan tuhan kamu
yang menjadikn kamu dari jiwa yang satu dan dijadikan daripadanya
pasangan lalu Allah perkembangbiakkan dari keduanya lelaki serta
perempuan yang ramai. Bertakwalah kepada Allah yang dengan nama Nya
kamu saling meminta dan peliharalah hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya
Allah selalu menjaga dan mengawasimu ” ( Surah An-nisa ayat 1 ).
Firman Allah
يَا
أَيُّهَـا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى
وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ
عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
“ Wahai manusia, Sungguh, kami telah menciptakan kamu
dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian kami jadikan
kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal.
Sungguh, yang paling mulia di antara kamu disisi Allah ialah orang yang
paling bertakwa. Sungguh Allah maha mengetahui, maha teliti ” ( Surah
al-Hujarat ayat 13)
Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w telah melalui sebuah perjuangan
hidup sepanjang 23 tahun dengan menanam didalam lubuk hati umat Islam
konsep persamaan di antara manusia lalu memantapkan dalam jiwa mereka
dan mengukuhkan lagi konsep tersebut di dalam aktiviti muammalat mereka
dengan orang lain. Di mana beliau membuat penyataan tersebut pada
ucapan terakhirnya yang disampaikan kepada umat Islam semasa Haji
Wida’. Beliau memulakan kata-katanya “Wahai manusia, dengarlah
baik-baik dan sedarlah kemungkinan aku tidak akan bertemu kamu lagi
selepas tahun ini. Sesungguhnya tuhan kamu adalah satu dan bapa kamu
adalah satu. Setiap kamu berasal dari Adam dan Adam dari tanah.
Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah
orang yang bertakwa dikalangan kamu. Bahawa tidak ada kelebihan antara
orang arab keatas orang ajam, tidak ada kelebihan bagi orang ajam
keatas orang Arab. Dan tidak ada kelebihan bagi org kulit merah keatas
org berkulit putih kecuali orang yang bertakwa. Lihatlah adakah aku
telah menyampaikan. Ya Allah saksikanlah bahawa aku telah menyampaikan.
Sesungguhnya hendaklah orang yang hadir pada hari ini menyampaikan pada
orang yang tidak hadir”.
Saudara-saudara
pengunjung yang dihormati, sekali lagi saya mengalu-alukan saudara di
laman yang baru ini yang dilancarkan dari al-Azhar al-Syarif. Terpancar
dengan terserlah dari menara dan kubahnya yang berdiri teguh dihujung
dasarnya sepanjang era dan zaman. Kami ingin mengalu-alukan anda
sebagai seorang saudara kami di dalam kemanusiaan sebagai teman dalam
menimba ilmu pengetahuan, sebagai sahabat dalam berdialog, sebagai
rakan kongsi dalam mencapai satu tahap perhubungan diantara tamadun
timur dan barat.
Semoga Allah memberi taufiq kepada kita semua lalu membawa kearah apa yang disukai dan diredhaiNya.
Prof. Dr. Ahmad Al-Tayyib
Sheikh al-Azhar al-Syarif.
Presiden
Pejabat Pertubuhan Antarabangsa Alumni al-Azhar
p/s: Para pembaca yang budiman boleh layari link ini http://www.waag-azhar.org/ untuk memperoleh maklumat-maklumat berfaedah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan